top of page

Rahman, Makanan dan Malaysia

  • Nik Muhammad Hakimi Bin Nik Puzlan (IIUM)
  • Sep 15, 2020
  • 8 min read

Hujan turun renyai-renyai membasahi bumi Perlis Indera Kayangan petang Jumaat itu. Rahman yang menuntut di sebuah sekolah berasrama penuh di Kangar tidak sabar untuk pulang ke rumah setelah dua bulan berada di sana. Walaupun sesi persekolahan baru sahaja disambung semula Jun yang lalu akibat daripada pandemik Covid-19 di negara kita, Rahman tidak akan mensia-siakan cuti yang diberi ini untuk pulang bertemu dengan ahli keluarganya di Melaka bersempena dengan cuti umum Hari Kemerdekaan Malaysia kali ke-63. Rahman pulang ke rumah menaiki bas yang disewa oleh pihak sekolah. Sudah pasti, Rahman menanti- nantikan juadah kegemarannya iaitu rendang ayam dan kuih onde-onde yang pasti akan dimasak oleh ibunya pada hari kepulangannya dari asrama. Sebagai rakyat Malaysia, Rahman beruntung kerana Malaysia dilimpahi dengan keunikan 1001 jenis makanan dan juadah yang enak untuk dinikmati. Seperti yang kita sedia maklum, makanan merupakan sumber kelangsungan hidup buat manusia. Makanan boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian iaitu mengikut waktu seperti sarapan dan makan tengah hari, mengikut negeri atau kawasan setempat seperti juadah negeri Kelantan dan Pahang, mengikut kaum dan bangsa seperti masakan Cina dan Iban serta mengikut keadaan seperti makanan yang disediakan pada musim perayaan dan majlis tertentu seperti kenduri kahwin. Hal ini membuktikan bahawa terdapat begitu banyak makanan yang terdapat di negara kita lebih-lebih lagi apabila Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama. Kepelbagaian kelompok manusia ini menjadi faktor penyumbang dalam menambahkan lagi variasi juadah istimewa di tanah bertuah ini. Kaum Melayu misalnya, tidak kisah untuk mencuba dan memasak hidangan daripada kaum India dan begitu juga sebaliknya. Menuju era kemodenan dan globalisasi yang pesat membangun ini, makanan-makanan tradisi dilihat semakin berkembang persis kata peribahasa yang lama dikelek, yang baharu didukung.


Rahman kelihatan sedang menghirup cendol pulut yang dibelinya dari sebuah gerai di sebuah kawasan rehat dan rawat (RnR). Rahman mengamalkan penjarakan fizikal sewaktu duduk di kerusi yang disediakan. Hilang dahaganya tatkala cuaca yang agak berbahang hari ini. Rahman akan menyambung perjalanannya kira-kira 10 minit lagi. Apakah yang menjadikan nasi lemak, asam pedas dan cendol ini makanan kegemaran Rahman? Apakah yang istimewa dengan makanan Malaysia ini? Selain daripada kepelbagaian juadah yang dapat dinikmati oleh penduduk negara ini, makanan Malaysia mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Seperti yang telah dinyatakan di atas, makanan merupakan lambang atau identiti bagi sesuatu kaum di negara kita. Makanan ini digelar sebagai makanan tradisi dan diwarisi semenjak zaman-berzaman. Resipi turun temurun dari generasi terdahulu menjadi warisan dan ikutan buat generasi masa ini bagi mengekalkan rasa dan rupa bentuknya. Sudah pasti kita sedar bahawa golongan ibu yang biasa ke dapur akan mempunyai rahsia mereka yang tersendiri sewaktu menyediakan juadah. Sebagai contoh, ibu Rahman akan meletakkan daun kesum dan bunga kantan dalam penyediaan asam pedasnya sedangkan terdapat juga resipi yang tidak meletakkan kedua-dua ramuan tersebut. Hal ini menjadikan makanan tradisi ini unik dengan ramuannya yang tersendiri dan rasa yang tersendiri. Tidak dilupakan, rempah ratus juga merupakan bahan penting dalam kebanyakan masakan di Malaysia memandangkan ia berkait dengan kegiatan para pedagang sewaktu era penjajahan suatu ketika dahulu. Lain orang, lain ragam. Begitulah juga dengan kaedah penyediaannya yang berbeza-beza mengikut hidangan. Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan untuk menghasilkan sesebuah hidangan yang lazat. Dari merebus, membakar, memanggang, mengukus, menyalai sehinggalah kepada memeram dan memerap. Semuanya mempunyai tujuan bagi mendapatkan satu juadah tradisi yang enak lagi menyelerakan. Sebagai tamsilan, makanan tradisi masyarakat India yang mengutamakan penggunaan pelbagai rempah-ratus yang berbeza seperti daun kari (Saji.my). Masing-masing punya identiti tersendiri dalam menjadikan masakan mereka lebih menyelerakan. Gabungan antara resipi yang menarik dan kaedah penyediaannya yang teliti akhirnya membuahkan hasil sebuah hidangan yang menjadi kesukaan dan ingatan ramai.


Rahman duduk bersebelahan Hussein, rakan baiknya yang turut akan pulang ke kampung halamannya. Pada awal perjalanan, mereka tidur kepenatan setelah menempuh minggu-minggu yang panjang dalam menimba ilmu pengetahuan. Setelah menyegarkan diri di kawasan RnR sebentar tadi, Rahman mengambil peluang bersembang dengan Hussein untuk mengisi masa. Rahman bercerita tentang abangnya, Razak yang menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Perancis. Abangnya pernah bercerita tentang seorang pemuda berjiwa kental dari tanah air kita yang mengangkat martabat nasi lemak di kota cinta ini. Pemuda ini menjalankan perniagaan menjual nasi lemak kepada sesiapa sahaja yang berada di Perancis dan mahu menikmati kelazatan masakan ini yang disediakan sendiri olehnya. Alangkah hebatnya Malaysia apabila juadah tradisinya juga dikenali di serata dunia. Bukan sekadar nasi lemak di Perancis, banyak lagi hidangan tempatan kita yang sudah terbang melintasi angkasa raya menuju ke pelbagai destinasi di seluruh dunia. Sebahagian rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di negara-negara ini telah memperkenalkan dan mengembangkan lagi masakan tradisi negara kita ke persada global. Mereka mengambil keputusan untuk membuka perniagaan berasaskan masakan Malaysia. Sebagai contoh, laman sesawang the vocket.com menceritakan tentang sebuah restoran yang baru sahaja dibuka tahun lalu di Siem Reap, Kemboja dan diusahakan oleh Resh Bala Abdullah. Beliau merasakan bahawa agak sukar untuk mendapatkan makanan Malaysia di sana lantas membuka sebuah restoran yang diberi nama Halal Unity Kitchen. Restoran ini menyajikan hidangan tempatan tanah air kita seperti nasi lemak yang popular dan makanan halal Kemboja yang boleh dinikmati oleh penganut beragama Islam. Selain itu, akhbar New Straits Times telah melaporkan bahawa Destination New South Wales telah menyenaraikan 10 restoran Malaysia di persada global yang menjanjikan juadah asli negara ini dengan rasa seakan-akan berada di bumi Malaysia. Antara yang tersenarai ialah restoran The Malaya di Sydney, Malacca Straits on Broadway yang menyajikan Nasi Ayam Hainan, dan Malaysia Small Chilli Restaurant di Lilyfield. Kafe Jilat Jilat di Darlinghust pula menyediakan variasi masakan Malaysia seperti Kari Ayam Pulau Pinang dan Mi Goreng Hokkien Rumpus manakala bagi mereka yang gemarkan Char Kuey Teow boleh singgah ke Penang Hawker yang terletak di Campsie, Australia. Walaupun bukanlah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, restoran-restoran ini menjadi bukti penyebaran dan perkembangan resipi-resipi terkenal di Malaysia yang berjaya dibawa ke luar negara dan diterima baik oleh penduduk setempat amnya dan rakyat Malaysia khususnya. Keunikan identiti dan rasa juadah negara kita sewajarnya menjadi kesukaan ramai tanpa mengira bangsa mahupun asal-usul keturunan. Hussein yang mendengar kisah Rahman berasa terkejut dan kagum dengan semangat kental anak Malaysia yang menjulang makanan Malaysia di peringkat antarabangsa biarpun diuji dengan pelbagai rintangan dan cabaran pada mulanya.


Tik tok tik tok tik tok. Waktu pantas berlalu meninggalkan manusia. Jam sudah menunjukkan jam 6.36 petang. Rahman tiba di stesen bas bandar raya Melaka dan dijemput oleh bapanya untuk pulang ke rumah. Hujan juga turun membasahi bumi Parameswara ini. Setelah menguruskan diri dan menunaikan solat, Rahman ke dapur untuk makan malam bersama ahli keluarganya yang lain. Rahman teruja apabila ternampak nasi lemak kegemarannya bersama lauk rendang ayam terhidang di atas meja. Teringat Rahman kepada kisah seorang peserta rancangan realiti masakan MasterChef United Kingdom bernama Zaleha Kadir Olpin yang tidak dapat mara ke peringkat seterusnya gara-gara kritikan juri yang menyatakan bahawa rendang ayamnya tidak rangup. Rahman ketawa seorang diri. Namun, kritikan tersebut menjadi punca rezeki bagai bulan jatuh ke riba buat Zaleha apabila nama beliau melonjak naik berikutan kejadian tersebut. Hasilnya, beliau telah menulis sebuah buku berjudul My Rendang Isn’t Crispy and Other Favourite Malaysian Dishes malah berjaya merangkul anugerah World Gourmet Cookbook Award 2020 bagi kategori cef selebriti. Walaupun berada nun jauh di Bristol, United Kingdom, Zaleha masih tidak melupakan bumi kelahiran beliau iaitu Malaysia dan menjadikan rancangan masakan tersebut sebagai satu medium untuk mengetengahkan resipi terkenal tanah air. Beliau bersama rakan-rakannya juga mengusahakan Malaysian Kitchen di sana serta mengajar juadah cita rasa Malaysia di sebuah sekolah masakan (Marvell Cavendish, 2020). Lain pula ceritanya dengan Puan Seri Shariffa Nisa atau lebih dikenali dengan julukan Nisa Bakri yang turut terkenal di mata dunia dek kerana hasil air tangannya dalam bidang masakan. Beliau merupakan seorang usahawan wanita dalam bidang penghasilan produk makanan khususnya pes makanan dan turut menyediakan perkhidmatan katering. Azam dan tekad beliau untuk membawa nama Malaysia ke persada dunia melalui masakan tercapai apabila beliau dijemput untuk menjadi penaja dan pembekal katering juadah Malaysia di kota London bersempena dengan Minggu Fesyen London pada tahun 2018. Melalui penglibatan beliau dalam Minggu Fesyen London ini, beliau tidak melepaskan peluang untuk mempromosi jenama produk beliau dan melancarkan tiga produk baharu semasa acara tersebut berlangsung (Harian Metro, 2018). Zaleha Olpin dan Nisa Bakri menjadi satu simbol kebanggaan rakyat Malaysia dan seharusnya dijadikan contoh teladan atas usaha mereka menjunjung masakan asli Malaysia dan mengangkat martabatnya sehingga dikenali ke seluruh pelosok dunia bertepatan dengan istilah dari Malaysia ke seluruh dunia. Malam itu, Rahman tidur kepenatan setelah kekenyangan menikmati hidangan hasil air tangan ibunya.

Dua hari lagi sebelum tanggal 31 Ogos tiba. Rahman dan ayahnya yang lengkap bertopeng separuh muka pergi ke kedai untuk mendapatkan Jalur Gemilang beraneka saiz dan beberapa keperluan rumah. Tujuan Jalur Gemilang tersebut sudah semestinya untuk menghias laman rumah Rahman termasuklah kereta Proton Bezza mereka bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik menjelangnya hari kemerdekaan. Ibu Rahman juga memintanya untuk membeli makanan sejuk beku seperti karipap dan pau untuk dihidangkan sewaktu minum petang nanti. Rahman memastikan bahawa terdapat logo Halal yang sah pada produk makanan yang ingin dibelinya memandangkan mencari yang halal itu satu kewajipan bagi orang Islam. Apabila menyentuh isu halal, Malaysia merupakan antara negara yang cukup menitikberatkan soal halal dalam produk dan bergerak maju ke hadapan dalam perkembangan industri halal. Menurut Halal Development Corporation Berhad (HDC), Malaysia merupakan hab halal global utama dan berjaya menyumbang sebanyak AS$10 bilion atau RM 40 bilion produk halal kepada nilai eksport tahunan, ataupun 4% daripada jumlah eksport negara kita. Angka ini merupakan suatu angka yang besar dan menjadi petunjuk kepada prestasi perkembangan halal Malaysia yang gah di persada global. Bukan sekadar itu, Berita Harian Online turut melaporkan bahawa eksport halal Malaysia ke negara Korea Selatan pada tahun 2018 mencecah sehingga RM 1.28 bilion melalui tiga kategori produk iaitu bahan halal, makanan dan minuman serta barangan penjagaan diri dan kosmetik. Kategori bahan halal menyumbang kepada nilai eksport tertinggi iaitu sebanyak RM 600 juta. Malaysia juga akan memperluas perkhidmatan halal ini menerusi 10 negara melalui pelaburan AS$10 trilion China yang merupakan inisiatif Satu Jalur, Satu Jalan (OBOR). Antara negara yang terbabit dalam rancangan inisiatif ini termasuklah Kazakhstan, Mesir, Iran dan Bosnia. Fakta-fakta yang dikongsikan ini menjadi pemacu kepada kegemilangan industri halal negara kita sekali gus memberi gambaran bahawa sektor makanan halal kita bukan sahaja gah dalam negara malahan di serata dunia. Walaupun halal tidak hanya tertakluk pada makanan, namun, asas kepada yang halal itu sudah pasti berkait rapat dengan makanan sebelum berkembang kepada sektor-sektor lain. Rahman kagum dengan negaranya sendiri kerana mampu menjadi hab halal dunia yang membekalkan produk halal dan menjadi inspirasi buat negara luar untuk turut sama memajukan perkembangan produk halal.


Tanggal 31 Ogos telah pun menjelma. Detik bersejarah buat seluruh warga Malaysia yang dinanti-nanti saban tahun. Meskipun, berdepan dengan wabak Covid-19, Rahman bersama keluarganya tidak ketinggalan untuk mengikuti perarakan dan sambutan hari kebangsaan melalui kaca televisyen di rumah. Rahman bersyukur kerana dilahirkan di tanah bertuah Malaysia ini yang kaya dengan kepelbagaian penduduk dan keunikan budaya serta tradisi. Walau hanya menyebut tentang makanan, itu sahaja pun sudah mampu menggambarkan betapa mewahnya Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas merdeka. Bukan hanya mampu menghubungkan dan menyatukan manusia, tetapi juga makanan menjadi satu aset penting dalam memperkenalkan nama Malaysia ke seluruh dunia dan menjalin hubungan kenegaraan yang lebih baik. Mungkin ada yang menganggap bahawa tiada apa yang perlu dibanggakan dengan hanya berbicara soal makanan, namun harus diingat bahawa makanan juga merupakan satu lambang kemegahan negara kita yang perlu dipelihara sepanjang zaman. Sebagai seorang rakyat Malaysia, Rahman berharap agar kita sama-sama dapat berganding bahu menggembleng tenaga dalam memelihara kemerdekaan yang telah kita kecapi selama ini, meningkatkan potensi diri dan bekerjasama dalam membangunkan ekonomi Malaysia lebih-lebih lagi pada saat-saat yang genting ini. Rakyat Malaysia perlulah saling membantu antara satu sama lain bagai aur dengan tebing untuk memelihara serta memulihara warisan tradisi dalam apa jua bentuk sekalipun termasuklah makanan tradisi masing-masing. Tugas ini tidaklah hanya termaktub buat individu tertentu bahkann memerlukan kepada usaha dan keringat daripada semua pihak. Semoga Malaysia kekal aman damai dalam kerangka kemerdekaannya dan ayuhlah berdoa agar wabak Covid-19 ini berakhir dengan segera.


(1973 patah perkataan)




RUJUKAN 1. Majlis Pembangunan Perindustrian Halal Malaysia.

Dicapai pada 8/9/2020 daripada http://www.hdcglobal.com/ms/majlis-pembangunan- perindustrian-halal-malaysia/#.

2. Bernama. (2019, Mei 22). Malaysia perluas pasaran halal di 10 negara menerusi OBOR:HDC, BH Online.

Dicapai pada 8/9/2020 daripada

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2019/05

/566733/malaysia-perluas-pasaran-halal-di-10-negara-

menerusi-obor-hdc.

3. Nur Syamimi. (2020, Januari 9). Restoran Halal Unity Kitchen Milik Warga Malaysia ini Makin Dikenali di Cambodia.Dicapai pada 7/9/2020 daripada https://www.thevocket.com/restoran-halal-unity-kitchen-milik- warga-malaysia-ini-makin-dikenali-di-cambodia/.

4. Yusliza Yakimir Abd Talib. (2018, September 10).

Makanan Penghubung Insan, my Metro. Dicapai pada 9/9/2020 daripada

https://www.hmetro.com.my/hati/2018/09/375978/makanan- penghubung-insan.

5. Itawrah. 29 Makanan Tradisional India Unik Dan Terbaik (Anda Dah TRY Semua?). Dicapai pada 8/9/2020 daripada

https://saji.my/makanan-tradisional-india/.

6. General and Reference, Marshall Cavendish. My Rendang Isn't Crispy and Other Favourite Malaysian Dishes.

Dicapai pada 7/9/2020 daripada https://www.marshallcavendish.com/genref/My-Rendang-Isnt-

Crispy-and-Other-Favourit_B1242_Singapore.aspx.


7. JOM! Team. (2020, Januari 20). #JOM EAT: A taste of home: Top 10 Malaysian restaurants in and around Sydney, New Straits Times. Dicapai pada 7/9/2020 daripada https://www.nst.com.my/lifestyle/jom/2020/01/558155/jom-

eat-taste-home-top-10-malaysian-restaurants-and-around-

sydney.

Commentaires


Brought to you by:

Thanks! Message sent.

LOGO 5.png
bottom of page