Tahniah mengiringi takziah
- Muhammad Hazriq Bin Arshad
- May 11, 2020
- 7 min read
Sesungguhnya melepaskan seseorang itu tidaklah semudah bicara tapi andai itu yang terbaik untuk kedua-duanya, biarlah pertemuan dan perpisahan ini terukir di atas nama-Nya. Begitulah titik tolak sebelum aku menekan butang reset untuk menjadi yang lebih baik setibanya Ramadan pada tahun 2020. Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin diumumkan semakin bertambah tetapi syukur bilangan kes barunya semakin menurun seiring dengan pelanjutan tempohnya. Sejujurnya aku langsung tidak terkesan dengan lamanya tempoh PKP kerana apa-apa yang ada di benak fikiranku hanyalah dia bukan Dia. Walaupun begitu, jika tidak kerana Dia mengizinkan, dia pasti belum mampu aku lepaskan. Aku yakin dan percaya masa juga makhluk Tuhan maka PKP ini sungguhpun arahan kerajaan tetap menjadi suatu peringatan buat mereka yang beriman.
Mari sini aku khabarkan kebaikan seorang rakan. Sehabisnya kelas pada hari Selasa pada tanggal 17 Mac sekitar pukul 5 petang, aku bersama-sama rakan-rakan menuju ke Kuala Lumpur untuk pulang kerana PKP bakal bermula pada keesokan harinya. Aku mahu segera pulang ke kampung halaman di utara semenanjung Malaysia sebolehnya hari Selasa itu juga tapi apakan daya tiket semuanya habis disapu penghuni alam. Aku malas bersengkang mata untuk mengambil tiket sekitar 2 ke 5 pagi lantas aku memohon izin untuk menumpang di Rawang kemudian mengambil tiket Electric Train Service (ETS) keesokannya dari Sungai Buloh. Razman merupakan seorang ketua batch yang berwibawa tidak pernah berkira untuk memberi pertolongan yang mungkin dia anggap perkara kecil tapi besar nilainya buat aku. Rumah Razmanlah tempat aku menumpang semalam sementara menunggu pagi keesokannya. Kemudian, tibalah hari yang kunanti tapi bagaimana hendak Razman hantar aku ke stesen keretapi Tanah Melayu (KTM) Sungai Buloh dengan keadaannya yang memakai pendakap lutut seusai pembedahan lututnya. Kereta juga tiada di rumah kerana keluarganya sudah pun pulang ke kampung halaman di Kedah beberapa hari sebelum PKP bermula. Dia mulanya cuba meminta untuk meminjam kereta jirannya tetapi selepas Subuh pagi itu, sahutannya memanggil jiran tidak bersambut barangkali masih lagi diulit mimpi . Aku mula mengukir raut bimbang maka aku pun mengakses aplikasi Grab untuk bergerak ke stesen keretapi tetapi aku juga gagal kerana tiada pemandu yang menerima tempahan Grab aku. Akhirnya tiada jalan lain lagi, Razman menghulurkan kain hitam dan kunci motosikalnya kepada aku. Aku pun akur walaupun berat hati takut motosikalnya dicuri kerana kunci itu hanya diletak di bawah kain hitam di dalam raga motosikal. Razman berpesan kepadaku agar jangan bimbang kerana adik lelakinya akan pulang lalu akan menunggang motosikal itu balik ke rumah pada pagi yang sama. Aku lega tapi pada masa yang sama kupaksa diri tegar dan berdoa supaya motosikal itu baik-baik sahaja. Hanya Allah sebaik-baik pembalas buat Razman. Terima kasih, kawan!
Alhamdulillah, dengan izin Allah aku sampai ke pulau mutiara tanah tumpahnya darahku sekitar tengah hari pertama PKP. Sejujurnya untuk beberapa minggu di sini hati aku masih kuat bertepuk sebelah tangan. Aku memujuk merayu meminta diriku diterima terasa seperti pengemis cinta masih lagi alpa dan lupa pada yang Esa. Dipendekkan cerita aku benar-benar kecewa dengan harapan menggunung kepada seorang manusia sehingga Ramadan pun tiba. Aku sedar bahawa diriku diperhatikan di rumah. Ada kala aku naik bebal dengan ibu bapaku sendiri kerana hatiku yang sakit membuak-buak dari sakitnya cinta yang tidak bernoktah. Hari pertama Ramadan merupakan satu tarikh yang penting dalam hidupku. Setelah berkurun lama aku bertepuk sebelah tangan, seolah-olah ada tangan datang menghulur tarik aku keluar dari arus hanyut yang deras lamanya. Mana tidaknya, kerana hubungan yang tidak menjamin apa untukku, aku telah gagal dalam satu posting pada tahun akhir. Sekiranya aku gagal lagi, aku terpaksa mengulang semula tahun pengajian yang sepatutnya menjadi tahun akhir aku. Tangan yang aku maksudkan itu tidak lain tidak bukan bulan Ramadan. Aku mula menerima bahawa tiada cinta manusia yang kekal jika dibandingkan dengan Tuhan yang Esa. Sesungguhnya aku malu menjadi pengemis pada yang tak sudi, aku juga punya maruah diri. Diri ini datang dan pasti akan kembali kepada-Nya bukan dirinya. Aku bersedia memaksa diri memaafkan diri dan orang yang pernah menyakiti. Jujur aku tidak pernah setenang ini. Ibarat kain kapan yang putih bersihnya tiada nodanya. Aku yang dulu kerap meninjau WhatsApp last seen mesejnya kini tiada lagi. Hati sudah bercakap cukup untuk pengorbanan sia-sia selama ini. Sesungguhnya doa iftitah menyaksikan bahawa hidupku dan matiku hanyalah untuk-Nya bukan dirinya.
Hari demi hari, aku berasa semakin bahagia. Ibu bapa yang pernah kukasari kini aku santuni kembali. Membuka iPhone dan iPad hanya untuk belajar dan tanya khabar kawan tidak lagi mengintai dia yang mencampak kasihku ke lantai. Ramadan ini sangat lain. Biarpun terkurung dek kerana PKP yang belum temu noktah muktamadnya, jiwa aku masih mengembara di alam dunia pengetahuan yang selama ini kudamba. Seumur hidupku tak pernah-pernah aku menyertai study group, tapi dengan niat untuk cemerlang di dalam pelajaran, pintu hatiku terbuka beranikan diri meminta izin menyertai study group sahabatku, Qayyum. Dia antara orang pertama yang aku hubungi setelah hanyut di dalam arus kecewa. Aku menyatakan hasrat untuk menyertai mereka biarpun aku seorang sahaja daripada posting yang lain padahal mereka semuanya dalam posting yang sama. Itu bukan lagi masalahku. Aku mesti cakap serupa bikin. Kalau aku nak lulus dengan kepujian dalam peperiksaan akhir profesional maka inilah jalannya bukannya belajar sendiri-sendiri sehingga tiada yang masuk ke dalam minda dan sanubari. Aku harus mengaku aku tidak silap memilih kumpulan ini. Di dalamnya ada Qayyum, Muhanna, Iklil, Hidayah, Aliff, Amirul, Faris, Izzatul dan Farhani semuanya bukan calang-calang orang. Aku yang pernah gagal posting perbidanan dan sakit puan tidak pernah rasa kerdil kerana mereka sentiasa memimpin aku daripada pemahamanku yang kecil ini. Syukur, ya Allah pertemukan aku dengan insan-insan yang hebat ini. Hampir setiap hari kami membuat perbincangan melainkan hujung minggu. Dengan ini, banyak sebenarnya topik yang sudah kami pelajari dan aku semakin berani tiada lagi menempelak kekurangan diri.
Sebenarnya untuk melatih daya ingatanku, ada juga aku melihat video YouTube dan melihat sendiri teknik digunakan oleh bekas pelajar perubatan nombor satu di University of Cambridge dan beliau ada menyentuh bahawa cara yang terbaik untuk meningkatkan daya memori jangka lama dengan dua teknik yang dipanggil sebagai active recall method dan juga spaced repetition. Untuk mengukuhkan lagi hujahnya, dia membawakan bukti daripada artikel jurnal bukan direka-reka. Aku percaya dan aku cuba amalkannya dengan memuat turun aplikasi ANKI yang menggunakan kedua-dua teknik tersebut. Secara asasnya. ANKI ialah sebuah aplikasi untuk membuat sendiri kad imbas lalu. Bukti keberkesanannya terhadapku jelas terbukti dengan banyaknya maklumat dapat kuingat, malah fakta mengenai sebulan lalu masih lagi kuingat sekarang. Semua pelajar mahukan keajaiban dan ketajaman ingatan ketika hadapi peperiksaan, bukan? Ini rahsiaku, siapa yang membaca tinta ini sudah pecahlah gamaknya. Biarlah rahsia kejayaan ini termeterai asal jangan lupa dikongsi.
Tidak cukup dengan ilmu perubatan, semenjak aku tiada lagi habiskan tenaga memikirkan cinta dan penjara PKP, aku melahap lagi ilmu pengetahuan di luar bidangku, Aku mahu menguasai bidang keusahawan. Persoalannya sekarang bijakkah aku dalam selok-belok perniagaan? Tidak sama sekali. Maka, dengan rezeki Illahi, aku dipertemukan dengan kursus keusahawanan, pelaburan dan hartanah Ya, aku menyertai kesemuanya Jika tiada kelas atau perbincangan kumpulan, sinilah tempat aku melahap sampai buncit ilmuku. Entah kenyang atau tak lawas-lawas lagi. Tapi praktikal sangatkah ilmu itu untuk aku buat sekarang? Ya dan tidak. Tidak kerana aku tidak punya banyak wang lagi untuk melabur dan membeli hartanah. Ya kerana keusahawan bukan sekadar menjana pendapatan daripada kerja hakiki dan menjual barangan sebagai kerja sampingan sahaja. Aku mula bertanya diri apa lagi kebolehanku dan minatku di dunia ini. Oh, rupa-rupanya aku minat menyanyi dan menulis. Menyanyi? Mungkin aku perlu menjadi seperti Najwa Latif dengan laguku sendiri berjudul cinta muka al-Quran sempena berkat bulan barakah ini. Aku takkan menyanyi lagi selagi aku berlatih melalui di dalam kelas vokal itu sendiri. Sehingga satu hari, aku ternampak iklan daripada kawanku, Syahmi Aiman yang menyiarkan tawaran percuma daripada Akademi Seni Budaya dan Seni Kebangsaan (ASWARA) yang membuat kelas vokal percuma. Nafsuku yang belum puas mencari penawar kepada tamaknya ilmu memimpinku untuk merebut peluang ini. Ya, aku sudah menyertai kursus di luar bidang perubatan lagi – kelas vokal. Menulis pula bagaimana? Ya, inilah jawapan kepada sumber segala keusahawanan aku merangkap bakal pendapatan pasifku. Aku akan menyertai sebanyak mungkin pertandingan menulis karangan dan menulis buku sendiri. Tidak juga lupa rezeki terbuka lagi dengan penyertaanku ke dalam bengkel penulisan atas talian dengan yuran sebanyak RM99 di mana 25 orang penulis yang pakar dijemput berkongsi mengenai bidang penulisan, penyuntingan buku dan pemasaran. Semoga inilah jawapan kepada sumber kekakayaanku.
Persoalannya kenapa aku gigih sangat sertai semua kursus ini? Ini caraku menghilangkan resah gelisah cintaku. Inilah minatku yang sebenarnya. Aku mencuba mejadi diriku yang bebas dalam masa yang sama menuju ke Ilahi.. Aku suka menyanyi tapi ada motif di sebaliknya. Aku mahu mewarnai lagu-lagu industri negara kita dengan lagu pengubat jiwa bukanlah nasyid sangat tetapi lebih kepada lagu motivasikan diri bukan lagu putus cinta dan lagu cerai berai. Pernah dengarkah kalian lagu Standing in the Eyes of the World? Ya, lagu seperti inilah maksudku. Biar hanya al-Quran dan dengan izin penulisnya, lagu bakalku cipta dan nyanyi sendiri untuk mengubati pesakit yang depressi. Ini matlamatku. Hartanah dan pelaburan pula apa sumbangan kepada pesakit? Jika ekonomi negara atau masyarakat Islam amnya bangkit mencerna ekonomi, kadar kemiskinan dapat dikurangkan. Zakat diberi untuk menyucikan jiwa dan harta bukannya menyusahkan kita sekeluarga. Betul tak? Aku juga mahu jadi jutawan Islam yang mukmin. Semoga aku tak gila harta melebihi harga kasih kepada-Nya.
Kini aku masih merangkak kembali mengenal pencipta yang abadi. Jika bukan Dia yang mengaturkan Ramadan untuk hulurkan tangan, nescaya aku masih lagi bertepuk sebelah tangan. Mungkinkah sebenarnya doa ibu bapaku kepada Tuhan dijawab dengan Ramadan? Apa pun yang akan terjadi, tahniah kerana masih ada lagi hari ini untuk aku berpeluang menang di sini dan di sana yang abadi. Takziah pula pada matinya segenap hati yang terlalu menyayangi manusia melebihi Ilahi yang kini tiada lagi erti. Cintaku hanya untuk yang hakiki, yang syurganya kucari bawah tapak kaki. Maafkan, adik, mak sebab pernah menjadi sebab diri ini ditangisi. Maafkan, adik, ayah sebab hancurkan segenap harapan yang ayah beri kepada adik yang buta hati. Sumpah adik sayang mak dan ayah sampai mati.Tiada siapa lagi lebih berhak bangga melainkan mak dan ayah sendiri. Biarlah selepas ini air mata yang jatuh ke pipi hanya kerana gembira bukan lagi dilukai. Bantulah hamba-Mu yang bakal berdosa lagi, ya Ilahi!
Comments