top of page

STUDENTS’ REAL EXPERIENCE DURING RMO

  • NURLIYANA BINTI MOHD YUNOS
  • May 11, 2020
  • 8 min read

Rasa macam nak tergelak pula bila teringat waktu mula-mula Perdana Menteri kelapan mengumumkan bahawa Institut Pengajian Tinggi (IPT) akan ditutup bermula 18 April 2020 disebabkan wabak Covid-19. Tengiang-ngiang lagi sorakan kegembiraan penduduk mahallah sebaik sahaja selesai tonton siaran langsung. Manakan tidak, tempoh Perintah Kawalan Peregrakan (PKP) tersebut umpama kejutan yang paling dinanti-nanti hampir setiap pelajar kerana dapat bercuti sebentar tanpa sebarang tekanan dan kesibukan pelajaran dan program universiti. Namun, siapa sangka tempoh yang dijangka hanya berlangsung untuk 2 minggu sahaja kini telah memasuki minggu ke-8. Kasihan tanaman sukulen aku di mahallah sebab tuan dia tinggalkan dia lama-lama. Oh, terlupa aku beritahu kalian bahawa tempoh PKP ini aku habiskan di rumah sahaja. Alhamdulillah, ibu bapaku segera mengambilku supaya aku sempat pulang sebelum PKP bermula.

Mesti kalian sedar terdapat banyak cabaran- cabaran yang masyarakat Malaysia kongsikan di laman social seperti Dalgona Coffee Challenge dan Don’t Rush Challenge. Kebanyakannya menjadikan cabaran-cabaran ini sebagai suatu inisiatif utuk mengisi masa lapang mereka. Seperti mereka juga, banyak sebenarnya aktiviti yang aku buat di rumah dan sekarang aku nak ceritakan perkara-perkara yang aku lakukan sepanjang tempoh PKP berlangsung. Namun, sebelum meneruskan lebih lanjut, aku ingin membuat penafian bahawa aku tidak membuat perkongsian ini disebabkan aku terlalu bosan duduk di rumah ya. Jujur aku cakap, cerita yang aku hendak beritahu ini adalah sebab terdapat banyak aktiviti yang aku buat di rumah yang kalian dan terasa rugi pula kalau aku tak berkongsi. Lagipun, nanti kalau anak cucu aku tanya pengalaman aku, dapatlah aku jawab dengan lancar seperti jawapan pelajar dekan. Apapun, teruskan membaca tanpa jemu sebab cerita ini akan bergerak seperti Roller Coaster dan melambung-lambung perasaan korang. Erm harapnyalah, kah!

Sebenarnya, pengalaman duduk di rumah untuk tempoh yang panjang agak jarang berlaku sejak aku masuk ke universiti. Selalunya, sewaktu cuti semester, aku akan bekerja sambilan untuk mencari duit tambahan. Namun, sepertimana kita semua maklum, kita semua tidak dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKP ini. Jadinya, aku agak risau juga bagaimana aku dapat menghabiskan waktu aku tanpa kebosanan yang melampau. Rupa-rupanya kerisauan aku itu tidak menjadi kenyataan pun.

Pertama sekali, benda yang aku buat apabila sampai rumah adalah tidur. Eh! Jangan pula nak tuduh aku pemalas. Kalian pun mesti buat juga kan. *sambal senyum sinis* Walau bagaimanapun, aku tidur bukan sebab aku pemalas, tapi sebab aku sampai rumah pukul 3 pagi, sudah tentulah aku selesaikan keperluan biologi tubuh aku ini. Haha. Baik, kena jadi serius balik kalau tidak makin melalut nanti. Aku tahu cuti ini memang waktu yang terbaik untuk ganti waktu yang kita semua sudah korbankan sebab bejaga malam untuk siapkan tugasan universiti. Tapi janganlah tidur sampai tak ingat akhirat. Jangan pula kau berjaga malam sampai pukul 2-3 pagi macam burung hantu sehinggakan jam biologi tubuh kau pun berubah. Tidurlah secukupnya supaya badan kau lebih bertenaga untuk buat lebih banyak akitiviti yang bermanfaat waktu di rumah. Inilah tips yang patut kita semua pegang kalau nak jadi lebih aktif.

Disebabkan aku sudah menjaga waktu tidur aku dengan baik, tidaklah aku tidur lepas subuh. Sekejap, sebelum aku teruskan lebih lanjut, aku nak tambah sesuatu. Sejak bermulanya PKP, mak ayah aku wajibkan seluruh isi rumah untuk solat fardu berjemaah di rumah. Lagipun waktu itu, sudah keluar arahan untuk solat fardu di rumah. Jadinya, ayah, adik lelaki dan abang aku akan bergilir-gilir untuk menjadi imam. Waktu mula-mula ayah aku keluarkan arahan veto tersebut, aku macam mengalami ‘kejutan budaya’ jugalah. Kebiasannya, kaum adam di rumah ini akan pergi solat berjemaah di masjid manakala kaum hawa pula solat sendiri di rumah. Namun, sebagai anak, kita kenalah sami’na wa ato’na, kami dengar dan kami taat. Walau bagaimanapun, alhamdulillah, arahan tersebut menjadikan aku lebih berdisiplin dalam menjaga solat waktuku. Kami akan bersiap dengan segera sebaik sahaja azan berkumandang supaya tidak terlewat untuk sertai solat berjemaah di rumah. Selain itu, selepas selesai solat fardu Subuh dan Maghrib, kami juga dimestikan untuk membaca Al- Quran bersama-sama. Selalunya kami akan membaca Surah Yasin selepas Subuh dan Surah Al- Mulk selepas Maghrib. Bacaan ini diketuai oleh ayahku serta diiringi dengan bacaan tahlil. Kemudian, barulah kami dibenarkan untuk meneruskan aktiviti lain secara bebas.

Jadinya, apa yang aku buat selepas sesi tadarus usai solat Subuh? Aku belajar Bahasa Korea. Ya, kalian tidak tersalah baca, aku memang belajar Bahasa Korea melalui aplikasi di telefon pintar. Jangan kalian fikir aku belajar Bahasa Korea sebab nak tengok lebih banyak drama korea. Eh, sebenarnya betullah juga tapi itu bukan satu-satu asbabnya. Aku memang sudah lama teringin belajar bahasa tambahan dan setelah aku teliti antara Bahasa Korea, Jepun dan Mandarin, aku memiilih untuk belajar Bahasa Korea terlebih dahulu disebabkan bilangan hurufnya yang sedikit dibandingkan dengan 2 pilihan yang lain dan bahasa tersebut lebih mudah untuk dibaca. Itu pendapat peribadi akulah. Kalian jangan marah aku pula kalau ada pendapat lain. Pembelajaran ini sebenarnya sudah aku mulakan sejak di universiti lagi tetapi aku tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya. Jadi, ruang masa yang diperoleh sepanjang PKP ini aku gunakan untuk belajar ketiga ini dengan lebih aktif.

Apa pula aktiviti lain yang aku buat? Sebagai pelajar mestilah perlu siapkan kerja hakiki iaitu tugasan universiti yang diberikan oleh pensyarah. Walaupun cuti, kerja masih perlu disiapkan. Ikutkan hati, malas itu memang ada, tapi aku risau akan menyusahkan rakan sekumpulan bagi tugasan berkumpulan. Tidak mahulah digelar ‘penunggang percuma’ ataupun free rider pula. Jadi, aku utamakan tugasan seperti itu dahulu. Ada juga waktu yang aku tidak ada idea langsung, jadinya aku akan tumpukan dengan mencari isi penting dalam artikel atas talian dan cari lebih banyak bahan rujukan. Pernah juga aku ketandusan idea sampaikan aku tenung laptop dan laptop pun sibuk nak tenung aku semula. Yalah, sedang cuti kan, otak aku pun suka hati sahaja nak proses idea selembab mungkin.

Satu perkara penting yang kalian mesti tahu kenapa aku katakan tempoh PKP ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti adalah disebabkan kehadiran anak-anak saudaraku. Sewaktu tempoh PKP, anak buahku tinggal bersama keluargaku. Mereka dah terbiasa kalau duduk di rumah ibu bapaku, tentu akan dimanjakan dan dapat selalu bermain. Makanya, bermula saat itu, kehidupan kami di rumah menjadi lebih riuh-rendah. Manakan tidak, perlu uruskan mereka seperti untuk mandi dan makan kerana mereka kecil lagi. Tambahan lagi, mereka juga mempunyai kerja sekolah. Disebabkan mereka mendapat tugasan sekolah secara atas talian, jadinya setiap kerja perlu dibimbing oleh penjaga di rumah. Makanya makcik-makcik merekalah yang bertanggungjawab untuk menjadi ‘cikgu sementara’ mereka termasuklah aku memandangkan ibu bapa mereka tiada. Aku pun dengan relapaksa menjadi guru sambilan tidak bertauliah terutamanya untuk anak buahku yang berumur 7 tahun itu. Selalunya aku akan mengajar iqra’ kepadanya selepas selesai solat Isyak berjemaah. Dalam tempoh PKP ini jugalah aku rasa kesabaranku teruji. Kalian yang ada adik kecil di rumah pun mesti boleh faham keadaannya macam mana. Aku juga belajar bagaimana untuk menangani keadaan kalau mereka menangis dan tidak mahu ikut arahan. Walaupun geram sampaikan aku risau akan mendapat masalah darah tinggi apabila anak-anak buahku buat perangai dengan bermacam-macam ragam, namun aku sedar merekalah penghibur kami sewaktu di rumah ini. Kalau mereka tiada, memang terasa sunyilah sedikit. Selain menguruskan anak buahku dan membantu mereka menyiapkan kerja sekolah, aku akan bermain dengan mereka. Waktu ini sahajalah aku dapat menjadi kanak-kanak riang. Maklumlah selama ini hidup asyik perlu serius. Jadi apabila dapat peluang untuk bermain puas-puas seperti ini, rebutlah!

Tambahan lagi, aku sebagai gadis Melayu terakhir tidak terlepas juga daripada aktiviti masak-mamasak di rumah. Selalunya aku dan kakak-kakakku akan bergilir-gilir untuk membuat eksperimen di dapur. Sejujurnya, aku memasak bukanlah untuk mengisi masa lapang mahupun meningkatkan kemahiran memasak aku yang tidak seberapa ini. Aku memilih untuk memasak sebab aku lapar! Aku selalu terliurkan pelbagai makanan manis hasil menonton video masakan di media sosial. Disebabkan makanan tersebut sukar untuk diperoleh memandangkan kedai makanan ditutup, aku pun memilih untuk membuat sendiri apa yang aku idamkan tersebut. Alhamdulillah, setakat ini aku telah berjaya membuat beberapa pencuci mulut tradisional seperti bingka pandan, sagu gula melaka dan kuih apam perlis. Aduh, terliur pula aku bila teringat makanan tersebut di bulan puasa ini. Jadi, aku sarankan pada kalian yang selalu berulang-alik ke dapur sepanjang tempoh PKP ini untuk turut belajar memasak. Aku tidak cakap yang aku pandai memasak. Sungguh tidak. Bahkan banyak kali terjadi insiden kuih bantat, kurang manis dan sebagainya. Nak buat macam mana, baru pertama kali buat. *Haihh* Namun sekurang-kurangnya, terbakarlah sedikit kalori badan waktu kita berpeluh-peluh cuba memasak itu ini. Barulah kita dapat makan lebih banyak tanpa rasa menyesal. Eh!

Bercakap pasal kalori, aku juga selalu bersenam di rumah untuk membakar kalori hasil terlebih makan. Syukur, ruang di rumahku tidak terlalu kecil untuk aku buat beberapa aktiviti senaman seperti ‘brisk walking’ iaitu aktiviti bejalan dengan kadar yang pantas sehingga tahap degupan jantung berada pada tahap sederhana. Selalunya, aku akan meluangkan sekurang-kurangnya 45 minit untuk aktiviti ini sahaja. Tapi berjalan sahaja pun boleh buat bajuku lencun dengan peluh. Buatlah, baru kalian akan percaya! Sebelum bulan puasa, aku melakukan aktiviti ini pada waktu pagi dan petang. Sewaktu bulan puasa pula, aku tidak lagi mengamalkan senaman kardio seperti itu. Aku memilih untuk melakukan senaman yang menggunakan berat badan kita sendiri yang turut dikenali sebagai ‘weight training’. Senaman ini aku lakukan lebih kurang 1 jam sebelum waktu berbuka. Aku sedar, apabila berlama-lama di rumah tanpa sebarang kerja fizikal, badan aku pasti akan melebar dengan jayanya. Jadi, supaya tidak menyesal di kemudian hari, aku turut mengamalkan ‘intermittent fasting’ iaitu berpuasa sekejap untuk tempoh tertentu. Aku mengamalkan diet tersebut sejak minggu pertama PKP dan aku teruskan juga pada bulan Ramadhan ini. Bagiku, diet ini agak mudah untuk dilaksanakan kerana kita boleh makan apa sahaja yang kita mahu asalkan kita melengkapkan tempoh puasa kita. Jangan salah sangka, aku bukan hendak mempromosikan diet ini dan aku bukan agen bagi sebarang program diet pun! Aku cuma hendak kalian tahu bahawa untuk menjadi lebih sihat itu sebenarnya tidak susah pun. Lagipun, mukmin yang kuat itukan lebih dicintai Allah berbanding mukmin yang lemah. *kenyit mata*.

Apabila masuk ke bulan mulia iaitu Bulan Ramadhan pula, rutinku sedikit berubah. Selain daripada aktiviti yang aku ceritakan sebentar tadi, terdapat juga aktiviti tambahan yang sedikit berbeza berbanding sebelum ini. Kami, anak-anak perempuan, termasuk ibuku akan membuat persediaan memasak lebih awal untuk sediakan makanan iftar. Selain itu, ayahku akan membeli beberapa makanan seperti buah untuk disedekahkan kepada penduduk di sekitar. Jadinya, kami akan beramai-ramai potong dan bungkus makanan tersebut supaya dapat segera diagihkan. Waktu ini, sesuailah kalau nak nyanyi lagu Wonderpets – “Apa yang penting? Kejasama!”. Tambahan lagi, selesai sahaja memasak juadah berbuka, ibuku akan memintaku dan adik-beradikku yang lain untuk menghantar makanan yang sudah kami masak ke rumah jiran-jiran di sekitar. Seronok sangat bila melihat tradisi ini dapat dihidupkan kembali terutamanya apabila jiran-jiran pun turut buat perkara yang sama. TEringat pula aku pada satu babak dalam Drama Korea ‘Reply 1988’ sewaktu Dok Seon dan rakan-rakannya diminta oleh ibu bapa mereka untuk menghantar makanan ke rumah jiran-jiran mereka. Seperti dalam cerita itu juga, alhamdulillah, juadah berbuka kami bertambah sangat banyak dengan pelbagai jenis masakan. Inilah antara hikmah PKP yang aku perasan kerana kita lebih mudah memberi dan ingin saling berkongsi kesenangan. Di samping itu, kami turut mengerjakan Solat Terawikh bersama-sama setelah melaksanakan solat Isyak berjemaah. Inilah serba sedikit perubahan sewaktu bulan puasa ini berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Aduh, baru aku perasan, sudah panjang berjela pula cerita aku ini. Tidak apalah, kalian sendiri yang ambil risiko hendak baca juga. Aku tak paksa pun kan. Haha, gurau sahaja, jangan berhenti baca pula! Kesian aku nanti. Oh, sebelum aku tamatkan perkongsian aku, ada sedikit lagi aku tambah. Bila aku cerita dengan kalian, baru aku sedar banyak pengajaran yang aku dapat sejak PKP ini. Pengalaman yang aku hadapi sekarang mungkin akan berbeza 180 darjah kalau aku cuma dapat duduk di kampus. Pengalaman seperti ini juga mungkin tidak akan muncul lagi pada tahun-tahun akan datang. Pengalaman ini juga mungkin hadir seketika cuma. Dan aku pasti kita semua pasti akan merindui detik-detik ini apabila roda kehidupan kita bergerak seperti biasa. Jadi, hargailah waktu yang kita miliki sekarang. Itu sahaja daripada aku.

Sekian, terima kasih!

Komentar


Brought to you by:

Thanks! Message sent.

LOGO 5.png
bottom of page