Skrol Tiga Titik
- Muhammad Faiz bin Mohd Nor
- May 11, 2020
- 11 min read
Angin semilir bertiup lemah gemalai, mencuit dengan halus kulit Hafiz bin Harun yang sedang berdiri kaku di atas sebatang jalan besar berhadapan sebuah semak tebal. Daun-daun gugur daripada pohon-pohon semak itu menari-nari atas udara yang diselimuti gelap malam sebelum rebah di atas jalan tar berdekatannya. Pandangan mata Hafiz tertancap kepada gugusan bintang yang menghiasi permaidani langit malam itu yang menjadi satu-satunya sumber cahaya buat peneman kesunyian dan kedinginan. Bintang dan bulan bersinar meriah seolah-olah sedang menyambut sambutan kemerdekaan daripada penjajahan pencemaran cahaya kota. Kecantikannya barangkali layak untuk mendapat pengiktirafan Pertubuhan Langit Gelap Antarabangsa yang dirangkul oleh negara Niue di selatan Lautan Pasifik.
Sudah 20 hari negara Malaysia ditenggelami hening terutamanya pada waktu malam susulan penguatkuasaan kawalan pergerakan akibat wabak Covid-19 yang semakin ganas merempuh negara. Yang tua mahupun muda, yang miskin mahupun kaya, kesemuanya dilanggar sahaja oleh makhluk kecil bernama virus corona yang tidak memilih bulu siapa sasarannya.
Hafiz menggaru-garu kepalanya. Dia bernasib baik kukunya tidak tajam mana, jika tidak mungkin isi otaknya juga boleh terkupas dek jari jemarinya yang galak berdansa mencakar kulit di celah-celah rambut hitam likat. Hafiz berusaha memecah kotak-kotak fikirannya namun tiada jawapan yang boleh dikorek mengenai memori sepanjang beberapa jam lepas. “Apa aku buat di sini? Sekarang kan tengah lockdown? Mampus aku kalau polis nampak”, getus hati kecil Hafiz.
Hafiz melangkah perlahan menuju kembali ke rumah. Niatnya mahu laju mempercepat pergerakan kerana risau diberkas penguatkuasa yang kemungkinan besar sedang meronda di kawasan sekitar namun pada masa sama Hafiz tidak mahu melepaskan peluang mengamati keindahan langit pada malam itu. Kali pertama dalam hidupnya, dia melihat sinaran dan kerlipan objek selestial yang begitu berwarna warni. Ketika manusia sedang berduka dek dikurung, makhluk-makhluk Tuhan yang lain sedang girang berpesta meraikan dunia tanpa manusia.
Kelihatan sebuah rumah dengan ketinggian tiga tingkat tersergam megah di seberang jalan. Hafiz semakin hampir menghampiri rumah. Mindanya ligat memikirkan permainan video apa yang mahu dimainkannya. Hafiz meluangkan masa lebih 6 jam sehari untuk bermain permainan video. Tidak pelik untuk seorang remaja berusia 15 tahun yang hampir setiap hari duduk di rumah keseorangan, bertemankan hanya rumah agam yang besar itu dan seekor kucing Parsi. Apabila kembali ke rumah Hafiz akan terus duduk di hadapan komputer ribanya dan larut dalam dunia fantasi yang melatari permainan video kegemarannya. Ayah Hafiz merupakan seorang ahli perniagaan berjaya yang jarang sekali berada di rumah manakala ibunya pula sudah lama pulang ke pangkuan Ilahi setelah 5 tahun bertarung dengan kanser rahim. Walaupun begitu kesunyian Hafiz ini bukanlah sesuatu yang sudah lama ditanggungnya, kerana sebelum ini Hafiz sentiasa bertemankan Mak Yah yang sudah 10 tahun berkhidmat kepada keluarga Hafiz sebelum dia dipecat oleh Dato’ Harun hanya dua hari lepas.
“Jangan datang balik ke sini! Dasar ahli sihir sial! Harta pun miskin, budi pun miskin. Bertahun-tahun aku tolong kau ini yang kau balas kat aku. Berambus sebelum aku telefon polis untuk sumbat kau dalam penjara”, Dato’ Harun menghembus makiannya dalam satu nafas. Urat hijau di dahinya tegang. Hafiz hanya memerhati suasana kecoh itu dari jauh sambil mengetap bibirnya. Mak Yah kelihatan sedang menangis teresak-esak namun Hafiz tidak berminat untuk ambil tahu apa yang berlaku selepas itu. Apa yang penting, Mak Yah sudah berambus. Apa yang penting, dendam pramatangnya telah terlunas, walaupun penyesalan yang berat akan menjenguknya beberapa hari sesudah itu.
Hafiz menjejak kaki ke perkarangan rumahnya. Hafiz membongkok dan memegang kedua-dua kepala lututnya erat lalu menghela nafas lega. “Sampai juga akhirnya ke sini, macam mana tah tiba-tiba sesat kat tengah jalan”, Hafiz bermonolog kecil. Lampu beraneka warna dapat dilihat berkelip-kelip daripada tingkap besar di sebelah pintu utama rumahnya. Tingkap tersebut merupakan jendela bilik tidurnya yang kedudukannya betul-betul sebelah pintu utama.
Sejak Mak Yah sudah berhenti bekerja di rumahnya hanya beberapa hari lepas,Hafiz terpaksa melakukan sendiri kerja rumahnya. Mungkin kesibukan belum terasa kerana kerajaan Malaysia telah menutup semua sekolah buat sementara waktu untuk menghadapi wabak Covid-19 maka Hafiz tidak perlu pergi ke sekolah atau risau mengenai kerja sekolah. Sepatutnya Hafiz perlu hadir kelas dalam talian namun sekolah Hafiz merupakan sebuah sekolah elit yang guru-gurunya beriman bahawa pelajar boleh lakukan sendiri segala-galanya. Hanya cikgu Hamidah, guru bahasa melayunya yang tidak putus-putus memberi kerja manakala cikgunya yang lain senyap belaka. Entah apa yang akan diisi dalam buku log pengajaran maya mereka yang sepatutnya dibentangkan apabila sekolah dibuka semula, hanya Tuhan yang tahu. Apa yang penting apabila sekolah mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan, guru-guru itu terus mendapat nama dan kemasyhuran.
Hafiz terdetik untuk menjenguk sebentar bilik tidurnya melalui tingkap tersebut. Dia sendiri tidak faham apa yang berlaku namun kelibat yang dilihat Hafiz di atas katilnya sangat menggerunkan. Tangan halimunan yang sejuk seolah olah sedang menyapu tulang belakangnya dari bawah ke atas dan menggenggam jantungnya. Bulu roma tertegak keras atas kulitnya. Hafiz sekali lagi menggosok kedua-dua bola matanya, tidak mahu terpedaya dengan imej yang menurutnya merupakan permainan imaginasi minda semata-mata lalu membukanya semula luas-luas sambil terkebil-kebil melihat sosok tubuh atas katilnya itu. Tidak syak lagi ini bukan semudah permainan silap mata minda. Tubuh kaku yang dilihat atas katilnya itu ialah objek realiti.
Sekujur tubuh sedang berguling-guling atas katil sambil memeluk bantal dakap bersarungkan kain berwarna coklat yang mirip dengan warna kain cadar katil dan sarung bantalnya. Komputer riba atas mejanya tidak tertutup, masih lagi memaparkan permainan video Left 4 Dead seolah-olah Hafiz tidak menutup permainan video itu sebelum dia tidur nyenyak sambil berguling-guling atas katil itu. Tidak syak lagi, tubuh yang terbaring itu ialah Hafiz sendiri.
“Macam mana aku duduk di sini pulak? Bedebah! Yang tidur atas katil tu aku, yang tengah berdiri di sini pun aku, permainan apa kau nak main ni lahanat!”, Hafiz mencakar mukanya sendiri dengan harapan bahawa dia sekadar sedang bermimpi dan akan terbangun nanti. Kukunya dibenamkan dalam isi pipinya sehingga terkorek keluar sungai-sungai darah yang selama ini mengalir di bawahnya. Dadanya sedang beralun seperti ombak dengan jantung di dasarnya berdegup seolah-olah mahu melompat keluar melalui kerongkong. Perasaan cemas dan ketakutan telah menenggelamkan kesakitan. “Cepat lah bangun, cepat,cepat,cepat”, tidak cukup dengan mencakar pipinya Hafiz menampar-nampar pula pipinya sehingga sungai-sungai darah merah di atas pipinya bercampur baur menjadi tasik pula pada wajahnya. Hafiz terkial-kial memikirkan situasinya. Seperti Josh Lambert dalam siri filem seram Insidious pula keadaanya.
“Sial! Apa aku patut buat sekarang”, pekik Hafiz namun dia tidak pasti ada atau tidak sesiapa yang mendengar jeritan itu. Ada sebenarnya yang mendengar namun makhluk yang mendengar itu bukan seperti apa yang disangka oleh Hafiz.
Bulu roma Hafiz berbaris tegak, apabila bahunya disapa oleh tangan halus. Hafiz segera menoleh ke belakang, dan melihat satu figura yang aneh. Seorang manusia, mungkin berjantina perempuan, dengan mata berwarna hijau, kulit putih sedikit kekuningan dan berambut hitam likat, lurus sehingga ke pinggang. Makhluk itu mengenakan blaus berwarna hijau gelap berlengan panjang dan berleher bulat dengan skirt panjang berwarna sama yang mencecah sehingga ke buku lalinya. Terdapat rantai leher bertatahkan berlian berkilat yang dikalungkan di leher sehingga mencecah leher blausnya di bahagian dada. Sekiranya bukan kerana sayap putih seperti merpati yang apabila dilipat berukuran sama tinggi dengan ketinggian seluruh tubuhnya dan sepasang telinga capang seperti elf, Hafiz tidak akan dapat membezakan makhluk seakan-akan gadis perempuan itu daripada manusia biasa.
Hafiz terpukau seperti berada bawah pengaruh hipnotik apabila pandangan matanya terlekat pada mata hijau gadis itu. Kilauan matanya berseri-seri seperti berlian yang menghiasi rantai lehernya. Kehangatan senyumannya cukup untuk mencairkan ais di kutub yang boleh menyebabkan banjir besar yang menenggelamkan seluruh dunia.
“Awak nak kembali normal atau tak? Saya boleh bantu awak tetapi perjalanannya awak harus tempuh sendiri”, soal gadis itu kepada Hafiz. “Siapa awak? Apa yang berlaku kepada saya? Adakah awak malaikat yang dihantar untuk mencabut nyawa saya?”, Hafiz sudah kehilangan kata untuk menyoal lebih banyak kepada gadis itu.
“Eh malaikat kan tidak berjantina? Awak tak tahu ka? Saya hanyalah makhluk biasa sahaja yang sekadar belum dapat ditemui oleh teknologi manusia dan apa spesis saya sebenarnya tidak penting. Cukup lah untuk awak tahu bahawa menurut persamaan Drake, sepatutnya di alam semesta ini terdapat banyak spesis-spesis pintar selain manusia dan saya adalah sebahagian daripada spesis itu. Manusia yang kebingungan dihantui paradoks Fermi terlalu terburu-buru untuk mencari tamadun pintar di planet lain tetapi tidak di planet mereka sendiri”, gadis itu membalas lembut. “Saya tak mahu bocorkan lebih, takut-takut awak khabarkan kepada kaum manusia mengenai saya dan spesis saya boleh pupus kalau teknologi sains awak dapat membongkar rahsia kewujudan kami. Kami sudah mengambil pengajaran daripada kematian Truganini yang merupakan wanita kaum peribumi Tasmania yang terakhir. Jika kaum daripada spesis awak sendiri pun awak sanggup hancurkan apatah lagi spesis lain yang manusia anggap berada di bawahnya. Cukuplah awak tahu nama saya Leah”, gadis itu menambah lagi dengan nada risau. Entah siapa yang sedang takut kepada siapa sekarang. Hafiz menggigil melihat Leah, tetapi Leah juga takut kepada bangsa manusia dan dia mahu sentiasa berwaspada supaya rahsia tamadun mereka tidak jatuh ke tangan manusia.
“Ok Leah, saya pun tak nak peningkan kepala saya lebih daripada kepeningan sedia ada. Bangsa awak kah yang bertanggungjawab memberi sumpahan ini dan bagaimanakah hendak menamatkannya?”, Hafiz cuba untuk fokuskan perbualan mereka kepada isu yang paling penting menurutnya sekarang.
“Tidak ada sesiapa yang menyumpah awak, ini hanyalah satu keganjilan yang berlaku satu dalam sebillion. Kerana hukum fizik yang berbeza yang bangsa awak masih belum faham, awak dapat berinteraksi dengan saya dan saya pun tidak dapat pastikan lagi secara jelas sama ada ianya satu bentuk tuah atau malapetaka. Tuah mungkin untuk awak, dan malapetaka mungkin untuk saya, seperti tuah Christopher Columbus menemui pulau Hispaniola yang merupakan malapetaka untuk kaum Tainos”, Leah masih mengekalkan nada kegusaran dalam intonasi percakapannya. “Berbeza dengan manusia, ritual peragaan sukma bukan sesuatu yang asing buat kami. Kerana kasihan saya kepada awak, saya rasa hendak membantu, jadi dengar baik-baik”, Leah menghulurkan sekeping skrol kepada Hafiz. Masih kebingungan, Hafiz menyambutnya lalu membuka skrol tersebut.
“Awak harus mencari tiga kunci yang sudah dihuraikan lokasinya dalam peta ini”, Leah menyebut ringkas dan jelas. “Kat mana semua tempat ni? Hutan tebal? Gunung ganang? Jurang Mariana?”, Hafiz menyoal sambil menatap peta itu yang tidak memberi perihal rinci mengenai lokasi yang perlu dicarinya melainkan panduan arah menujunya sahaja. Suasana tiba-tiba menjadi sunyi kembali, diam tanpa suara yang menyahut pertanyaannya. Hafiz menoleh ke belakang dan Leah sudah pun menghilangkan diri.
Hafiz masih tidak pasti ini mimpi atau bukan mimpi. Dia sudah penat tenggelam dalam kebingungan, jadi dia tidak berminat lagi untuk menyoal lebih lanjut. Hafiz melihat tiga titik berbentuk X yang berwarna merah pada kertas skrol berwarna perang itu. “Wow wow wow wow apa yang terjadi ni?”, Hafiz menjerit panik apabila tiba-tiba tekstur tubuhnya berpusing seperti lingkaran lohong hitam dan sedang disedut masuk ke dalam skrol yang dipegangnya, sejurus selepas dia menyentuh satu daripada tiga titik itu dengan jari telunjuknya.
Dalam sekelip mata tiba-tiba Hafiz muncul di dalam sebuah bilik tidur. Hafiz sedang berdiri menghadap sebuah katil yang terletak rapat ke dinding bersebelahan dengan tingkap berlangsirkan kain berwarna merah. Pintu ke bilik itu pula terletak betul-betul di belakangnya. Kalau ada orang masuk nanti macam mana? Ah! Hafiz tidak ada masa untuk peduli. Satu demi satu peristiwa ganjil yang semakin aneh terus menerus menyeksa akal rasionalnya. Almari, cermin solek dan katil, itu sahaja yang dapat dikenalpasti wujud di dalam bilik itu. Tidak banyak mana perabot yang ada, dan kesemuanya nampak seperti bayang-bayang kelabu, hitam dan putih sahaja kerana bilik itu gelap tanpa sebarang cahaya, melainkan cahaya bulan yang samar-samar menyinari langsir merah di tingkap sebelah katil tersebut, satu-satunya objek yang Hafiz dapat kenal pasti warnanya dengan jelas
“Abaaaaang! Apa abang buat ni?”, tiba pintu di belakang Hafiz yang tertutup rapat tadi terpampang luas apabila dibuka seorang lelaki berusia 30-an yang sedang menyeret seorang wanita dengan menggenggam rambutnya. Wanita itu juga kelihatan berusia 30-an, sedang diseret dengan posisinya dalam keadaan terduduk. Kaki dan punggungnya terletak 180 darjah atas lantai manakala belakangnya pula condong secara vertikal ke arah kaki lelaki tersebut sehingga kepalanya betul-betul bersandar ke punggung lelaki itu yang sedang menarik rambutnya dari arah belakang. Kaki wanita itu berkali kali terangkat dan tubuhnya juga berkali-kali berpusing ke kiri dan ke kanan dalam usaha untuk meronta melepaskan diri tetapi genggaman lelaki itu terlalu kuat.
Lelaki dan wanita yang ditariknya itu menembusi sahaja tubuh Hafiz seolah-olah Hafiz ialah imej hologram yang tidak ada pepejal fizikal. Malah mereka tidak nampak pun Hafiz di situ, seolah-olah Hafiz tidak wujud.
Pang! Tamparan kencang lelaki itu menghinggap wajah wanita tersebut. Wanita itu terbaring atas lantai sambil menangis teresak-esak. “Hei betina sundal. Disebabkan lockdown haram jadah ni aku dah lama tak dapat keluar ambik dadah aku, jadi mood aku pun memang sudah dari awal tak baik. Sampah yang kau masak tu buat aku makin panas dan menyampah. Nak aku bunuh kau sekarang ka?”, lelaki itu sedang mengherdik wanita tersebut. Matanya merah seperti saga, tatu tengkorak dapat dilihat mewarnai tubuhnya yang hanya berseluar jeans tanpa baju dengan bantuan cahaya bulan. Wanita itu tidak dapat dilihat dengan jelas, hanya tangisannya yang dapat didengar oleh telinga. Sejak perintah kawalan pergerakan berlangsung, setiap hari wanita itu dipukul dan dibelasah tanpa belas kasihan namun Hafiz hanya melihatnya depan mata pada malam ke-21. Suara jeritan, pekikan dan tangisan semakin kuat dan nyaring namun Hafiz tidak ada masa untuk ambil tahu apa yang berlaku selanjutnya, kerana skrol yang dipegangnya kini sudah menyala terang. Satu titik dalam peta itu berubah bentuk dan warna daripada X berwarna merah kepada simbol kunci berwarna hijau, dan Hafiz diseret masuk pula ke titik X yang kedua dalam skrol itu sepertimana yang berlaku ketika dia diseret masuk melalui titik X yang pertama.
“Oh! Ini rupanya kunci yang aku perlu cari”, Hafiz tersenyum. Tidak la susah mana pun perjalanannya. Sekarang bau air laut sedang menusuk hidung Hafiz. Tiba-tiba kepalanya terasa loya dan badannya sedang terumbang ambing. Hafiz kini berada atas sebuah bot kecil pula yang sedang dipukul ombak ganas di tengah-tengah samudera. Bot itu kecil namun padat dengan lebih kurang 500 orang lelaki, perempuan dan kanak-kanak berbangsa Rohingnya yang kelihatannya seperti pelarian. Badan mereka kurus kering dan pakaian mereka compang camping. Bot itu sedang kecoh apabila seorang wanita kelihatannya sedang meneran untuk melahirkan anak. Satu lagi titik X berwarna merah bertukar menjadi simbol kunci berwarna hijau, menyebabkan Hafiz tersenyum lalu dia pun lekas-lekas bergerak masuk melalui titik X yang terakhir, meninggalkan bot Rohingnya itu terus terumbang-ambing. Beberapa jam kemudian bot itu ditenggelami air dan kesemua penumpang bot itu hanyut di lautan Hindi. Hafiz hanya mengetahuinya kelak apabila dia membaca surat khabar pagi esok.
Titik terakhir telah membawa Hafiz ke sebuah teratak usang. Bilik tidur Hafiz kelihatan lebih besar daripada keseluruhan teratak tersebut. Satu-satunya ruang di dalam teratak kecil itu memiliki pelbagai fungsi, di situlah dapur, ruang tamu dan juga tempat tidur. Tidak ada sebarang perabot, melainkan tilam dan tikar getah yang sudah lusuh. Terdapat banyak longgokan beg dan pakaian yang diatur di tepi dinding sahaja. Peralatan harian yang kecil-kecil pula disusun dalam raga-raga yang diletakkan pada satu tempat. Seorang wanita berusia 60-an dengan rambut diikat sanggul sedang memasak sesuatu menggunakan dapur arang manakala beberapa orang anak kecil sedang menangis kelaparan. “Sabar cu, cu tidur lah dulu ya sayang, esok pagi bangun insyaAllah makanan kita dah siap”, wanita itu memujuk cucu-cucunya seramai tiga orang yang kelihatan seperti kanak-kanak sekolah rendah. Mungkin usia mereka dalam lingkungan 8-12 tahun, Hafiz tidak pasti. Namun ada satu hakikat besar yang Hafiz sangat pasti, dan ia membuatkan Hafiz tergamam disusupi rasa bersalah yang meramas-ramas jantungnya.
Ketiga tiga kanak-kanak itu sudah tidur. Wanita itu berhenti memasak lalu menangis teresak-esak, dan mulutnya kelihatan sedang terkumat kamit membaca doa. Sebenarnya tidak ada apa-apa yang sedang dimasaknya, melainkan beberapa ketul batu untuk menipu cucu-cucunya sahaja seolah-olah dia sedang menyediakan makanan. Wanita itu tidak lain tidak bukan, ialah Mak Yah.
“Astaghfirullah”, Hafiz menekup mukanya lalu menangis teresak-esak. Hafiz rasa begitu bersalah. Beberapa hari lepas sebelum Mak Yah masih bekerja di rumahnya, Hafiz menyimpan dendam kerana Mak Yah berleter mengenai sikap tidak bertanggungjawabnya yang hanya menghabiskan masa bermain permainan video dan mencampakkan sahaja pakaian, makanan dan barangannya merata-rata tempat. Penat Mak Yah mengutipnya, lalu Mak yah pun berleter kepada Hafiz yang sedang bermain permainan RPG Digimon. Leteran Mak Yah menyebabkan Hafiz hilang fokus lalu kehilangan peluang buat selama-lamanya untuk memenangi telur Digimon langka edisi terhad yang hanya dikeluarkan sekali sahaja. Hafiz begitu berdendam dan merencana menjadikan Mak Yah sebagai kambing hitam. Hafiz mencuri dompet ayahnya, mengosongkan duit di dalamnya yang berjumlah RM500 lalu menyelitkan dompet yang sudah dikosongkan itu dalam beg sandang Mak Yah. Beg sandang Mak Yah itu diletakkan atas sofa di ruang tamu dan sengaja dibuka luas agar dompet ayahnya di dalam beg itu dapat dilihat dari jauh. Dipendekkan cerita, Dato’ Harun yang sedang beremosi dan berang itu termakan umpan Hafiz lalu mengherdik dan memecat Mak Yah. Sebelum Mak Yah berlalu pergi, dia telah meninggalkan keseluruhan gajinya bulan itu yang baru sahaja diperoleh sebanyak RM1200 di atas meja sebagai tanda minta maaf walaupun Mak Yah langsung tidak bersalah. Mak Yah mungkin miskin, namun dia ada maruah untuk dijaga.
Perangai keanak-anakan Hafiz telah menghancurkan kehidupan sebuah keluarga, yang sangat terdedah kepada masalah kewangan yang runcing terutamanya pada musim wabak ini, ketika mana ribuan pekerja dibuang pekerja dan terumbang ambing tanpa pendapatan.
Kini ketiga-tiga titik X itu telah bertukar menjadi kunci. Sosok tubuh Hafiz yang masih belum berhenti menangis itu kemudiannya lebur menjadi asap.
Roh Hafiz kini sudah kembali ke tubuhnya namun Hafiz hanya akan sedar pada keesokan pagi harinya apabila dia bangun daripada tidur seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Namun begitu Hafiz bakal mengetahui bahawa peristiwa pada malam itu bukan mimpi semata-mata, kerana skrol yang menemani Hafiz sepanjang malam itu tersisip di dalam poket seluarnya. Hafiz akan terus dihantui rasa menyesal yang amat sangat, sehingga lah dua hari kemudian Dato’ Harun mengetahui kisah sebenar dan bersujud di jari kaki Mak Yah untuk memujuknya supaya bekerja semula. Hafiz telah ditampar oleh ayahnya, dan dimarahi dengan teruk namun Hafiz tersenyum, mengetahui bahawa dia telah mengambil tindakan yang betul. Hafiz bakal membesar, menjadi seorang pakar kanak-kanak yang begitu lembut hatinya dan terlibat secara aktif dalam pelbagai gerakan kemanusiaan, demi menebus dosa dirinya yang lalu.
Comments