Salah Sangka
- WAN AINI NASUHA BT WAN ROSDI
- May 11, 2020
- 5 min read
Awan putih comel mula berarak di kaki langit. Cahaya sang suria cerah menyimbah bumi. Aku mula menghidupkan motor burukku. Maklumlah, motor lamalah katakan, enjinnya perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum dipacu di atas jalan raya. Kalau tidak, mahu dia meragam di bawah terik mentari nanti. Aku juga yang susah nanti. Masih jelas di ingatatanku pada hari motor kapcai ini merengek meminta rehat kerana aku terlupa memanaskan enjinnya sebelum dipandu, keadaan bertambah teruk pada hari itu kerana hujan lebat. Habis basah kuyup aku dibuatnya. Tapi apa patut aku buat, ini sahaja kenderaan yang aku ada peninggalan arwah abah. Kalau bukan aku yang menggunakannya, siapa lagi?
“Qim. Lamanya panaskan motor. Bila nak pergi kerjanya kalau asyik mengelamun?”
Lamunanku terhenti. Kelihatan susuk seorang wanita tua berusia hampir 60-an muncul di muka pintu.
“Dah nak pergi lah ni mak. Orang putih kata on the way.” Aku tersengih seperti kerang busuk.
“Qim pergi kerja dulu ye mak. Mak hati-hati sorang-sorang kat rumah. Nanti Suraya datang nak ambil nasi lemak. Mak jangan tak buka pintu pula. Kesian bakal menantu mak tu”. Aku berseloroh.
“Ish. Macam-macam kamu ni. Dah dah pergi lah kerja tu. Jaga diri elok-elok. Mask tu jangan lupa pakai. Sabun pencuci tangan jangan lupa pakai. Pastu jangan nak lama-lama di rumah orang. Lepas hantar barang terus pergi tempat lain. Ingat tu! Sekarang ni bahaya!” pesan mak kepadaku dengan penuh perasaan. Aku tertawa kecil.
“Baik mak. Mak jangan risau. Anak jantan mak ni pandai jaga diri. Qim gerak dulu mak. Assalamualaikum.” Aku terus beredar dari perkarangan rumah dan kedengaran sayup-sayup suara mak menjawab salam.
Langit sungguh cerah pada hari ini. Angin pula bertiup lembut menyentuh pipiku yang gebu. Seolah-olah langit sedang berbisik perkhabaram gembira padaku dalam gelombang wabak yang belum berpenghujung ini. Semasa berada di atas jalan, otakku ligat berfikir tentang masalah wabak yang menyerang dunia tanpa belas kasihan ini. Sejak wabak covid-19 melanda Malaysia, bumi bertuah ini, tugasku menjadi semakin penting. Setelah Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan oleh Perdana Malaysia, semua rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk keluar dari rumah kecuali untuk melakukan tugas yang benar-benar penting sahaja atau lebih tepatnya semua rakyat dikuarantinkan di kediaman masing-masing.
Namun begitu, ada juga segelintir rakyat Malaysia yang masih berdegil. Lantaran itu, kerajaan terpaksa mengerahkan barisan askar dan polis untuk memastkan perintah ini dipatuhi dan dihadam oleh sekalian warga. Bukan senang hendak mendidik hati manusia.
Fikiranku kembali ke jasad apabila terdengar notifikasi telefon pintarku berbunyi. Aku membelok ke kanan dan berhenti di bahu jalan. Aku mengeluarkan dari dalam kocek seluar dan membaca notifikasi di skrin berukuran lima inci. Ada makanan yang perlu dihantar di kawasan Serdang. Alhamdulillah, pelanggan pertama pada hari yang cerah ini. Aku terus memacu laju motor ke restoren makanan segera yang berdekatan. Setiap pesanan perlulah diambil dan dihantar secepat mungkin. Aku tidak mahu pelangganku menunggu lama, rosak reputasi baik yang telah aku bina selama berbulan-bulan.
Setelah pesananku disiapkan aku terus bergegas menuju ke Serdang untuk menghantar makanan tersebut. Pesanan ini kali lain daripada yang lain. Seorang pelanggan bernama Michale Tan telah memesan 10 set makanan segera ayam goreng beserta burger. Aku fikir mungkin dia ingin makan besar di rumahnya. Semestinya ramai ahli keluarga berkumpul di rumah pada musim PKP ini. Agak sukar sebenarnya untuk membawa makanan yang dipesan oleh beliau kerana aku hanya menggunakan kenderaan pacuan dua roda. Sedaya upaya aku cuba membawa makanan ini dengan berhati-hati untuk memastikan makanan itu akan sampai dalam keadaan baik.
Teringat akan pesanan mak yang selalu menyuruh aku mencari kerja lain. Iyalah aku masih belajar di tahun tiga di salah sebuah univerisiti awam. Aku tahu mak risaukan aku. Bagi aku ini sahaja kerja yang boleh aku buat untuk meringankan beban mak. Lagipun kerja ini fleksible dan biasa pada hujung mingggu aku boleh kumpul duit yang lebih. Tetapi buat masa sekarang beginilah rutinku sehari-hari. Lantaran, aku pembelarjanku telah dibuat di atas talian. Jadi malam aku gunakan untuk belajar dan siang untuk mencari rezeki. Memandangkan ramai yang tidak dibenarkan keluar rumah, semakin ramai yang menggunakan khidmatku untuk menghantar makanan ke sana ke mari. Orang kata aku sudah menjadi setaraf degan petugas barisan hadapan yang lain seperti doktor, jururawat dan polis kerana khidmat seperti kami menjadi sangat berguna pada saat semua rakyat paranoid untuk keluar rumah. Aku tidak berfikir begitu kerana manakan sama berlian dengan besi karat seperti aku. Tetapi besi karat juga ada harga jika dijual jadi aku tetap bersyukur dapat membantu orang lain. Pekerjaan ini mungkin nampak kecil pada mata segelintir golongan masyarakat. Namun, bagiku tugas ini cukup untuk aku membantu mak sekali gus dapat memenuhi keperluan rakyat marhaen di luar sana yang asyik kesuntukan masa untuk menyediakan makanan mahupun membelinya.
Langit yang tadinya cerah kian mendung. Tinggal beberapa blok bangunan lagi dan aku akan sampai di rumah Encik Michael. Kawasan jalan raya agak lengang. Kawasan ini nampak seperti kawasan perumahan sederhana, sama seperti rumah aku. Perasaan hairan mula menyinggah dalam benak fikiranku.
“Mana mungkin seorang yang tinggal di rumah teres biasa mampu membeli makanan yang berharga sehingga 200 ringgit. Takkanlah makan sahaja sudah dua ratus, berapa orang yang tinggal di rumah mereka?” aku bertanya pada diri sendiri, bukan niat hendak memandang rendah terhadap pelangganku tetapi jika dia tidak mampu, siapa yang mahu membayar semua makanan ini?
“Mungkin aku silap membaca pesanan.” Getus hati kecilku yang mula kerisauan. Cuai lagi. Aku sudah sampai dihadapan rumahnya dan sudah terlambat untuk aku berpatah balik. Jadi aku terus memanggil tuan rumah untuk memberikan makanan yang banyak ini.
Tiada sahutan.
Aku cuak.
Aku cuba memanggil lagi dan lagi.
Selepas memanggil buat kali kelima akhirnya seorang lelaki pertengahan usia keluar dari rumah itu dan terus mendapatkan aku yang sedang berada dihadapan pagar rumahnya.
“Mungkin itu Encik Michael Tan.” Bisik hatiku.
Lelaki itu tersenyum melihat aku dan dan meletakkan tangan ke paras bahu lalu tunduk dengan mesra. Ya, itulah cara berjabat tangan pada musim sekarang ini. Sangat sopan.
“Maaf pak cik lambat dik, pak cik tengah baiki pintu dapur yang rosak. Tidak dengar adik panggil dari luar.” Ujar lelaki tersebut.
Aku hanya mengangguk dan membalasnya dengan senyuman lalu menghulurkan bungkusan makanan yang banyak itu kepadanya. Encik Michael memanggilnya anaknya keluar untuk membantunya membawa makanan tersebut. Selepas itu, Dia memberikan wang kepadaku untuk membayar harga makanan tersebut. Dia siap membayar lebih lagi sebagai upah kepadaku. Aku terkejut. Tanpa berfikir panjang aku bertanya,
”Pak cik nak makan dengan keluarga ke makanan sebanyak ni? Tapi saya nampak anak pak cik dua orang sahaja yang keluar tadi. Siapa yang mahu makan sebanyak ini?”
“Eh tidak, pak cik nak pergi bagi makanan ini kat polis yang bekerja di depan jalan sana tu. Kesian diorang berjaga siang malam untuk pastikan kita semua patuhi PKP ini. Pak cik yang di rumah ni seronok makan walaupun sederhana. Tapi diorang entah makan atau tidak berkerja tak kira hujan panas. Jadi pak cik ingat nak berkongsi sedikit dengan mereka.” Jawab Encik Michael dengan tenang sekali.
Bagaikan terkena panahan petir aku tekedu kerana sangkaanku meleset. Betapa mulianya hati lelaki sederhana ini.
“Awak patut happy dapat hantar makanan, awak pun boleh tolong orang, saya tidak.” tambah Encik Michael sambil tunduk menunjukkan kakinya yang tempang.
“Saya tahu duduk di rumah sahaja sudah membantu sebenarya kerana patuh akan arahan pihak kerajaan, tetapi saya ingin membantu lebih, kerana perjuangan ini bukan perjuangan polis ataupun doktor sahaja. Tetapi ini perjuangan kita semua untuk memastikan kita menang melawan COVID-19 ini.” ujarnya lagi.
Kilat boleh menyambar dua kali dan aku dapat rasakannya menyambar tepat ke dalam dadaku. Betapa jahatnya diri ini menilai seseorang dari harta bukan dari hati. Sumpah aku tidak perasan akan keadaan kakinya dan itu bukan alasan kepada dia untuk berbuat baik pada saat getir ini. Sungguh aku hilang kata-kata untuk mempersoalkannya.
Aku berterima kasih kepada Encik Michael dan terus beredar.
Aku pulang dengan penuh kesedaran seperti ada lilin kecil di dalam hatiku yang selama ini terpadam mula menyala. Benar sekali apa yang dikatakan oleh Encik Micahel. Setiap daripada penduduk negara ini sedang menajalani PKP. Namun, apa yang membezakan setiap daripada kita ialah cara kita menghadapinya. Mungkin ada yang bermewah-mewahan dengan makanan, sebaliknya ada juga yang terpaksa mencatu makanan. Mungkin ada yang kebosanan kerana banyak masa terluang tetapi ada yang kesuntukan masa untuk melawan wabak COVID-19 ini. Apa yang menjadikan kita lebih baik adalah dengan bersyukur, kerana ini perjuangan kita semua dan kita mesti menang. Sungguh hari ini telah membawa seribu satu pengajaran buat diriku yang rapuh ini. Terima kasih Allah.
Comments