Rindu
- Nurul Shahira Binti Saharuddin
- May 11, 2020
- 6 min read
RIN-DOE
Untuk ibu, keluarga dan mereka yang merindui.
Rindu;
Yang sedihnya soal rindu,
Kau tidak mampu ungkap satu persatu,
Yang sedihnya soal rindu,
Jarang bisa kau kata dengan merdu.
Yang sedihnya soal rindu,
Belum tentu,
Orang itu juga akan rindu…
Eh sebentar, ah tidak mungkin ibu tidak rindu. Aku letak kembali pena dan kututup diari kata ku. Ya betul, ibu pasti rindu sekali. Sayu tiada kata bila mana puasa tanpa anak di sisi, dek kerana virus yang mencengkam dunia. Lamunan ku terhenti bila telepon bimbitku berbunyi.
“Assalamualaikum sayang, buat apa tu?”
“Waalaikumsalam ibu! Tiada buat apa apa. Oh selamat berpuasa ibu”
… (ibu hanya diam)
“buu?”
“iya nak, selamat berpuasa”
Kudengar sayu saja suara bidadari ku itu, aku tahu dia sedang menangis, ini kali pertama aku puasa tanpa dia, tanpa masakan, atau tanpa kejutan sahur dari ayah.
Itulah kali terakhir ibu meneleponku, mungkin juga dia tidak mahu sedih, atau tidak mahu membuat aku sedih, hanya Whatsapp medan perbualan kami.
26 April 2020 // Tiga Ramadhan
Aku sedih, aku tidak tahu kemana harus ku cerita mahu ku ungkap, rindu kali ini betul betul menyiksa. Sudah kali ke tiga tiket penerbanganku dibatalkan. Sedangkan ada mereka yang diluar sana, senang senang pulang hanya dengan kuasa orang dalam. Apa lagi perlu kita kata, sudah dunia kadang begitu. Biar saja itu menjadi satu titik tolak untuk tidak berkelakuan seperti itu kelak. Sungguh, kadang bersyukur kerana banyak Tuhan ajar aku kali ini;
1. Sembuh.
Sembuh itu mudah diungkap, tapi tidak semudah yang dianggap. Sembuh itu kadang mudah, tapi juga kadang membawa padah. Ada kata sembuh itu cuma perlu letak ubat pada luka, tapi tidak semua tahu apa yang ada disebalik duka. Mereka kata itu hanya metafora fikiran meracun kepala Si Penderita, tapi tiada tahu betapa siksa dia cuba mengeluarkan kata, yang ada di dada. Lalu, dia mengambil keputusan untuk terus berdiam, berharap ada yang menyedari. Tanpa disedari, dia mencengkam dirinya sendiri, luka kini jadi barah. Dirinya hilang lagi, kepalanya tidak mampu mencari solusi untuk keluar, tangan mula menggeletar, masih utuh menanti bantuan, mungkin dari Si Bidadari.
Sembuh itu senang, hanya bila aku membuka mata dan hati, untuk membiarkan manusia lain menyuluh ruang gelap yang terbuku lama. Hanya orang tertentu, yang mampu melakukan itu. Ada yang datang, sekadar menyuluh dari luar, lalu berlalu pergi bila dilihat ada kamar kamar derita di hati empunya diri. Ada juga yang datang, tapi hanya sekadar mampu menjenguk, kerana dia juga butuh lampu, untuk dirinya. Jangan salahkan mereka, mereka tidak tahu. Tapi tidak aku, petang itu aku lain sekali, membalas mesej ibu lambat sekali, dan aku rasa mungkin sebab itu, ibu meneleponku lagi, bertanya apa aku baik baik saja. Norma anak, semua dikatakan baik, hakikatnya menangis, tp ibu bijak dia masak dengan perangai anaknya.
“It’s okay if u can’t go back now. After RMO, I’ll go there and have some short trip okay baby”
Pilu aku. Sungguh ibu adalah Bidadariku. Sejak itu aku bangun lagi, tidak bersedih atau bengang dengan si Covid.
2. Memahami diri
Kuhidu aroma kopi, kucuba praktikkan apa Dr Nora pernah ajarkan; “Mindfullness Food” untuk merasakan lagi keenakkan kopi itu. Kupejam mata, kuhidu sekali lagi, aroma nya terasa. Tenang rasanya. Pandanganku teralih ke meja belajar, berlonggok buku, pen dan lukisan ku. Menghela nafasku, lalu bermonolog, “kalau PKP tiada, aku mungkin tidak tahu bakat kecil yang aku ada; melukis, bermain kata, banyak juga ya hasil seni aku selama cuti ini.” Bayangkan saja buku melakar ku penuh dengan lukisan, tapi hanya separuh kulihatkan kepada teman di alam maya. Entah mengapa, tapi perasaan insecure mula menggoncang dada tatkala berfikir untuk berkongsi.
Sehinggalah kawan baik ku sendiri, sanggup membelikan pensel dan pena lukis untukku, hanya kerana melihat tweet keanak-anakanku yang mahukan pensel perbagai jenis. Di dalam bungkusan itu, dia selitkan nota kecil buatku;
“please draw more okay, never stop! Cause your drawing is getting more beautiful”
Dan aku berhajat untuk memberinya lukisan Luffy With Flower untuk dia. Aku harap dia suka. Dari itu aku sedar, secara tidak langsung dia memberikan memuntahkan semua gelora di jiwa kedalam lukisan dan kata.
27 April 2020 // Empat Ramadhan
Aku gembira, ada perkhabaran yang menyatakan mahasiswa akan dibenarkan pulang. Aku tersenyum lega, nama kami mula dikumpul, untuk Rescue Flight katanya, dan ini membawa aku untuk belajar sesuatu yang baru;
3. Bersyukur
Ya bersyukur, bersyukur kerana masih diberi peluang untuk hidup, diberi kesihatan, dijauhkan dari virus mengganas. Malah, bersyukur kerana keluarga, pensyarah, staff dan rakan rakan masih suci dari virus tersebut.
Cuba bayangkan, nasib saudara kita di India. Mencari makan sahaja susah, inikan pula disuruh berkurung di rumah. “Bagaimana kami mampu bertahan dua minggu di rumah, sedangkan kami tidak mampu bertahan seminggu kerana tiada makanan.” Itulah bait-bait yang diluahkan rakyat India. Sedih. Tapi lagi sedih kita yang hanya tahu menyalahkan dan tidak tahu erti syukur.
Cuba pula bayangkan kehidupan para frontliner, yang sedaya upaya melawan virus. Berpanasan bermandi peluh merawat pesakit. Polis yang mengawal ketat PKP. Askar yang menjaga sempadan. Abang delivery yang menghantar pesanan atau bungkusan.
Syukur la kawan.
30 April 2020 // 7 Ramadhan
Aku kembali sedih. Aku juga bingung dengan aku. Mungkin kerana tidur lepas asar. Emosi tidak stabil, sebab kebiasaannya begitu. Terkadamg sedih mendatang, walau tidak diundang. Yang membawa kita hilang. Dari dia sedih yg selalu berulang. Aku aneh, kenapa kadang hujan datang tiada khabar dari guruh, apa mereka bertengkar? Atau merajuk ka si guruh dgn si hujan, sampai tidak bersapa. Ironi nya, tiada salah satu nya terima sebab, melainkan yg lainnya. Kesian si matahari, berlari lari mencari tempat berteduh sana sini.
Hi matahari, apa kamu bersedih? Sinar barumu hancur lagi, baru cuba kau sihatkan si bunga berdiri, tp kesian bunga mu layu lagi. kau peluk dirimu lagi, dengan tangis kau pujuk diri sendiri. Sudahlah matahari, kau bukan siapa siapa untuk mereka dengari.
Ah aku terpinga pinga, mau saya kuluah semua. Mencari ayat memanifestasi apa di jiwa. Sungguh tidak terasa, perlahan jatuhnya mutiara dari mata. Bermula lagi episod menyalahkan diri, kenapa dan mengapa. Itulah hidup, kadang kita tidak tahu perbuatan kita mampu membuat yang lain nya menderita.
Lihat saja dunia, berapa banyak tangan bertengkar, tapi kesian orang lain yg mendapat balasan. Ibu bapa bertengkar, anak yg dpt tangis, tekanan dan emosi. Orang atasan bertengakar, si ayah anak tiga dibuang kerja. Si tamak dan si haloba berebut takhta, rakyat biasa mati menderita.
Sudahlah dunia, tolonglah buka mata. Lihat berapa ramai yang menderita kerana ego kamu. Sudahlah dunia, usah kau hirau duit berjuta, kalau dirimu angkuh terasa nyaman sedang ada mereka kesusahan. Sudahlah dunia, sedarlah duit bukan segalabya. Sudahlah dunia, ini bukan masa saling menyalahkan. Angkat la tangan, pajat kan doa. Moga moga doa ramai didengari Yang Maha Esa. Moga pandemik bertukar ceria. Moga tenteram hati yang gelisah.
Untuk si penderita, aku tahu persis perasaan itu. Seolah hati dirobek sejuta kali. Seolah mukamu ditonyoh tonyoh. Seolah jari kecil tersadung di hujung kabinet. Seolah sekeliling semua gelap, makin dalam dan dalam kegelapan. Kau tidak akan mampu lihat cahaya walau seterang mana mereka suluhkan. Tapi kawan, percayalah. Kamu tidak sendiri. Kita bersama. Mungkin keadaan tidak sama, tapi tidak bermakna kita perlu bandingkan siapa lagi sakit atau siapa lagi menderita. Sakit tetap sakit. Kecewa tetap kecewa. Perih tetap perih. Tiada beza, kita semua sama. Dan yang penting hati kita juga sama, semua kuat, mungkin cuma waktu temukan kuat membezakan. Namun pada akhirnya semua kuat untuk terus jalani hidup.
Aku tahu kamu mungkin takut sekarang, atau mungkin masih merindui seseorang, seseorang yg membuat hatimu tercalar sedikit, atau yang buatmu berkecai? Atau kau juga tidak pasti siapa kau yang sebenar. Dan kenapa kau yang dipilih untuk hadap semua ini, kenapa kau dan bukan orang lain. Kau hilang. Hilang dibawa emosi lagi. Tolonglah, bangkit kembali.
Hilang tumpuanku, celaru kotak fikiranku, cuba menyusun kata untuk menulis sesuatu. Sampaikan aku bengang, peti kiasan kian menghilang. Mungkin sampai itu saja diari ku hari ini.
1 May 2020
Hi, aku sedih. Tiket penerbanganku dibatalkan lagi. Aku sedih bukan sebab aku tidak dapat makan rending ibu, aku sedih teringat janji abang dan aku untuk balik raya bersama. Janji abang untuk membawa anaknya pulang dan tinggal sedikit lama dengan ibu. Pasti ayah dan ibu terbayang saat itu, menunggu cucu untuk dijaga. Berbulan bulan mereka menunggu, tapi malangnya covid pula yang mendatang. Tapi ibu faham keadaan kali ini betul betul mencemburui. Ibu terpaksa melupakan hasrat menjaga cucunya sebentar.
Tapi lagi sedih, bila dapat tahu ada kes postif di kawasan perumahanku, lebih tepat di lorong rumahku, atau lagi spesifik beza dua rumah dari rumahku. Aku harap ibu dan ayah selamat dan tetap duduk dirumah. Aku harap mereka sihat sahaja. Tolong sisipkan doa kepada yang membaca.
Yang pasti, PKP ini menyedarkan aku untuk balik setiap kali cuti, walau cuma seminggu. Aku sedar tiada rindu seberat rindu ibu kepada anaknya. Baru kali ini aku sedar, sakitnya rasa ingin pulang tapi tidak dibenarkan. Baru kali ini aku sedar makna sebenar rindu dan kasih. Baru kali ini aku sedar, dunia juga tenat, dia butuh rehat. Moga moga Tuhan mendengar doa meraka yang susah, atau yang sakit menanggung rindu.
Terima kasih,
DaisyLove
DaisyLove.
Comments