top of page

RAMADAN SEPANJANG PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

  • MUHAMMAD AIMAN AFIQ BIN MAT ZAMRI
  • May 11, 2020
  • 13 min read

Namaku Kashaf. Seorang pelajar yang berpemikiran sederhana dan kadang kala agak sensitif dengan perubahan yang sering berlaku dalam kehidupan sehari-hari ku di atas muka bumi tuhan yang sifatnya luas sekali ini. Pelajar di sebuah institusi pengajian awam tempatan dalam jurusan yang melibatkan bidang sains. Tahun 2020 merupakan tahun yang boleh dikatakan agak unik jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang sebelum ini. Semenjak aku melihat dunia dan menghirup udara kurniaanNya demi meneruskan fitrah ku sebagai seorang manusia selama 21 tahun ini, tahun 2020 aku rasakan agak lain dari yang lain. Bukan kerana aku semakin menginjak dewasa. Tetapi aku mempunyai plot penceritaan dan sceneku tersendiri yang aku ingin sampaikan sehinggakan tahun ini amat berlainan kurasakan. Ini kisah rencah hidupku.

Tahun 2020, banyak suka ria, duka lara, jatuh bangun dan tidak lupa juga segala sepak gasak terajang yang telahku tempuhi. Pengalaman baru yang berharga untukku meneruskan kehidupanku yang masih jauh perjalanannya dan masih kabur ke mana destinasi ataupun tempat yang akanku membawa diri. Sesungguhnya, tawakal kepada Maha Pencipta merupakan sebaik-baik penyerahan dan pengharapan setelah segala ikhtiar dan penat lelah dilakukan. Di ambang tahun 2020, umurku menjangkau ke angka 21 tahun. Masih setahun jagung, masih berdarah panas dan hakikat yang amat pedih bak dihiris sembilu sekali bahawa aku tidak layak untuk membicarakan soal pengalaman. Pada tahun yang berangka cantik iaitu 2020 ini, dalam tempoh tiga bulan yang pertama, kita dapat melihat negara-negara veto semakin gah dan pesat membangun seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Begitu juga dengan Malaysia yang boleh dikatakan berdiri sama tinggi,duduk sama rendah dengan negara yang mempunyai status pembangunan yang sama dengan negara aman damai lagi makmur ini. Seantero dunia dan jagatraya berhasrat bahawa pada tahun 2020 ini, mereka sudah bisa melihat terciptanya era teknologi yang telah digembar-gemburkan sebelum ini iaitu wujudnya pengangkutan kereta terbang di abad ke- 21.

Walaubagaimanapun, persis mutiara kata Melayu klasik, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran, itulah peribahasa orang kita yang tepat mengena pada batang hidung bukan sahaja orang kita, bahkan seluruh warga dunia yang hidup di era pascamerdeka kini. Rentetan daripada itu, kita warga dunia yang bebas merdeka walaupun segelintir hanya bebas cuma dari segi lahiriah terpaksa menerima dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang sememangnya dan sewajibnya dipraktikkan di seluruh negara di dunia tidak kira bangsa, darjat dan juga agama.

Perintah Kawalan Pergerakan ini tercetus apabila negara pemegang ekonomi nombor satu dunia iaitu tidak lain dan tidak bukan negara China telah mewujudkan ataupun bisa dibahaskan dalam erti kata lain telah mencipta satu wabak penyakit baru yang telah menjangkiti manusia yang telah dianggarkan setakat ini telah menjangkau ke nilai dua juta lebih kes di seluruh bumi Illahi yang tidak bertiang ini. Bayangkan, 2.62 juta manusia adalah bersamaan dengan nilai tiga perempat daripada populasi penduduk di negara yang terletaknya gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest, iaitu bertempat di negara Nepal. Statistik ini direkodkan setakat sembilan tahun yang lalu. Sudah terang lagikan bersuluh bahawa penyakit ini sememangnya mengadi igauan dan mimpi buruk kepada seluruh warga manusia bumi. Hatta, penyakit berjangkit yang telah meragut kira-kira 100 nyawa yang tidak bersalah di Malaysia setakat fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan ini yang hakikatnya lebih dahsyat berbanding sejenis penyakit berjangkit yang pernah menggemparkan dunia sekian lama dahulu iaitu wabak epidemik Ebola. Dan disebabkan itulah, tentera virus corona yang sedang kita perangi habis-habisan ini dipanggil wabak virus pandemik berikutan kadar jangkitannya adalah lebih luar biasa dan di luar batas logik fikiran manusia sendiri berbanding wabak virus Ebola yang menyerang Afrika Tengah lebih kurang empat ke enam tahun yang lampau. Selain itu, virus pandemik corona ini yang sedang buas lagi rakus meragut nyawa lebih puluhan ribu rakyat pimpinan Presiden Donald Trump ini sebenarnya berasal daripada negara China iaitu lebih tepat di Wilayah Wuhan. Oleh itu, hakikat yang memang tidak boleh disangkal bahawa nama wilayah di dalam negara China ini akan terus terngiang-ngiang dan sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia dari segenap empat penjuru dunia ini.

Manakan tidak, virus yang tidak mengenal erti belas ihsan dengan menyerang sistem pernafasan manusia yang hanya berukuran nano ini telah menyebabkan ratusan ribu penduduk bumi menemui ajal dalam masa yang amat drastik sekali. Mahu tidak mahu, ada segelintir yang terpaksa berlapang dada dan reda dengan pemergian insan tersayang angkara perbuatan bala tentera kerdil suruhanNya yang bengis merobek nyawa tidak kira siapakah gerangan si mati ketika hidup di dunia. Namun begitu, kita sebagai muslim lagi mukmin yang berpegangan sunni hendaklah yakin bahawa segala yang terjadi pasti mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Seperti contoh, jika kita menyelak kembali lembaran sirah tinggalan agung para anbiya terdahulu, terdapat satu kisah di mana salah seorang daripada rasul ulul azmi telah menyahut seruan dari langit dengan menyediakan sebuah kapal bahtera sebagai persiapan untuk menghadapi satu bah yang besar dan dahsyat pada ketika itu.

Walaubagaimanapun, telah ramai yang menolak mentah-mentah ajakan Nabi Nuh termasuklah ahli kaum kerabat baginda sendiri. Dan dengan takdir yang Maha Esa, maka terjadilah satu malapetaka yang maha dahsyat sehinggakan kisah tragis ini termaktub dalam kalamNya. Hanya yang setia bersama baginda sahaja yang terselamat dari dilandai dek bencana yang diutuskan oleh Yang Maha Berkuasa kerajaan langit nun di atas. Hikmahnya, segala apa yang telah dicaturkan olehNya untuk sekalian hamba-hambaNya merupakan peringatan bahawa Dia masih sayang terhadap semua penganut agama bawaan kekasihNya iaitu Nabi Muhammad Saw. Berbalik kepada apa yang telah melanda dunia yang kian tenat dan uzur kini, virus corona ataupun virus yang telah diberi nama jolokan covid-19 ini juga diutuskan berhikmah. Hikmah yang tersirat di sebalik bencana besar ini adalah sebagai tanda dan peringatan bahawa dunia yang amat dicintai oleh mereka yang semakin jauh dengan ukhrawi ini semakin menjelang kepada ambang kehancuran bertepatan dengan apa yang telah termaktub di dalam surah Al-Zalzalah yang membawa erti tersurat iaitu kehancuran dunia. Lantaran daripada itu, erti itu juga merupakan mesej dari langit bahawa Allah mahu menyelamatkan mereka yang mengambil iktibar dari setiap perkara yang telah terjadi daripada terus hanyut dibawa arus kelalaian dan terus bergelumang dalam kancah maksiat yang kian menjajah pemikiran muslim sejagat di dunia akhir zaman kini.

Lantaran daripada kronologi serba ringkas tersebut, maka kita sebagai rakyat Malaysia yang masih mampu menghirup udara kurniaanNya sebagai tunjang untuk menyambung nyawa yang masih berbaki di jasad telah menyambut bulan yang didalamnya dijanjikan terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan dalam keadaan yang semua sudah maklum sekarang. Ramadhan tahun ini dirai dalam keadaan yang agak berlainan jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumya. Disambut dalam Perintah Kawalan Pergerakan berikutan tekanan ekoran penularan virus pandemik yang kian menggila ini. Meskipun, kenyataan yang amat pahit untuk ditelan, akan tetapi kita sebagai rakyat Malaysia yang telah menggapai nikmat kemerdekaan secara umumnya seyogia menyahut seruan kerajaan ini sebagai satu inisiatif untuk memutuskan rantaian jangkitan virus ini sekaligus menyelamatkan lebih banyak nyawa insan yang tidak berdosa. Justeru, aku amat berminat untuk berkongsi serba sedikit tentang episod hidupku sebelum menjelangnya sambutan Ramadhan di musim Perintah Kawalan Pergerakan ini. Seperti yang telahku katakan sebelum ini, terdapat banyak genre yang telah berlaku dalam episod hidupku pada tahun ini. Ada duka lara nestapa, riang gembira gundah gulana, dan tidak lupa terdapat juga perkara yang bikin ku insomnia di tengah malam buta.

Maka bermulalah, tarikh hitam 27 Februari merupakan waktu di mana aku telah hilang satu anugerah yang amat terindah yang telah diberikan olehNya. Aku kehilangan seorang nenda yang telah megasuhku sedari ku mula melihat dunia dan mengerti apa itu erti sebuah dunia. Nenek dikhabarkan menghembuskan nafasnya yang terakhir di Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital swasta pada jam 8.52 malam. Dicabut nyawa berikutan kegagalan organ-organ utama untuk berfungsi. Masih segar bugar di ingatanku, bau-bauan wangian kapur barus yang menerobos rongga hidungku dan menggamitkan lagi suasana pilu yang menyelubungi kami anak-beranak. Pada ketika itu, aku dapat merasakan bahawa duniaku kian gelap dan hidupku seperti terumbang-ambing dipukul badai keras lagi mengganas. Kenanganku bersama arwah silih bertukar ganti menggamit nostalgia nan indah yang lalu. Masakan aku boleh lupa, aroma masakannya yang menari-nari mencucuk deria bau hidungku. Bagaimana aku bisa lupa bahawa tangannya lah yang telah menyuapkan makanan ketika aku pernah ditahan di wad kanak-kanak pada suatu ketika dahulu. Di samping itu, aku akan melazimi diriku untuk menziarahi pusaranya. Aku yakin bahawa doa kudusku mampu menemaninya di alam barzakhnya di sana.

Tidak cukup dengan itu, sedang arahan Perintah Kawalan Pergerakan ini sedang giat dikuatkuasakan, aku sekali lagi dikejutkan dengan pemergian datukku di sebelah ayah yang menderita akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. Atok dijemput Illahi hanya berselang dua bulan selepas pemergian arwah nenek. Aku amat terkilan dan terkesima kerana aku tidak dapat menjadi orang terakhir yang menciumnya pada hari pengebumiannya tersebut. Arahan perintah kawalan pergerakan yang telah dilaksanakan kerajaan telah membejatkan pergerakanku untuk ke negeri Perak sana. Hanya ayah sahaja yang berjaya meloloskan diri atas asbab munasabah berlakunya kematian ahli keluarga. Aku sentiasa menitipkan doaku untuk mereka supaya mereka tenang di alam sana. Salam belasungkawa buat dua orang darah dagingku yang amat aku sayangi . Pemergian yang diratapi, kerinduan yang tiada bernoktah, kehilangan yang amat menyebalkan seluruh jiwa ragaku.

Dan di sinilah aku, menyambut kehadiran Ramadhan bulan barakah tanpa insan yang ku sayangi di sisi. Sungguhpun mereka jauh di alam sana, akan tetapi mereka amat dekat dalam tadahan tangan munajat doaku sehari-hari. Petikan hadis yang berbunyi, apabila telah mati seorang anak Adam tersebut, maka putuslah semua hubungannya dengan dunia melainkan tiga perkara iaitu sedekah amal jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga doa seorang anak yang soleh untuk kedua orang tuanya. Disebabkan itulah, aku tidak pernah putus harapan mahupun jemu untuk merintih dan merayu hanya padaNya supaya roh mereka sentiasa tenang dan ditempatkan di kalangan para solihin. Ramadhan pada tahun ini bukan sahaja berlainan bagi diriku, akan tetapi kelainannya juga amat dirasai oleh mereka yang menyedari kehadiran bulan yang dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda buat semua umat penganut agama Islam ini. Telus lagi jujur dari dasar lubuk hatiku bahawa Ramadhan tahun ini tidaklah semeriah Ramadhan pada tahun-tahun yang lalu. Mana tidaknya, khabar gembira yang sentiasa ditunggu-tunggu ketika menjelangnya Ramadhan iaitu bazar ramadhan dibatalkan sama sekali di seluruh ceruk negeri. Aku merupakan peminat tegar nombor satu Bazar Ramadhan. Ia bagaikan syurga dunia bagiku. Segala jenis juadah boleh didapati dan kadang-kala aku sering dileteri ibuku kerana membeli juadah dengan hanya berpandukan nafsu makanku semata. Itu semua kenangan dan ingatan yang lalu. Tahun ini aku tidak lagi berpeluang mendengar riuh-rendah suasana mereka yang mencari rezeki di Bazar Ramadhan demi meneruskan kelangsungan hidup. Tambahan itu, tiada lagi aroma bau-bauan ayam percik kegemaranku yang bisa membuat perutku berlagu rancak tiap kali aku menginjakkan kaki ke Bazar Ramadhan. Sungguh, nostalgia yang sangat menggamit memori lama. Di samping itu, tiada lagi solat Terawih berjemaah di surau berikutan kekhuatiran berlakunya penularan virus pandemik ini. Hal ini sememangnya telah merompak kebahagiaanku untuk meraikan bulan Ramadhan yang mulia pada tahun mencabar ini. Tiada lagi peluang untuk aku merasai situasi hiruk-pikuk melahap makanan moreh selepas mengerjakan solat sunat yang amat dituntut oleh agama itu. Rutinku di bulan Ramadhan pada tahun ini ku rasakan sama sahaja seperti mereka yang terpaksa juga mematuhi arahan perintah berkurung ini.

Rutin yang sama dilakukan seperti Ramadhan yang lepas-lepas akan tetapi dilaksanakan dengan keadaan yang tidak sama seperti yang acap kali dilakukan pada Ramadhan yang lepas-lepas. Tiba masa sampainya waktu matahari sudah tidak memunculkan dirinya di wajah langit bumi, kami sekeluarga memunajatkan doa bertadah tangan mengaminkan bacaan doa berbuka puasa. Ramadhan bulan penuh makna yang lepas disambut dengan majlis berbuka puasa secara beramai-ramai sama ada di masjid mahupun di surau. Masih ku ingat, pada bulan puasa tahun lepas aku mengerjakan ibadah wajib ini di hostel universitiku. Maka dengan itu, aku mempunyai susunan jadual harianku sendiri di manakah aku akan berbuka puasa pada di surau atau masjid pada hari-hari yang tertentu. Selamat duit poketku. Aku merupakan manusia yang tidak cerewet bab makanan kerana aku sudah diasuh sedari kecil supaya menjadi hamba yang bersyukur atas segala nikmat yang telah dikecapi. Tapi, itu tahun lepas, tahun ini sebelum bulan puasa lagi kami diarahkan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing ekoran penularan virus pandemik ini. Justeru, tahun ini aku berbuka ditemani oleh sanak saudaraku. Tiada lagi peluang untuk merasai sabarnya beratur untuk menunggu giliran mengambil makanan di masjid. Tahun ini, tidak perlu beratur panjang untuk mendapatkan juadah berbuka puasa, hanya menunggu azan maghrib berkumandang dari corong radio buruk milik ayahku.

Seterusnya, aku berbesar hati untuk menceritakan perihal bagaimana keluargaku mengerjakan amalan ibadat yang hanya terdapat di bulan istimewa ini iaitu solat sunat tarawih. Tahun-tahun yang lepas, aku hanya mengikut sahaja alunan selawat nabi yang mengiringi setiap rakaat solat tarawih yang dialunkan oleh bilal yang bertugas. Walaubagaimanapun, lain pula ceritanya pada tahun ini. Aku pula yang diberi tanggungjawab oleh datuk sebelah ibuku untuk memikul tugas selaku bilal di masjid. Aku mesti amanah atas tanggunjawab yang telah diletakkan di atas pundakku. Aku mempunyai pengalaman mengerjakan solat sunat yang satu ini yang diimami oleh imam yang didatangkan khas dari negara bergolak hingga kini iaitu Palestin. Mereka berbahasa Arab dan sudah tentu mereka faham akan makna ayat bacaan yang mereka dendangkan ketika bersolat. Justeru, tidak hairanlah jika menjadi makmum bagi mereka sedikit menguji keimananku yang senipis kulit bawang ini. Cara alunan bacaan surah juga agak berbeza daripada loghat yang sering ku dengari dari imam-imam tempatan. Berbeza mazhab, maka berbeza juga lah ijmak antara mazhab. Asalkan ibadah tersebut diterima dan diberkati di sisi Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Rindu juga aku jika diimbas kembali zaman-zaman kenakalanku ketika itu. Selain memikul tugas selaku imam tarawih, beliau juga tidak betah berkongsi tentang hidup sengsara mereka di tanah air sendiri. Ibarat kata pujangga, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Itulah petikan kata puitis Melayu klasik yang cocok sekali buat saudara sesama Islam kita yang tiap harinya ketakutan dek peluru tidak bermata sang rejim zionis yang dilaknat. Bersyukurlah kita seluruh marhaen Malaysia masih mempunyai peluang untuk mengecapi nikmat bebas merdekanya negara. Celik mata masih mempunyai orang tersayang di sisi. Pejam mata masih mempunyai tilam yang empuk untuk dialas berbaring. Tahun ini, atokku yang hampir berumur lapan dekad telah merasai asam garam senario dunia mengimami solat sunat terawihku. Kami hanya melakukan lapan rakaat tarawih sahaja dan ditutup dengan tiga rakaat witir. Surah yang menyempurnakan lagi solat tarawih kami dibacakan atokku semuanya petikan dari surah-surah lazim. Aku seringkali mendengarnya dan menghafaznya di kelas fadhu ain ketika di zaman kanak-kanakku dahulu. Oleh itu, aku lebih menghayati dan menjiwai tiap-tiap bait surah yang dibacakan. Justeru, solat yang berjumlah sebelas rakaat dirasakan hanya sebentar sahaja berlalu.

Berbuka puasa sudah, solat sunat tarawih selesai. Lantaran itu, bangun bersahur pula. Bersahur merupakan satu ibadah dan bersahur itu jugalah yang menjadikan ibadah puasa kita lebih afdhal. Lagipun, bangun bersahur merupakan sunnah junjungan besar kita Rasulullah SAW. Daripada Amru bin al-‘As RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Perbezaan di antara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (yahudi dan nasrani) itu ialah dengan makan sahur”. (Hadith Riwayat Muslim). Kita sebagai umat Islam yang sangat menitikberatkan konsep amar makruf nasi mungkar seyogia mematuhi suruhan seruan ibadah yang terkandung di dalam Rukun Islam ini. Akan tetapi, penganut agama lain juga mempunyai amalan yang lebih kurang sama. Namun, amalan bersahur ini lah yang menjadi titik perbezaan pemisah antara kita sebagai Muslim berbanding dengan puasa mereka yang beragama lain. Jika tahun-tahun yang lalu, kadangkala aku bersahur kadangkala tidak. Biasalah norma kehidupan hidup di hostel. Tahun ini bersahur di rumah. Setakat lapan hari berbulan puasa menahan lapar dan dahaga ini, aku tidak pernah terlepas sahur. Tepat jarum jam pukul empat pagi, aku akan bergegas ke dapur meringankan tulang menggembeleng tenaga menghangatkan lauk yang telah dimasak oleh ibu saudaraku malam tadi bersama atok. Ada satu hari ketika sedang menyiapkan sahur, atok telah jatuh tergelincir di dapur. Mujur tiada apa-apa. Maklumlah orang tua jatuh bukan boleh buat main. Silap hari bulan boleh patah riuk sana sini. Kami bersahur secara bersederhana dan ala kadar sahaja.

Menjelang waktu imsak iaitu masuknya waktu solat Subuh, kami berhenti bersahur seadanya dan mengerjakan amalan tiang agama itu secara berjemaah. Seperti yang telah kita maklum, amalan sunat yang dilakukan di bulan mulia ini akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda berbanding di bulan-bulan Islam yang lain. Justeru, aku sebagai seorang hamba lagi abdi yang tidak pernah lokek dan lekang bergelumang dengan dosa sepatutnya tidak harus melepaskan peluang keemasan ini. Ganjaran sebegini merupakan salah satu kebesaranNya dan salah satu caraNya mempamerkan kasih sayangNya terhadap sekalian makhlukNya. Seusai solat Subuh bersama sepupu dan atokku, aku meneruskan lagi penghambaan diriku kepadaNya dengan membaca kalamullah sehinggalah sinaran mentari pagi mula menidurkan gelap malam dunia. Tapi begitulah, tiada lagi solat berjemaah di masjid yang telah menjanjikan pahala 27 kali ganda kepada semua pelakunya. Walaubagaimanapun, usaha sebegini juga merupakan salah satu konsep jihad khususnya bagi kita umat Islam. Alternatif bijak sebegini merupakan cara untuk memerangi penularan virus pandemik coronavirus dari terus menular dan menjangkiti lebih banyak jiwa raga yang tiak bersalah. Dalam erti kata lain, kita boleh melindungi saudara seagama kita dari terus-menerus mendiami hospital dek serangan yang bertali arus dari virus yang hanya berukuran sebesar zarah ini.

Di sebelah petang pula, aku akan mengosongkan masaku dengan menziarahi pusara arwah nenda kesayanganku paling tidakpun dua hari sekali. Jaraknya yang bisa untuk aku berjalan kaki ke sana membuatkanku untuk kerap menziarahinya. Bukankah mengingati kematian itu amat disarankan dalam Islam. Bukankah ingat pada mati itu membuatkan kita lebih sedar tentang ukhrawi dan mengelakkan kita dari terus hanyut dalam arus kelazatan dunia yang ghairah menggoda sang pencinta duniawi. Pemergiannya tiada ganti. Kehadirannya dalam menghiasi cerita kisah hidupku tiada tolok bandingnya. Begitu juga dengan arwah datukku yang telah dikebumikan di tanah Dato Maharajalela nun di sana. Jaraknya yang memakan masa lebih setengah hari perjalanan serba sedikit telah membantutkan sekali gus membejatkan niatku untuk melawati pusaranya di sana. Tambahan pula, di musim Perintah Kawalan Pergerakan ini, setiap orang haruslah mempunyai alasan yang munasabah untuk merentasi keluar dari negeri masing-masing. Walaupun jarak jauh memisahkan, tapi aku percaya kuasa doa yang ampuh itu mampu mendekatkan. Setiap kali aku berteleku di atas sejadah selayaknya seorang hamba yang kerdil lagi lemah yang hanya mampu merintih meminta hanya dariNya, aku tidak pernah telat untuk mengirimkan titipan serangkai doaku kepada mereka. Meminta supaya roh kedua-duanya senantiasa tenang di alam sebelah sana dan dicucuri rahmat ke atas mereka. Aku yang masih punya amanah di atas muka bumi nan luas ini harus meneruskan perjuanganku. Yang pergi tetap pergi. Tidak akan kembali. Hanya lembaran kenangan dan segarit memori yang akan silih berganti melewati ingatanku ini saban waktu. Aku harus reda. Semuanya dicaturkan secara berhikmah. Kadangkala, genangan air mataku di kelopak mata membuatkan aku lebih kuat dan cekal untuk menerima kehilangan yang begitu menyakitkan dalam hidupku.

Sambutan Aidilfitri tahun ini pun kelihatan suram,pucat lagi hambar. Tidak semeriah seperti tahun yang lepas-lepas. Manakan tidak, semua pusat membeli-belah tidak kira yang menjual kuih-muih penyeri pagi raya mahupun tekstil busana pelengkap hari raya tidak dibenarkan untuk beroperasi sama sekali. Pada malam raya tahun lepas, aku bersama sepupuku tidak melepaskan peluang dengan mencari sehelai dua pakaian baharu untuk digayakan pada pagi Syawal yang memberikan seribu satu makna buat mereka yang meraikannya. Mengapa pada malam raya? Kerana pada waktu itulah para peniaga akan membuat promosi penghabisan stok dengan harga yang tidak masuk akal murahnya. Akan tetapi, baru sebentar tadi aku mendengar pengumuman penting bahawa semua rakyat marhaen tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing kerana dibimbangi akan menyambungkan semula rantaian virus pandemik ini. Apa erti manisnya pagi Syawal jika tidak berpeluang untuk pulang ke kampung halaman dan menjenguk insan yang tersayang di sana. Namun begitu, kita harus faham bahawa langkah yang diambil tersebut merupakan satu ikhtiar untuk menjaga kemaslahatan rakyat di Malaysia juga. Sudah tidak perlu dibendung lagi bahawa raya tahun ini aku memang tidak akan mempunyai peluang untuk pulang ke Teluk Intan dan menziarahi pusara atokku selepas mengerjakan solat sunat aidilfitri di masjid. Entah-entah, solat sunat raya puasa tahun ini pun perlu ditunaikan di rumah masing-masing. Hari ini merupakan Ramadhan yang kelapan. Masih mempunyai 22 hari lagi berbaki untuk kita merebut segala bekalan yang dijanjikan dalam bulan penuh barakah ini. Dan masih punya lagi peluang,ruang dan juga masa untuk berdoa mengadu padaNya supaya negara tanah air kita ini bebas dari cengkaman belenggu virus kerdil ini.

Akhirul kalam, begitulah serba serbi coretan hidupku sepanjang Ramadhan di musim Perintah Kawalan Pergerakan ini. Kisahku ini aku ceritakan berdasarkan apa yang aku mampu ilhamkan menerusi hujung mata penaku sahaja. Lain orang, lain pula cara penyampaian cerita dan persembahan kisah hidup ranjau duka lara mereka. Seterusnya, dengan berbaki lebih kurang 22 hari lagi bulan Ramadhan, marilah kita merebut peluang mengejar keistimewaan bulan Ramadhan ini. Ini kerana tiada siapa yang mampu menjamin adakah kita masih punya peluang untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan menyusul kelak. Sebagai penutup kalam penghabis bicara, aku mahu berkongsi tentang satu ayat Al-Quran yang dipetik dari Surah Al-Baqarah ayat 186. Ayat tersebut berbunyi, "Dan apabila hamba-Ku bertanya tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.". Oleh yang demikian, marilah kita seantero umat Islam yang saling bersaudara menadah tangan menitipkan doa meminta ke hadrat Illahi supaya dikeluarkan dari kemelut yang sedang kita hadapi sekarang ini. Tuntasnya, selain menyambut kemenangan kita melawan hawa nafsu di bulan Ramadhan pada takbir 1 Syawal kelak, marilah kita terus berusaha sehingga ke akar umbi supaya kemenangan melawan serangan virus makhluk sang pemilik alam semesta ini juga menjadi milik kita. Sekian sahaja nukilan ilhamku buat kalian semua.

Comments


Brought to you by:

Thanks! Message sent.

LOGO 5.png
bottom of page