top of page

Pengalaman di Turki semasa PKP

  • Nurin Arshad
  • May 11, 2020
  • 5 min read

Aku membuka helaian pertama buku. Hari ini merupakan hari pertama perintah kawalan (PKP) di negara ini. Kini, aku berada di Turki. Tidak dapat pulang kerana aku paranoid dan takut dengan situasi yang berlaku sekarang. Biar keadaan reda dahulu. Cerita dibuka dengan persoalan perkara apa yang istimewa dengan Turki ini?

Salah satu tarikan yang istimewanya ialah Istanbul. Siapa sahaja yang tidak pernah mendengar Istanbul? Tambahan pula, kota ini terkenal dengan kisah Sultan Muhammad al-Fatih yang menawan kota Constantinople. Pada 29 Mei 1453, baginda memimpin bala tentera seramai 100 000 orang dengan 125 kapal perang. Betapa hebatnya kisah ini kerana sampai sekarang aku masih kagum setiap kali mendengarnya. Nota ini aku catatkan di dalam buku nota.

Hari pertama aku ke Istana Topkapi. Istana ini merupakan istana pentadbiran empayar Osmaniyah dari Tahun 1465 sehigga 1853 dan juga pusat pemerintahan Islam terbesar yang merangkumi tiga benua iaitu Eropah, Afrika Utara dan Timur Tengah. Pemandu pelancong ini juga memberitahu empayar Osmaniyah pernah menjadi penaung negara Islam seperti Kesultanan Acheh. Memasuki istana ini, lengkap dengan bangunan pentadbiran, kolej pentadbiran, masjid, perpustakaan dan lain-lain lagi sehingga satu ketika dahulu pernah dihuni oleh 4000-5000 orang. Istana ini juga dinamakan sebagai ‘Bandar dalam Bandar’. Hebat bukan? Selain menjadi tempat kediaman sultan dan kaum kerabat, kompleks istana agung ini mempunyai empat halaman dan halaman yang paling menarik bagiku ialah halaman yang kedua. Melepasi Babusselam, akan kelihatan beberapa lorong menuju destinasi yang berbeza dan diantaranya ialah Divan iaitu tempat persidangan majlis negara. Menuju belakang bangunan Divan, terletaknya Harem iaitu kompleks kediaman kaum wanita di istana. Dahulu, mereka dididik dengan pelbagai kemahiran dan kesenian rumah tangga di bawah seliaan ibu kepada sultan. Gadis-gadis ini pula akan dikahwinkan dengan putera-putera sultan, pembesar negara atau panglima-panglima tentera Osmaniyah.

Di istana inilah, seorang gadis bernama Rogayyah Hanim dibesarkan. Siapakah beliau? Rogayyah Hanim dibesarkan di Harem, Topkapi dan dihadiahkan kepada Sultan Johor, Sultan Abu Bakar ketika baginda melawat Sultan Abdul Aziz di Istanbul pada 1866. Beliau dikahwinkan dengan Ungku Abdul Majid dan daripda keturunan ini, lahirlah Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz. Selepas kemangkatan Ungku Abdul Majid, beliau berkahwin dengan Menteri besar Johor, Dato Jaafar Haji Mohamad dan melahirkan Onn Jaafar iaitu seorang tokoh kemerdekaan Tanah Melayu. Perkahwinan ketiganya pula dengan Syed Abdullah Syed Al-Attas dan daripada keturunannya, lahirlah tokoh-tokoh terbilang seperti Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Prof Syed Hussein al-Attas.

Aku menikmati Kokorec yang dibeli di Galatasaray. Kokorec merupakan roti baguette berisi usus kambing dan pelbagai rempah. Rasanya? Mungkin unik kerana aku tidak pernah merasai rasa ini. Aku meneruskan lagi perjalanan menuju ke Muzium Aya Sofea atau St. Sophia. Muzium ini merupakan antara binaan terpenting di Istanbul dan terletak bertentangan Masjid Biru. Apa yang dilihat sekarang merupakan struktur yang ketiga dibina selepas yang pertama dan kedua musnah akibat kebakaran pertama dalam rusuhan besar pada 404 antara mazhab. Kebakaran ini berpunca dari perbezaan pendapat mengenai zat Nabi Isa a.s dan kebakaran kedua pada 522 kerana Pemberontakan Nika yang memusnahkan separuh daripada Kota Constantinople. Aya Sofea pada asalnya dibina pada tahun 360 Masihi dan lebih dikenali sebagai Magna Ecclesia yang bermaksud Gereja Agung, menurut pemandu pelancong ini. Pada 532, Maharaja Justinian yang memerintah Empayar Rom telah memerintahkan pembinaan semula Aya Sofea dan siap pada 537. Kini, muzium Aya Sofea yang berdinding merah itu kelihatan megah dihadapan mata.

Pada masa itu, Aya sofea merupakan sebuah gereja sebelum ditukar menjadi masjid pada tahun 1453 setelah Sultan Muhammad al-Fateh menakluki Contsantinople namun masjid ini bertukar menjadi muzium semasa pemerintahan Mustafa Kemal Atartuk pada 1923.

Aku berhenti melawat Masjid Sultan Ahmed yang merupakan masjid kedua terbesar di Istanbul. Perkara yang menarik tentang sejarah masjid ini ialah ia ibina pada zaman Sultan Ahmad yang menaiki takhta ketika berumur 14 tahun. Pada asalnya, masjid ini dibina untuk menandingi kehebatan Aya Sofea. Ternyata, memang hebat melalui pandangan mata kasarku ini. Pantas aku mencatat fakta sejarah ini di dalam buku nota. Kemudian, aku menuju ke Majid Sultan Suleyman yang merupakan masjid terbesar di Istanbul. Masjid ini menempatkan madrasah, perpustakaan, asrama pelajar, tandas awam, hospital, sekolah perubatan, tempat penginapan musafir, dapur untuk memberi makan fakir miskin, tempat mandi umum dan lot-lot kedai yang menjana pendapatan untuk kompleks ini. Masjid ini merupakan mercu pusat pembangunan sebuah bandar dan dibina sebagai sebuah kompleks. Memang dapat merasai ketenangan saat melihat kembali gambar-gambar masjid ini. Ketenangan yang tidak dapat digambarkan secara mendalam dengan kata-kata.

Masjid ini dihiasi 138 jendela yang membawa masuk cahaya dari serta sudut. Memang kagum dengan pembinaannya ini terutama di jendela yang dimasuki cahaya ini. Namun, pemandu pelancong menasihatkan untuk solat di bahagian yang tertutup sedikit kerana khuatir cahaya jendela ini mengganggu kekhusyukan solat. Aku melihat beberapa biji labu yang tergantung dari kubah utama setelah mendongak. Kagum aku melihat corak, kaligrafi dan keunikan labu yang dahulunya berfungsi untuk mengesan kesan akuatik setelah diletakkan paras air yang berbeza di dalamnya. Sangat teliti dan indah!

Pada hari seterusnya, aku berpeluang untuk melihat Selat Bosphorus yang menghubungkan Laut Marmara dan Laut Hitam. Selat sepanjang 31.5km ini amat biru airnya! Pada pesisir selat Bosphorus ini, terdapat Hotel Ciragan Kepinski yang mempunyai satu sejarah yang menarik bagiku. Pada dahulunya, terdapat satu istana mewah yang bernama Ciragan Saray namun terbakar pada tahun 1920. Setelah kebaran ini berlaku, istana mempunyai banyak kerosakan pada struktur bangunan itu. Namun pada tahun 1989, sebuah syarikat Jepun telah membeli istana terbakar tersebut dan menjadikannya sebagai sebuah hotel. Maka, lahirlah Hotel Ciragan Kepinski di pesisir Selat Bosphorus ini. Namun, aku tidak berpeluang untuk melihat dengan mata kasar struktur bangunan hotel tersebut dari dalam.

Perjalananku diteruskan lagi menuju Grand Bazaar atau Turkey Kapali Carsi yang bermaksud Pasar Tertutup. Pasar ini merupakan pasar tertutup yang terbesar di dunia. Perniagaan di dalam pasar ini seperti di Pasar Seni ibu negara kerana menjual kraftangan, hasil tenunan dan barangan kulit. Tempat ini merupakan syurga bagi penggemar hasil kraftangan kerana banyak corak autentik dan klasik terdapat pada barang-barang yang di jual di sini.

Eminonu merupakan destinasi seterusya. Tempat ini merupakan pusat utama kota sejak Zaman Byzantine lagi. Disebabkan airnya yang dalam dan terlindung daripada arus, Eminonu berkembang pesat sebagai pusat pelabuhan yang banyak bangunan perniagaan dan perumahan disekitarnya. Aku membeli sandwich ikan yang terkenal di situ dari sebuah bot kecil. Cuaca tidak beberapa panas pada hari itu. Ikan bakar segar diletakkan di antara kepingan roti dan sedap dimakan bersama air jeruk asam yang dibeli di kedai berhampiran. Aku melihat pelbagai ragam manusia di sini. Ada yang memancing, berbual, melihat pemandangan, berjual-beli. Burung merpati juga tidak kurang galaknya apabila terbang ke sana sini.

Pada hari terakhir, aku berkesempatan untuk menikmati pemandangan di Bukit Camlica. Kebetulan pada waktu itu musim panas dan ribuan bunga tulip disekeliling bukit itu. Bukit Camlica merupakan bukit tertinggi di Istanbul. Aku menaiki puncak bukit tersebut dan terdapat taman bunga di situ. Bukit yang tertinggi di Istanbul itu dapat dilihat pemandangan keseluruhan Istanbul dan Selat Bosphorus dari Laut Marmara dan Laut Hitam. Aku menikmati kopi turki dan kebab yang sangat terkenal di negara itu.

Udara segar aku hirup sambil mata memandang ke arah selat Bosphorus. Indahnya! Ibarat aku membayangkan sejarah pembangunan kota ini apabila berada di sini. Cuma, aku hanya membaca sebuah buku bertajuk 10 Pengalaman Menarik di Istanbul oleh Izham Istar. Tempat menarik yang ditulis penulis ini, aku bayangkan sebagai lokasi pelancongan aku suatu hari nanti. Aku mencatat isi kandungan buku ini untuk rujukanku semasa PKP ini berakhir.

Kini, aku menonton penulis buku ini di televisyen kerana beliau menjadi penterjemah untuk kru rancangan Jejak Rasul yang sedang berlangsung pada Ramadhan 1441 Hijrah ketika ini. Minuman kopiku cuma Nescafe dan bukannya kopi turki lagi setakat ini. Namun, pemandangan di rumah tidak dapat aku nafikan keindahannya kerana “Rumahku Syurgaku”.

Aku menutup helaian terakhir buku.

Comments


Brought to you by:

Thanks! Message sent.

LOGO 5.png
bottom of page