Pengalaman dan Pengajaran yang diperoleh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan
- Nur Nabilah Safwah binti Mohd Taha
- May 11, 2020
- 4 min read
Baru-baru ini, mayapada dikejutkan dengan kewujudan wabak novel Corona virus yang tidak pernah dijumpai oleh manusia sebelum ini. Virus ini bagaikan bom jangka yang menanti untuk meletus dan sekiranya tidak dimatikan, akan memusnahkan populasi dunia. Negara Malaysia mengambil langkah-langkah yang efektif, pantas dan holistik sebagai anjakan paradigma apabila PKP iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia 2020 pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia kerana penularan Covid-19 yang melonjak naik bagai cendawan tumbuh selepas hujan, Dengan itu, semua pelajar Universiti Islam Antarabangsa Kuantan termasuk diriku sendiri diarahkan pulang ke kampung halaman masing-masing memandangkan penutupan semua alma mater di seantero negara. Aku dan kawan-kawan yang lain berasa teruja dan lega yang amat kerana sudah tidak perlu khawatir lagi untuk menghadapi ujian ‘Minitest’ yang akan dilangsungkan dalam masa terdekat. Sejujurnya, blok 3 adalah waktu yang paling sukar untukku dengan silibus pembelajaran yang padat dan kekangan masa justeru pengumuman PKP ini sedikit sebanyak mengangkat beban dari bahuku.
PKP yang sudah menginjak fasa ke-4 ini mengajar aku banyak pengalaman yang sangat manis dan akan senantiasa terpahat dalam sanubariku. Aku dapat merasakan perubahan positif dalam diriku sepanjang PKP ini berlangsung. Membaca buku adalah hobi yang mendapat tempat dalam hatiku dan aku melakukannya setiap kali waktu lapang dengan memegang kata-kata dari guru subjek Bahasa Melayu iaitu membaca itu ibarat menabung. Semakin dalam, semakin banyak hal berharga yang didapatkan. Namun, saat melangkah ke alam dewasa, hobi itu ditinggalkan dan diabaikan memandangkan komitmen perdana lebih terjurus ke arah pelajaran dan diri sendiri. Semenjak PKP, masaku lebih sistematik justeru aku membaca pelbagai genre buku berilmiah seperti motivasi, jurnal, biografi, surat khabar dan ensiklopedia. Pengetahuan am bertambah luas dan aku dapat mengetahui isu-isu semasa yang berlaku dalam dan luar negera. Aku mengikut rapat perkembangan Covid-19 di seluruh mayapada untuk mengetahui tentang bilangan kes keseluruhan termasuk bilangan pesakit yang terlibat, sedang dirawat atau telah sembuh sepenuhnya. Aku mengambil inisiatif holistik untuk tidak kerap keluar rumah, menjaga jarak sosial 1 meter dan mengingatkan ahli keluarga dan para sahabat untuk menjaga diri sendiri melalui media sosial seperti Whatsapp, Facebook dan Instagram. Aku percaya bahawa usaha walaupun sekecil-kecil zarah mampu memberikan kebaikan kepada orang lain kerana usaha tangga kejayaan.
Seterusnya, aku lebih banyak meluangkan masa di dapur untuk belajar memasak dari ibu tercinta untuk menelaah, memperbaiki dan menginovasi hidangan bertujuan untuk meningkatkan rasa dan persembahan makanan tersebut. Aku juga menggunakan buku resepi, carian Internet dan Instagram sebagai rujukan tambahan untuk meluaskan horizon pemikiran mengenai kesenian makanan. Satu prinsip yang aku genggam erat adalah semua kemahiran dan kepakaran memerlukan waktu maka semakin banyak waktu yang dihabiskan untuk memasak semakin bagus hasilnya. PKP yang berlangsung selama hampir dua bulan ini memberikan aku waktu yang mencukupi untuk menajamkan skil dalam diri. Ini bertepatan dengan sebuah mutiara kata yang berbunyi kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Pada waktu yang sama, memasak di rumah juga dapat menjimatkan perbelanjaan harian disebabkan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan kerana pengaruh Covid-19. Ibu selalu mengingatkanku untuk mencurahkan sepenuh kasih sayang dan mengamalkan amalan berjimat-cermat semasa memasak kerana membazir amalan syaitan.
Selain itu, hubungan kekeluargaanku semakin terjalin erat berkat PKP dan aku amat bersyukur atas nikmat ini. Aku duduk berjauhan dengan keluargaku semenjak berumur tiga belas tahun kerana tinggal di asrama dan terpisah dek batas waktu dan jarak. Menginjak dewasa, masalah ini semakin berlarutan memandangkan aku mengambil kursus perubatan yang memerlukan seratus peratus perhatian dan tanggungjawab. Namun begitu, aku mampu menarik sedikit nafas lega apabila PKP diumumkan kerana akhirnya aku boleh kembali ke pangkuan keluarga dengan riang ria. Aku mencuba sedaya-upaya untuk menghabiskan seluruh masa yang ada dengan ibu-bapa yang telah mencecah usia senja serta adik beradik yang lain. Kami adik beradik menolong ibu di dapur, mengemas rumah, menonton televisyen dan bermain permainan dalam rumah bersama-sama. Tambahan pula, ayahku sangat berminat dengan tumbuh-tumbuhan yang menghijau dan warna-warni maka aku selalu menemainya di kawasan rumah pada waktu petang. Aku percaya bahawa keluarga yang bahagia itu adalah salah satu permata yang tak ternilai yang telah dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambaNya. “Rumahku, Syurgaku.” Itu salah satu kalimat yang aku sentiasa laungkan dalam sanubari.
Tinta kata terakhir yang paling bersejarah dan bermakna bagiku adalah aku boleh menyambut Ramadan, bulan seribu rahmat bersama-sama yang tercinta. Tahun 2020 merupakan satu-satunnya tahun di mana aku menyambut Ramadan secara lengkap di rumah. Kami mendirikan solat fardhu dan solat terawih secara berjemaah setiap hari dan makan moreah di ruang tamu. Kadang-kala terlintas di fikiran ku “Bilakah lagi aku dapat menyambut Ramadan seperti ini lagi kerana apabila tamat PKP, aku akan disibukkan dengan tanggungjawab sebagai pelajar dan sebagai bakal doktor?” Aku juga menggapai peluang ini untuk memperbaiki iman dan sahsiah diri dengan kerap membaca al-Quran, mengganti puasa dan solat yang tidak sengaja ditinggalkan. Aku sedar bahawa aku jarang mengaji al-Quran sebelum ini dek kesibukan mengejar urusan duniawi maka aku cuba menggunakan kesempatan ini sehabis daya. Impianku adalah untuk mendapatkan Lailatul Qadr yang dikatakan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Sesungguhnya, menelusuri era metropolitan ini, mujtamak tidak pernah lelah mengejar kebahagiaan dan kekayaan duniawi sehinggakan dunia itu dijunjung atas kepala bak “menatang minyak yang penuh” manakala akhirat itu diinjak-injak bak lap kaki yang kotor dan jijik. Ironinya, kemaslahatan anak-anak, iman dan agama dianaktirikan yang memberi dampak besar kepada perpaduan serta kesejahteraan rakyat sejagat.
Sebagai penutup wacana, memetik kata-kata dari Hasan al Bashri yang berbunyi “Ketika cinta atas dunia memasuki hati, takut akan Akhirat akan keluar darinya. Berhati-hatilah dengan godaan dunia, kerana tidak seorang hambapun yang membuka sebuah pintu dunia ini tanpa tertutupnya beberapa pintu Akhirat baginya”. Sedang kita leka dengan nikmat dunia, Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang mengingatkan kita agar kembali ke jalan yang benar dengan menurunkan ujian Covid-19. Sewajarnya, kita harus sentiasa berfikiran positif tentang semua dugaan yang diturunkanNya kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Allah sudah menjanjikan setiap kesusahan yang diberikan, akan datang kesenangan di kemudiannya. Aku memetik firman Allah yang bermaksud. “Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan” (Surah A-Talaq:7). Aku selalu mengandaikan manusia itu adalah pengembara di atas muka bumi ini, perjalanan yang berliku-liku ditemani air mata, kesusahan dan kesempitan. Tetapi yang pasti, apabila kita tetap kukuh memegang erat jalan Islam itu, Allah akan mengurniakan destinasi yang abadi dan indah iaitu Jannah.
Comments