top of page

PENGALAMAN DAN PENGAJARAN DUDUK DI RUMAH KETIKA KUARANTIN

  • Farah Hanina binti Mahmad Najhan
  • May 11, 2020
  • 5 min read

“Dengan ini, saya mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia akan berkuatkuasa mulai 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020”, kata Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac 2020 yang lalu. Rentetan dengan itu, seluruh pergerakan dan perhimpunan awam menjadi satu larangan dan akan dikenakan denda bagi sesiapa yang mengingkarinya. Pencegahan awal yang diumumkan oleh Perdana Menteri membuktikan beliau prihatin dan cakna terhadap sesuatu bencana. Dalam kata lain, bencana ini akan menjadi lebih parah jika tidak dibendung dengan segera.

Musibah yang melanda seantero dunia merungsingkan semua pihak tidak kira rakyat marhaen atau pihak atasan. Pihak yang berada di barisan hadapan seperti para doktor, saintis, polis, askar dan ahli parlimen memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan krisis ini dapat dikawal dengan tenang dan berjaya. Tarikh 31 Mac 2020 bukan menjadi ketetapan yang mutlak bahawa PKP akan berakhir pada tarikh itu. Malahan, sehingga hari ini 7 Mei 2020, PKP sudah berada di fasa ke 4 namun telah dilonggarkan mengikut syarat dan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. PKP hanya mampu ditamatkan tanpa bersyarat jika tiada lagi kes baharu bagi tempoh 10 hingga 14 hari berturut-turut.

Mengimbau kembali kenangan pada tarikh 16 Mac 2020, saya berada di alma mater, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kampus Kuantan sedang menimba ilmu dan berusaha gigih menyelesaikan projek akhir tahun yang memerlukan saya memberi komitmen untuk ke makmal mikrobiologi di Kulliyyah Sains Kesihatan Bersepadu pada masa-masa tertentu. Pada hari tersebut, kami menerima arahan drastik yang menggalakan pelajar untuk pulang ke rumah masing-masing seawal yang mungkin. Oleh itu, saya betemu dengan penyelia projek dan berbincang mengenai masalah dan kekangan mengenai projek yang akan tergendala disebabkan saya tidak boleh memasuki makmal seperti sedia kala.

Mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan dari pihak kerajaan, saya memutuskan untuk pulang sendiri menaiki kenderaan persendirian dari Kuantan ke Kulim. Rentetan senario ini telah merencatkan perancangan yang telah lama saya rancang untuk projek akhir tahun saya. Namun demikian, sejenak memikirkan peri pentingnya untuk membendung masalah akan datang, saya percaya yang saya hanya mampu merancang, tapi Tuhan yang menentutkan. Sesungguhnya, setiap perjalanan seorang manusia telah ditetapkan dan ditakdirkan sebaik mungkin oleh pencipta-Nya. Merujuk pada Surah al-Baqarah ayat 195, “dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. Demikian bererti kita juga perlu mengelak kawasan yang telah dinyatakan bahayanya. Selain itu, sebagai manusia yang berinteligensia dan mempunyai kesedaran sivik, sayugia saya memastikan perjalanan saya selamat dan tidak membawa virus pulang ke kampung halaman dengan memastikan kebersihan diri dan sekeliling saya.

Realitinya, pancaroba kehidupan apabila dunia menerima musibah yang menyebabkan kematian ratusan ribu manusia, emansipasi pergerakan sangat terbatas. Ironinya, kita sedar betapa kecilnya kita berbanding kuasa-Nya yang menentukan segala-galanya. Sesungguhnya, selain kita duduk di rumah dan memastikan penjarakkan sosial dipatuhi, kita hanya mampu berdoa agar Tuhan menghilangkan COVID-19 ini dari muka bumi. Di Malaysia, kita hanya mampu menjadi masyarakat yang muafakat dan memberi sinergi terhadap arahan semasa PKP serta menunggu informasi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai isu semasa COVID-19 ini. Perucapan frasa “duduk di rumah” oleh Perdana Menteri Malaysia, sentiasa terngiang-ngiang di telinga dan itu ialah peringatan agar semua rakyat tidak bersikap individualistik dan sambil lewa tentang arahan PKP. Mengikut kajian para saintis, mereka percaya PKP memberi maslahat yang perdana dalam mengurangkan penyebaran virus ini. Tidak dapat tidak, kita perlu menjadi rakyat yang akur untuk duduk di rumah sebagai tanda kita menghargai negara. Bersesuaian dengan kata seorang tokoh, JF. Kennedy, “jangan tanya apakah sumbangan negara terhadap kamu, tetapi tanya apakah sumbangan kamu terhadapat negara. Yakinlah, mendengar arahan kerajaan untuk duduk di rumah ialah salah satu sumbangan untuk memastikan negara kita tidak hancur dek serangan virus. Hal ini juga untuk memastikan semua usaha dan keringat para barisan hadapan berbaloi.

Bagi perspektif yang berbeza sebagai seorang pelajar yang banyak menghabiskan masa di universiti, saya dapat melihat dan menghayati faedah atas arahan kuarantin ini. Antaranya, saya dapat meluangkan lebih masa bersama ibubapa saya, memberi tumpuan kepada diri sendiri terutama dari aspek mental dan juga belajar perkara-perkara baharu. Saya beriltizam untuk memastikan hari-hari kuarantin saya dipenuhi dengan perkara-perkara yang berfaedah yang memberi kepuasan di dunia dan membawa falah di akhirat kelak. Obligasi dalam mempelajari perkara baharu diluar bidang pembelajaran saya seperti fotografi, videografi, menjahit dan memasak menjadi suatu perkara yang meluaskan horizon pemikiran saya.

Sesungguhnya, mempelajari perkara baharu memerlukan minat dan kesungguhan untuk menimba ilmu secara intensif. Perspektif berbeza untuk memastikan saya dapat melihat sesuatu perkara menjadi lebih menarik untuk dipotretkan telah menjadi punca saya memanifestasikan fikiran saya semasa berada di rumah. Kreativiti dalam menghasilkan gambar dan video untuk memastikan penonton memahami sesuatu situasi sangat penting untuk dipelajari. Merakamkan gambar bukan sebarang gambar, gambar yang diambil dan ditayangkan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan gambar itu gambar yang baik-baik sahaya. Saya yakin bahawa setiap gambar mempunyai makna yang tersendiri dan menjadi kenangan untuk diabadikan. Oleh itu, melalui pandangan peribadi saya, setiap shutter yang ditekan di butang kamera bersamaan dengan detik masa yang kita lalui. Jika gambar yang diambil bertujuan menghargai alam, maka berfaedahlah masa yang diluang kerana bertafakkur tentang kebesaran-Nya. Begitu juga dengan potret keluarga yang diambil dan dirakamkan menjadi satu kenangan paling bermakna dan menjadi peringatan untuk setiap manusia menghargai kehadiran manusia lain dalam kehidupannya.

Seterusnya, pembelajaran baharu yang saya berjaya lakukan untuk meluangkan masa semasa kuarantin ini agak meguji kesabaran saya iaitu belajar menyulam. Saya membeli perkakas untuk menyulam dari China. Perkara pertama yang menguji kesabaran dan semangat saya ialah saya perlu menunggu selama tiga minggu dari tarikh membeli di atas faktor kesesakan kurier penghantaran barang. Namun, barang yang sampai sangat berbaloi dan berkualiti walaupun dijual dalam harga yang murah. Saya belajar teknik-teknik menyulam daripada ibu saya sendiri. Dengan itu, silaturahim antara kami dapat dieratkan. Saya mengagumi kemahiran beliau dalam menyulam. Bahkan, ibu saya mahir menyulam baju, kasut dan aksesori untuk bayi. Kemahiran ini dapat dipelajari kerana dalam masa kuarantin ini, ibu saya turut berada di rumah. Dengan itu, banyak perkara yang kami dapat lakukan bersama termasuk memasak pada setiap hari.

Tambahan pula, sepanjang PKP ini, ayah saya tidak dapat ke masjid untuk melakukan solat Jemaah. Oleh yang demikian, kami melakukan solat terawih secara berjemaah bersama-sama. Saya dapat merasakan keakraban dan kasih sayang dari beliau dengan solat bersama-sama. Saya yakin, solat Jemaah mempunyai aura dan tarikan cas positif dalam tubuh badan kita dan menjadikan sesorang itu bertenaga. Berdasarkan Riwayat Muslim, Abu Hurairah berkata bahawa Nabi SAW bersabda “solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat”.

Disamping itu, dari sudut pandang seorang rakyat marhaen, saya dapat melihat kuarantin ini menjadi kemelut kejatuhan ekonomi negara dan juga rakyat yang kehilangan kerjaya. Kesedihan melihat kesengsaraan masyarakat yang mempunyai masalah kewangan sangat membimbangkan. Kesedaran untuk membantu mereka hanya dapat dilakukan dengan sedekah melalui pengantara yang boleh dipercayai seperi badan bukan kerajaan yang berdaftar. Pertolongan yang tidak seberapa ini, sedikit sebanyak menjentik hati yang kadang kala bersifat jelik bertukar menjadi seorang yang mempunyai sifat belas ihsan yang tinggi. Profesion yang dibanggakan bertukar milik menjadikan seseorang hilang punca pendapatan telah membuktikan manusia hanya menumpang untuk berpijak dibumi pinjaman daripada-Nya. Hanya Tuhan yang berhak atas semua rezeki dan hanya Dia yang berkuasa dalam setiap saat kita. Namun, yakinlah setiap dugaan itu ada jalan penyelesaian. Kesabaran itu sangat penting untuk memastikan kita menjadi umat manusia yang percaya dan berpegang teguh pada agama-Nya. Daripada Surah Yusof, ayat 18, “maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik dan hanya Allah sajalah tempat meminta pertolongan”. Menyedar hakikat di atas, manusia tidak boleh bersifat angkuh dan menyalahkan takdir atas segala yang telah berlaku.

Akhirulkalam, pengalaman kuarantin selama lebih sebulan ini ialah pengalaman yang pertama sepanjang 22 tahun hidup di muka bumi menjadikan pengalaman dan pengajaran yang bermakna dalam kehidupan saya. Kestabilan fizikal dan spiritual berjaya diperoleh dalam tempoh sebulan mempelajari ilmu-ilmu baharu. Masa yang diluangkan bersama ibu bapa saya tiada gantinya semasa kuarantin ini akan menjadi pengalaman yang dirindukan. Saya berdoa agar musibah ini diangkat dari bumi ini secepatnya agar kita boleh melakukan rutin yang biasa dilakukan. Norma kehidupan mungkin berubah sehingga kita menemukan vaksin untuk melawan virus ini, namun, sifat ihsan dan tidak bersifat mementingkan diri perlu di ambil berat oleh setiap golongan masyarakat.

Comments


Brought to you by:

Thanks! Message sent.

LOGO 5.png
bottom of page