top of page

Pengalaman atau Pengajaran Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan

  • Nur Alia Iman Binti Shaik Mohd Nizam
  • May 11, 2020
  • 5 min read

Awan yang membiru ku pandang lama. Sinaran terik sang suria memancar tepat kearah sebujur wajah yang sudah lama terperap di dalam rumah tercinta. Buat pertama kali setelah lamanya perintah kawalan pergerakan atau nama pendeknya PKP dijalankan, tarikh 5 Mei 2020 menyaksikan tertulisnya takdir menandakan diriku ini akan melangkah keluar dari rumah untuk membeli sedikit barang keperluan, dalam keadaan yang ‘legal’ bak kata orang putih, kerana kini perintah kawalan pergerakan bersyarat telah pun dilaksanakan.

Akan ku cerita pengalaman hari ini dahulu, dan kemudian bakal ku cerita pula pengalamanku sepanjang pkp yang lepas.

Sementara pacuan empat roda menuju ke pekan kecil di kawasan ini dikendali, mataku tidak berhenti melilau dari memandang ke sana dan ke sini. Hampir sebulan setengah nikmat keluar dari rumah ini diambil dariku. Dan pada detik ini, nikmat itu dikembalikan semula kepada hambaNya ini. Ramai orang. Hanya itu yang terlintas di fikiranku semenjak kereta yang dinaiki keluar dari perkarangan rumah, dan akhirnya tiba di pekan. Begitu ramai insan bertebaran di serata tempat dan bangunan, masing-masing dengan tujuan mereka tersendiri. Pandanganku dibawa memerhati manusia yang ada, kebanyakkannya tidak mampu ku lihat riak wajah mereka, dek topeng muka yang terletak elok menutupi organ pernafasan dan mulut masing-masing. Bagus sekali. Rakyat memainkan peranan mereka dalam menjaga diri daripada terkena jangkitan covid-19.

Tidak ku nafikan, saat ku keluar dari kereta untuk membeli barangan yang diperlukan, perasaan khuatir dan ketakutan menyelinap masuk dalam setiap inci tubuh ini. Janggal sekali. Terasa pelik tatkala berada di tempat awam, dan diriku dikelilingi banjiran manusia yang agak ramai. Ketakutan itu datangnya dari perasaan ingin menjaga keselamatan diri ku kira. Rasa takut dengan virus ini membuatkan diriku lebih berhati-hati dalam setiap gerak geri.

Usai membeli barangan, aku pulang dengan hati yang puas, kerana suasana di pekan dapat kulihat sendiri dengan pancaindera yang dianugerahkan. Namun rasa sayu menyelinap ke dalam jiwa, tatkala melihat ramainya orang beratur di hadapan kedai pajak gadai. Ku kira apa yang ku lihat ‘viral’ di internet tentang perkara ini hanyalah dusta, namun kini ia terjadi di depan mata. Tidak ada yang mampu ku lakukan, melainkan sebuah doa ku hadiahkan buat semua insan di dunia ini. Begitulah tamat pengalamanku keluar menuju ke pekan, diakhiri dengan sedikit rasa hiba dan terkilan.

Kini, penceritaan ku akan berkisarkan tentang pengalaman yang lepas.

Tiada apa yang menarik kurasa. Hanya pengalaman harian yang akan ku nukilkan di sini.

Sepanjang PKP, tidak mahu ku utarakan auta, perkara paling utama yang mengalami perubahan besar dalam hidup ini merupakan jadual harian diriku. Sarapan pagi kini sudah tidak lagi wujud dalam kamus harian. Buka sahaja mata, mataku tertumpu pada jam di telefon bimbit yang hampir setiap hari menunjukkan waktu 1030 pagi ke 11 pagi. Di awal PKP mula berjalan, tanganku hampir setiap hari mengalami kekejangan, dek tidak mampunya ia berenggang dari telefon bimbitku. Agak mencuit hati pabila ku teringat kembali. Tiada kesedaran diri langsung, tentang setiap detik yang berjalan tidak akan mampu sekali-kali ku kembalikan. Hampir setiap hari masa ku luangkan dengan dua benda ku kira paling menarik perhatian diriku di rumah – televisyen dan juga telefon bimbit. Jika ku tidak dilihat berada di ruang tamu menonton televisyen, pastinya keluargaku sudah tahu aku sedang di dalam bilik, menghadap peranti serba boleh bersaiz kecil itu.

Namun khabarkan kepadaku, siapa sahaja yang mampu kekal hidup begitu dalam jangka masa yang panjang? Menghadap televisyen dan telefon hampir 24 jam, jiwaku terasa begitu kosong sekali. Setelah ‘bercuti’ dari buku selama hampir seminggu dua, azam baru kian membara di dalam jiwa. Ku tidak mahu masaku berlalu sia-sia, tanpa diriku ini melakukan apa-apa. Maka, ku kembali pada keadaan diriku sewaktu di mahallah, sebagai seorang manusia berdisiplin yang mempunyai jadual harian. Sebuah jadual harian yang lengkap dengan pelbagai aktiviti daripada detik ku celikkan mata, hinggalah ke penghujung harinya telah ku buat, dan ku sangat berpuas hati dengan rancanganku untuk melalui hari-hari dengan befaedah.

Namun seperti yang semua sedia tahu, aku hanyalah manusia biasa. Hanya sehari sahaja ku ikut jadualku itu. Jadual yang bermula dengan bangun subuh dan tidak tidur selepas itu kerana dipenuhi dengan aktiviti senaman dan ‘study’, semuanya hanya mampu bertahan selama sehari. Mengingatinya membuatkan senyuman sinis terbit di bibir, bagaimana aku mampu tefikir untuk menghabiskan sebanyak 14 ‘lecture notes’ dalam sehari? Hahaha lawak sekali.

Melihatkan ketidakjadian perkara ini, ku ubah kembali segalanya, ditetapkan bagi diriku, agar paling kurang pun mampu menghabiskan 2 ‘lecture notes’ sahaja dalam sehari. Dan syukur padaNya, mampu ku beristiqomah begitu sehingga kini. Cukuplah pasal menuntut ilmu, kini akan ku cerita perkara lain pula.

Begitu banyak perkara yang berlaku sepanjang PKP ini, dan salah satunya yang akan ku sentuh ialah fenomena ‘super pink moon’. Masih segar dalam ingatan, 8 April menyaksikan fenomena indah itu. Tepat jam 1035 malam, tudung ku sarung dan kakiku dibawa menuju ke halaman rumah untuk menyaksikan sendiri ‘super pink moon’ itu. Fenomena di mana bulan berada dalam jarak yang paling dekat dengan bumi, membawa kepada penghasilan visual yang menampakkan bulan lebih besar dan terang daripada yang selalunya kita lihat. Memang indah sekali. Bulatan besar berwarna kuning yang tergantung indah di langit dalam kepekatan malam yang gelita, sudah ku pasti mampu memikat jiwa setiap yang memandangnya. Indah sekali ciptaan yang Maha Esa. Subhanallah. Namun bulan itu tidak kelihatan merah jambu seperti mana ia dinamakan. Apa yang ku jumpa dalam internet, diberikan fenomena ini nama ‘super pink moon’ adalah kerana ianya berlaku semasa bunga phlox merah jambu mekar. Dengan begitu ia mendapat namanya. Peristiwa ini merupakan antara pengalaman indah yang terjadi pada diriku semasa PKP.

Memandangkan Ramadhan pada tahun ini terjadi semasa PKP, ku diberi ruang dan peluang untuk menunaikan ibadah puasa bersama keluarga yang tercinta. Jika pada tahun lepas ku bertungkus lumus berpuasa di kelas, pada tahun ini Dia memberi kelonggaran, dengan membenarkan diri ini menjalani ibadah puasa dengan keluarga di rumah. Ramadhan yang juga berbeza buat seluruh umat islam di alam semesta, dek tiadanya solat berjemaah terawih di masjid atau surau yang berdekatan. Ditetapkan oleh pihak kerajaan agar tidak berkumpul beramai-ramai, menyebabkan setiap isi rumah kini mendirikan solat berjemaah hanya di dalam rumah masing-masing. Peristiwa ini membuatkan ku tersedar tentang nikmat yang selama ini tidak pernah terlintas di dalam fikiran. Betapa indahnya suasana bersolat di masjid bersama para jemaah lain yang begitu ramai, diiringi dengan alunan berlagu imam yang membuatkan terawih sebanyak 20 rakaat itu ibarat perkara yang begitu mudah sekali untuk kucapai. Di rumah tidak dianugerahkan kepadaku nikmat itu, namun Dia menggantikannya dengan nikmat lain. Ukhuwah yang terbina saat solat berjemaah bersama keluarga semakin merapatkan kami semua. Waktu di mana segala kesibukan ditinggalkan, dan setiap ahli dari keluarga ini bersama-sama menumpukan minda dan fikiran untuk menghadapi Dia Ar-Rahman. Nikmat itu yang sedang ku belajar untuk syukuri pada masa kini, berbakikan lagi 17 hari dalam bulan Ramadhan.

Pelbagai pengalaman yang ku alami sepanjang PKP ini membuatkan diriku ini sedar, betapa sikit sekali hati ini merafa’kan kesyukuran. Banyak sekali nikmat yang sentiasa diri ini terlepas pandang. Namun syukur, Dia masih memberi peluang untuk ku perbaiki lagi setiap kekurangan. Dan benarlah sebenar-benarnya kalamNya yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Surah An-Nahl, ayat 18. Semoga pengalaman ini menjadikan diri ini lebih matang dalam berfikir, dan sentiasa bersangka baik dan positif dalam kehidupan, kerana tidak ada ujian yang diturunkan, melainkan hanyalah penuh dengan hikmah dan kebaikan.

Comentários


Brought to you by:

Thanks! Message sent.

LOGO 5.png
bottom of page