top of page

Kotak Hijau

  • cikstokinputih
  • May 11, 2020
  • 8 min read

Faizal merengus perlahan tatkala panggilan telefonnya tidak berangkat walaupun sudah tiga kali dia mendail. Kerusi yang berhampirannnya ditarik.

“Sai, kau ada dekat mana?” Soal Faizal apabila panggilannya dijawab setelah lama menunggu.

“Aku ada dekat rumah la, kenapa?Aku tengah dalam google classroom ni.Sorry do tak perasan kau call banyak kali”

“Sorry kacau. Tapi aku ada benda nak minta tolong.” Mata hazel milik Faizal mengintai kaunter makanan restoran empat bintang itu.Sudah 15 minit berlalu sejak dia menempah beberapa bungkus makanan western di dalam menu. Pelanggan kedai pun makin ramai. Namun, jarak satu meter masih dikekalkan seperti garis panduan sepanjang pandemik COVIC-19.

“Hari ni aku dah start jadi rider GrabFood balik.Memandangkan UIA tak buat online class, jadi bolehlah sambung. Tapi demam mak aku tak kebah lagi. Jadi aku nak minta tolong kau… Em, tolong tengok mak aku?” Faizal sudah tersengih mendengar keluhan di hujung talian.

“Kau ni ada-ada je, kan?”

“Tolong, eh? Nanti aku belikanlah donut pandan kegemaran kau tu. Aku tak tahu nak minta tolong dekat siapa. Kau je satu-satunya kawan aku yang ada time susah senang,” jujur Faizal Ikhwan. Otaknya tak dapat mencari wajah lain selain wajah Saiyyidah Nafisah; jirannya yang selang beberapa biji buah rumah.

“Okay-okay.Kau balik pukul berapa?”

Jeda. Faizal memeriksa dahulu jadual penghantarannya yang masih berbaki sebelum Maghrib tiba. Sekarang pun sudah pukul 5 petang.

“Aku tak sure. Tapi insyaAllah aku balik.” Telefon pintar itu dimatikan lalu dimasukkan ke dalam saku seluar jeansnya. Dia bingkas bergerak ke kaunter dan mengambil tiga set makanan.

Vermillionnya naik sedikit tatkala menerima pesanan baharu. Nama restoran dan masa penghantaran diamati seketika. Tanpa berfikir panjang jarinya menekan paparan accept order.Tiga bungkusan makanan tadi dimasukkan ke dalam kotak hijau termal berlogo GrabFood untuk mengekalkan kehangatannya.

Lelaki berusia awal 20-an itu pun mendapatkan motorsikalnya yang terparkir di luar. Beg kotak itu sudah tergalas di bahu namun dia masih tidak menghidupkan enjin motorsikal. Matanya dibawa ke hujung simpang sana. Dia mencerlung seketika sebelum segera meletakkan beg kotak hijau itu ke atas jalan bersebelahan motornya. Dengan pantas Faizal Ikhwan berlari mengejar lelaki itu.

Topeng muka kain yang terpakai dilurutkan ke bawah. Nafasnya tercungap-cungap. Langkah tadi telah membawa dia ke satu lorong di antara bangunan-bangunan. Dipandang ke kiri dan kanan bagi mencari kelibat tadi.

“Mana?” Soal hatinya. Dia pasti matanya tak salah pandang.Susuk tubuh tadi. Wajah tadi. Semuanya serupa.

Tiba-tiba dia tersenyum hambar. Rambutnya diraup ke belakang dengan tubir mata yang mula bergenang dengan air mata. Namun, dia segera mengelap tangisannya. Tak mahu bersifat lemah.

Terimalah, Faizal. Ammar dah takde. Satu-satunya adik kau dah dijemput Ilahi. Berhenti dengan bayangan rindu kau yang tak berpenghujung ni!

Dia masih sukar untuk menerima hakikat itu. Baju hijau yang tersarung ditubuh ini juga sentiasa menyakitkan hati. Kotak hijau itu, segalanya yang berkaitan dengan GrabFood amat dibencinya. Tetapi dia tiada pilihan lain untuk menolak kerja yang sudah tiga minggu diusahakan sejak cuti semperna Perintah Kawalan Pergerakan.

Faizal kembali kepada motorsikalnya yang tersadai tanpa tuan. Beg kotak hijau digalas dengan jiwa yang kosong. Untuk apa dia buat semua ni? Duit?

Honda wave biru itu mula membelah jalan raya.

5.30 petang.

Awan gelap seolah memahami isi hati itu. Kandungan air yang dibawa akan mencurah bila-bila masa sahaja. Empangan air mata Faizal pula sudah lama pecah tanpa sedar. Air mata berlinang di sebalik helmet hitamnya. Dibiarkan sahaja mengering dengan tamparan angin sepanjang jalan. Satu demi satu simpang diambil sehingga dia tiba ke sebuah kawasan taman perumahan.

Grip motor perlahan-lahan dilepaskan. Mata hazel itu mengerling nombor rumah di hadapannya. Faizal menolak cermin helmetnya ke atas sebelum mengeluarkan telefon pintarnya untuk memberi notifikasi kepada pemesan.

Lama dia tunggu di hadapan rumah itu. Loceng rumah ditekan sekali lagi. Anak matanya tercari-cari keberadaan tuan rumah. Bunyi televisyen di dalam sana meyakinkan dia bahawa si fulan itu akan keluar sekejap lagi.

Faizal melihat tapak tangannya. Titisan beberapa air membuatkan dia mendongak ke langit.

“Abang, Ammar ada satu lagi delivery ni. Abang pergilah beli donut pandan untuk awek abang tu dulu. Nanti kita jumpa dekat simpang sana.” Ammar menyarungkan helmetnya kembali dengan sebuah senyuman di wajah.

“Agak-agak la nak jodohkan aku dengan Sai pun. Aku ada taste sendiri tau. Ramai lagi budak perempuan UIA yang beratur nak aku.” Serta merta matanya menjeling adik lelakinya yang berusia 20 tahun itu.

“Ya-ya. Teruskan menipu diri sendiri. Ammar gerak dulu,”cucuk Ammar lagi berserta kekekkan ketawa.

Loceng rumah dibunyikan sekali lagi. Air hujan makin mencurah ke bumi. Tak ubah sama seperti hari itu.

Hujan lebat menyapu darah-darah di tangannya. Cover set yang baru dibelinya pada minggu lepas semperna hari lahir Ammar telah berkecai hingga serpihan di tengah jalan. Dia cuba menguatkan diri untuk mencempung tubuh lemah Ammar ke bahu jalan apabila sedar beberapa kenderaan yang lain mula menghampiri.

Diusap wajah adik lelakinya yang basah itu dengan senyuman yang terketar-ketar.”Am-Ammar.Buka mata. Jangan buat aku takut…”

Pemandu kereta yang tidak sengaja telah melanggar motorsikal adik lelakinya terkebil-kebil menghampiri mereka. Lelaki itu segera mendail nombor ambulans dan polis.

Nafas Faizal menghangat di sebalik kesejukan hujan. Air matanya mengalir bersama-sama air hujan di pipinya. Separuh wajah Ammar masih tersisa dengan darah merah pekat walau dia telah mengelap beberapa kali dengan baju hijau yang tersarung di tubuhnya. Dia masih cuba untuk mengawal diri daripada terus tewas dengan emosi.

Kelopak mata Ammar yang terkedip memberikan dia semangat kembali. Kepala Ammar terbaring di ribanya. Dia takut andai perbuatannya lagi menyakitkan Ammar.

Remaja lelaki itu tersenyum apabila wajah abangnya menyapa pandangan setelah membuka mata. Riak wajah Faizal yang kerisauan dipandangnya tanpa berkata sepatah pun.

“Nanti ambulans sampai,”tutur Faizal sambil melindungi wajah Ammar daripada terus menerima tempias air hujan. Pandangan redup mata hazel itu menyenangkan dirinya.

Apabila Ammar menurunkan kelopak mata, Faizal diselubungi ketakutan. “Ammar…”lirih suara Faizal memanggil.

Bukaan mata itu digagahkan juga untuk menyedapkan hati abangnya. Namun semakin lama kudratnya semakin hilang dengan hujan yang turut melebat.

Faizal Ikhwan diam melihat adiknya melafazkan kalimah syahadah setelah dia membisikkan di tepi telinga. Satu-satu kalimah disebut dengan suara yang tenggelam timbul di sisi Faizal. Perlahan-lahan Faizal memeluk kepala adik lelakinya yang masih hangat walaupun telah basah dengan air hujan. Ammar didakapnya erat. Lama dia memeluk. Getaran jiwanya semakin hebat sehingga dia tak mampu menahan. Teresak-esak Faizal menangis tak keruan.

Siren ambulans mengisi benak setelah beberapa ketika. Sekali lagi wajah yang tidak punya nyawa itu dilihat. Dahi Ammar yang sudah sejuk dikucupnya lama.

Kekura tangannya naik menyeka tangisan. Faizal Ikhwan menekan loceng rumah itu sekali lagi. Air hujan sering membuatkan dia hanyut dengan peristiwa hitam bertarikh sehari selepas hari jadi adik lelakinya. Wajah Ammar yang gembira dengan cover set motorsikal baharu memujuk hati Faizal.

“Penat kan tunggu?” Teguran satu suara mematikan lamunan Faizal.

Seorang gadis berselendang berdiri terpacak di hadapan Faizal dengan wajah yang dingin. Hanya pagar besi rumah yang memisahkan mereka berdua.

“Ini makanan cik.” Faizal segera mengeluarkan tiga bungkus makanan dari kotak hijaunya. Secebis senyuman di wajah cuba diletak. Dia menghulurkan makanan itu menerusi pagar rumah.

“Lain kali buat kerja tu laju sikit. Ini dah lambat sampai sentengah jam.” Gadis itu menjeling Faizal.

Faizal yang hampir separuh badan basah menunggu di bawah renyaian air hujan mengetap gigi kegeraman. Ingin sahaja dia membalas jelingan itu dengan pandangan helangnya. “Maaf. Salah saya.”

Keberadaan telefon pintar di tangan gadis itu disedari Faizal. “Are you recording a video?” soal Faizal dengan kerutan kening. Apabila dia sudah menukar bahasanya, ketahuilah yang dia tersangatlah geram tetapi masih cuba untuk bersabar.

“Yes, I am. To let people know about your poor service, bro.” Gadis itu tersenyum sinis. Lensa kameranya benar-benar menghala ke arah Faizal tanpa sembunyi seperti tadi. Memang benar dia sedang merekod video.

“Good then. I’ve been late for 10 minutes and you make me waited under the rain about half an hour. Enjoy your meal. Selamat berbuka puasa.” Tanpa berlengah, Faizal menunggang motorsikalnya. Cermin helmetnya diturunkan dengan hati yang semakin mencengkam.

Sabar, Faizal.

Dia menggelengkan kepala perlahan. Bulan Ramadhan pun boleh tahan ramai manusia yang berperangai tak semenggah. Dia langsung tidak kisah andai gadis itu mengadu perihal perkhidmatan buruknya kepada orang atas. Buruk? Faizal berdecit.

6.00 petang.

Restoran kopitiam Papa Rich dimasukinya setelah memakirkan motor di bawah kawasan berbumbung. Bajunya yang basah makin menyejukkan kulit tatkala bertemu dengan pendingin hawa.

Faizal melihat paparan telefon.

Nasi lemak with fried chicken MYR 20.66

Hainan steamed chicken rice MYR 15.94

Nasi lemak with sweet & spicy sotong MYR 18.77

“Total RM55.37. Mesti orang kaya ni,” getus hati Faizal. Mujur pelanggan tak begitu tak begitu ramai meskipun telah cecah peak hour. Usai mengambil makanan, lelaki itu menuju ke motorsikalnya dengan segera. Dia takut pisang berbuah dua kali. Nanti tak pasal-pasal ada manusia yang perangai buruk buat dia tunggu dekat luar rumah.

Donut pandan menerjah ke ruang fikirannya. Dia tersenyum senget. Kedai Mak Minah tutup pukul 6 petang. Sekarang pula sudah pukul 6.15 petang. Kalau dia tak tunaikan janji, Saiyidah akan memulaukannya seperti semalam.

Slide after pickup.

Skrin diluncurkan ke kanan. Route ditekan lalu aplikasi navigasi terpampam. Alamat yang tertera agak jauh dari restoran itu. Faizal Ikhwan sedikit berkerut kerana menyedari ada pesanan baharu yang diterima. Bukan satu tetapi sampai empat pesanan pelanggan sekaligus.

Deringan panggilan masuk membuatkan Faizal masih statik di tempat parkir motor berbumbung itu.

“Waalaikumussalam, ibu. Abang tengah kerja ni. Err… Balik pukul berapa? Tak sure la. Kenapa? Ibu nak abang beli apa-apa ke?” Faizal menggaru hujung keningnya.

Suara serak ibunya benar-benar mengharapkan dia pulang untuk berbuka puasa.

“Tengoklah macam mana dulu. Abang tak boleh nak janji. Ibu kalau nak apa-apa minta dekat Sai tau,” balas Faizal lembut. Paparan telefonnya dimenungkan lama setelah panggilan dimatikan. Tak pasti keputusannya untuk meneruskan sesi penghantaran patut diteruskan atau tidak. Wajah bondanya dan Ammar silih berganti di benak.

Empat pelanggan. Kalau seorang RM10, dia akan perolehi RM40. Banyak juga tu. Pantulan wajah sendiri pada bilah skrin telefon pintarnya membuatkan dia mengetap bibir.

Hujung bibirnya tertarik ke atas. Senyuman manisnya terukir.

End session.

Session summary. From 2.00p.m. for 4 hours. 7 Deliveries.

Cukuplah buat hari ini dia mengejar duit.

Total earnings: RM45.00

Blink!

Satu mesej menerjah masuk.

New message

Hai, bro. Ambillah order saya tadi buat berbuka dengan family. Salam Ramadhan Mubarak.

Berkali-kali Faizal membaca mesej itu bagi memastikan dia tidak salah pandang. Memang benar itu mesej daripada pemesan makanan di Papa Rich tadi. Dia menaip beberapa patah perkataan lalu dihantar.

New message

Ya, betul. Saya ikhlas bagi. Thanks sebab hari-hari hantarkan makanan saya. Hari ni biar saya belanja abang. TQ frontliner J

Faizal tersenyum.

“Sama-sama,” balasnya. Grip motor dipulas, motornya kembali ke atas jalan raya.

Manusia ada banyak karenah. Dia pun kadang-kadang pening nak melayan perangai setiap pelanggan. Namun, ada setengah golongan yang menghargai sekecil-kecil pengorbanan seorang penghantar makanan. Tiga minggu dia dengan kotak hijau itu. Ammar Mustaqim pergi meninggalkannya di bulan Ramadhan, juga dengan kotak hijau itu.

Yang pergi tak akan kembali. Yang ada depan mata inilah yang perlu kita hargai dengan sepenuh hati.

Tombol pintu dipulas perlahan. Sandal milik Saiyidah Nafisah masih berada di rak kasut menandakan gadis itu masih di rumahnya sejak tadi lagi.

“Assalamualaikum,” ucap Faizal. Beg kotak hijaunya diturunkan ke tepi sofa bersama-sama helmetnya.

“Waalaikumussalam. Ingat ke tak nak balik.” Gadis bertudung litup sedang mencerlung ke arahnya.

“Donut kau dah tutup. Aku tak sempat nak beli.. Tapi aku ada makanan lain. Ambil la.” Sebungkus nasi dihulurkan kepada Saiyidah Nafisah.

“Hm… Banyak duit kau?” Gadis itu sedikit terkejut melihat logo Papa Rich pada plastic berkenaan.

“Ada orang belanja. Terima kasih tau tolong jaga mak aku. Aku memang takde kawan lain dekat area ni.” Faizal mengusap belakang leher sendiri. Terasa bersalah terhadap kawan sepermainannya sejak kecil itu.

“Yela, Faizal. Aku nak balik dah ni, nanti mak aku bising pula dekat rumah. Nanti kalau ada apa-apa nak minta tolong, panggil je aku. Aku tak kisah pun,” ujar Saiyidah beserta segaris senyuman. Dia gembira dengan pemberian Faizal. Sekurang-kurangnya Faizal masih memberi sesuatu sebagai balasan terima kasih.

Gadis itu menapak ke luar rumah setelah memberi salam. Anak mata hazel Faizal mengiringi pemergian Saiyidah. Dia tersenyum kecil sambil menggeleng.

Faizal melangkah ke sebuah bilik. Wajahnya terus terhias dengan senyuman manis. Perlahan-lahan lelaki itu mendarat di birai katil. Kekura tangan ibunya diraih dan dikucup.

“Ibu tunggu abang?” soal Faizal. Dia memandang wajah syurganya dengan sengihan.

“Mestilah tunggu. Abang kan anak ibu.” Rambut Faizal yang lembap diusap Durrah. “Abang mandi hujan ke tadi? Sampai basah rambut ni.”

Tiba-tiba sahaja Faizal memeluk tubuh bondanya Wajahnya terbenam di bahu wanita pertengahan 40-an itu. Lama. Hatinya telah pun berbaur dengan pelbagai perasaan sejak siang tadi.

Rindu Ammar.

Gembira dengan makanan percuma.

Bengang dengan gadis yang merekod videonya.

“Penat hari ni?” Belakang Faizal diusap Durrah lembut.

Faizal mengangguk perlahan dengan wajah yang masih tak teralih dari bahu ibunya. Dia rasa selamat dalam dakapan wanita itu meskipun pelbagai masalah menimpanya. Haruman ibunya yang tak berubah sedikit pun sejak dia lahir.

“Dah solat asar?”

Sekali lagi Faizal mengangguk. Ayahnya telah pergi meninggalkan mereka sekeluarga sejak dia berada di sekolah menegah. Dia yang menjadi ketua keluarga sejak itu. Kehilangan Ammar memberikan impak besar dalam hidupnya

Wajahnya yang sudah lencun dengan tangisan diangkat.

“Abang sayang ibu,” lafaznya.

Meskipun Ammar bersifat lembut, namun Faizal lah yang paling manja dengan Durrah. Durrah tergelak kecil. Air mata anak bujangnya dilap dengan telapak tangannya. Dia mengusap wajah Faizal. “Ibu tak pergi mana-mana pun, sayang, Abang pergi mandi dulu, nanti demam pula.”

Faizal tersenyum senang dengan belaian itu. Terima kasih, Allah. Banyak nikmat kurnian Ilahi tetapi sedikit daripada kita yang bersyukur.

TAMAT

Comments


Brought to you by:

Thanks! Message sent.

LOGO 5.png
bottom of page