top of page

KAMU MUNGKIN TERLUPA

  • Nur Syuhada Binti Subri
  • May 11, 2020
  • 5 min read

Waktu itu, sudah masuk hari ke 40 sejak hari perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Pada hari yang sama juga telah masuk hari ketiga bulan mulia Ramadhan Al-Mubarak. Aku seperti biasa meneruskan kehidupan “new normal” ini. Berbeza dengan hari pertama, aku sudah mulai terbiasa dengan kehidupan seperti ini. Ya mungkin rutin hidup aku tidak terlalu berbeza dengan rutin harian sebelum PKP berkuatkuasa, maka agak mudah untuk aku sesuaikan diri.

Aku tergerak hati untuk bertanya khabar dari rakan-rakan seperjuangan aku dari negara seberang, Indonesia. Sepertinya sudah lama aku tidak ambil tahu perihal mereka memandangkan jadual kami sering bertembung dan sibuk dengan tanggungjawab masing-masing. Aku ambil peluang waktu senggang ini untuk qadha’ semua cerita dan khabar dari mereka.

Seperti yang aku sangkakan, panggilan aku disambut baik oleh mereka. Kami menggunakan aplikasi “google hangout” untuk membuat panggilan video.

Fitri: “Mel aku kangen banget ni sama kamuuu. Wah kamu kok beda ya Mel, kelihatan imut gitu ihh” Fianda: “Fit, ya iyalah Mel kan udah punya pacar makanya keliatan anggun gak kayak kamu jomblo wkwkwk” Aku: “hmm ya udah lah kalian itu sok jomblo sok jelek aja. gimana kabarnya nihhh aduh aku kangen baget sama kalian..”

Pertanyaan aku disambut dengan berbalas kata-kata rindu. Mereka menceritakan bagaimana keadaan mereka disana. Semuanya baik-baik sahaja dari mereka dan keluarga mereka, juga mereka mencuba sehabis baik untuk mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan disana. Alhamdulillah, mereka juga antara golongan rakyat yang berada maka soal keselesaan kediaman, sumber makanan, sumber air bersih tidak menjadi masalah bagi mereka. Malah ketika Ramadhan ini, mereka dapat bersama keluarga mereka Bersama-sama berbuka puasa, beribadah dan sebagainya.

Aku: “aku jadi penasaran deh, orang orang kalian itu banyak, kira-kira berapa miliyar. Gimana ya mereka ? apa mereka bisa patuh arahan ini?” Fitri: “nah ini aku mau cerita ke kamu ini Mel…”

Mereka berdua bersungguh menceritakan tentang keadaan rakyat mereka yang agak sukar untuk mematuhi arahan pembesar di negara mereka. Ternyata masih ramai yang berjual beli, buruh kasar bertukang untuk mencari rezeki. Tidak kurang juga yang duduk di pinggir jalan beralaskan kepingan kotak meneruskan rutin meminta sedekah seperti biasa. Fitri dan Fianda kelihatan agak emosi ketika menceritakan hal ini kerana menurut mereka, angkara rakyat seperti inilah seluruh negara menjadi kucar-kacir.

Aku: “Hmm mereka itu terlalu butuh uang buat beli makan kali ya? kasian juga deh ke mereka tapi iyalah bahaya juga sih” Mereka berdua terdiam seketika.. Fitri: “iya Mel kamu bener. Kalau kita ya hidup aman kek gini bisa di rumah terus. Kita gak tau kalo mereka itu dirumah gimana. Ada yang gak punya rumah lagi duh jadi pusing aku” Fianda: “kalian bener deh. Aku jadi inget kalo mbah aku tuh cerita, temennya ada yang bilang mereka itu mending milih keluar rumah untuk mencari rejeki dari diem dirumah pasti mati.”

Aku tersentak. Ya agak mustahil untuk 40 juta jiwa di kota itu mematuhi arahan ini. Kehidupan mereka terlalu mendesak sehingga mereka terpaksa menggadai nyawa untuk mencari sesuap nasi. Mereka beranggapan bahawa keluar bekerja itu, mereka sekurang-kurangnya ada dua kemungkinan sama ada hidup atau mati. Manakala jika mereka berterusan di rumah, mereka hanya ada satu kemungkinan iaitu mati. Mati kerana tiada sumber pendapatan, tiada makanan.

Aku yang sering dikatakan “hati bagai pelepah, jantung bagai jantung pisang” akhirnya tewas. Sungguh, kali ini airmata aku tumpah tanpa amaran. Aku tewas apabila memikirkan kita terlalu banyak nikmat yang diabaikan. Malah kita sering terlupa untuk bersyukur. Lebih parah pabila kita sibuk mengejar sesuatu yang tidak kita punya. Di luar sana, masih ada yang tidak cukup makannya, yang bertungkus lumus bekerja kais pagi makan pagi sedangkan kita?....

Fitri: “Mel? kamu kok diem dari tadi Mel? kamu gak papa kan?” Aku: “oh iya aku baik2 aja kok, cuman kaget kalo masih ada yang harus hilang nyawa nyariin makan buat keluarga. Kalo aku tuh udah terlalu aman sampe bisa milih mau makan apa aja saking banyak makannya” Fianda:”ya toh, kalo kita tu sampe buang2 ihh bazir terus”

……………………………….

Peristiwa Nabi Ibrahim pantas memenuhi benakku. Ingatkah anda ketika Nabi Ibrahim dan keluarganya berada di tengah-tengah padang pasir yang gersang, tiada arah tuju yang jelas, tiada tempat berteduh, panas padang pasir yang membakar, tiada makanan, tiada air ? masih ingatkah ? Baginda tidak punya apa-apa saat itu buat keluarga baginda. Hanya berbekalkan sabar yang tinggi, iman yang kuat dan doa yang berterusan, penuh pengharapan. Baginda dan keluarganya diberi jalan keluar satu persatu. Berkat pengorbanan isteri baginda juga, air yang mengalir di bumi penuh berkat itu masih mengalir dan bermanfaat buat umat seluruh dunia sehingga hari ini. Ya, itulah air Zam Zam.

Doa Nabi Ibrahim ketika menempatkan keluarganya di tengah-tengah padang pasir: “Wahai Tuhan kami, Sesungguhnya aku menempatkan sebahagian zuriat keturunanku di sebuah lembah (Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di sana) supaya mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke sana) dan kurniakan rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Ibrahim: 37)

Nabi Allah sahaja diuji sehebat itu, baginda yang dijanjikan syurga, malah diuji dengan seberat-berat ujian. Ya, kerana syurga itu bukan percuma, perlu pengorbanan, ketaatan dan kepercayaan yang hebat untuk meraihnya. Namun akhirnya, syurga itu dari kasih dan rahmat Allah jua.

……………………….

Mereka berdua terus bercerita tentang hal-hal lain. Aku hanya mampu mendengar dan mengorak senyuman sambil curi-curi menghapus airmataku. Malam itu, tidakku sangka perbualan kami berakhir dengan peringatan yang sangat berharga. Amat menyentuh jiwa.

Benar, semua orang diuji dengan cara dan perkara yang berbeza. Ketahuilah, ujian tersebut tidak disengajakan malah dipilih khusus hanya untuk diri seseorang tersebut. Hatta setiap nafas kamu sahaja diatur dengan teliti dan tidak terlepas dari pandanganNya, apa lagi hal-hal lain tentang diri kamu.

Untuk yang lagi diuji dengan hebatnya ujian, aku doakan kamu terus bersemangat mencari butir-butir hikmah disebalik ujian. Semoga juga kamu terus thabat dan tidak akan berputus asa dari rahmat Allah. Terus usaha, terus beribadah, terus berdoa dan terus percaya. Mohonlah kekuatan daripada Allah ketika merasa lelah. Tiada masalah yang lebih besar, lebih berkuasa melainkan Dia. Kerana cinta kamu harus percaya dengan rencanaNya walau penuh rahsia. Pasti ada jalan keluar buat kamu jika kamu terus percaya. Pasti ada.

Tiba-tiba termenung sendiri, apakah aku yang hanya diuji dengan hal-hal remeh ini layak untuk ke syurga Allah?

Semoga kita sama-sama dapat memanfaatkan waktu disebalik perintah kawalan pergerakan ini dengan meningkatkan amalan kebaikan kita dan menyempurnakan azam Ramadhan kalini serta azam sebelumnya. Semoga yang membaca ini juga hidupnya sentiasa diberkati Allah swt. Terus percaya, ya ?

Juga, selitkan doa buat saya di celahan doa kalian. Doa orang-orang yang ikhlas mendoakan tiada hijab disisi Allah. Juga, doa yang baik pasti akan kembali kepada si pendoa.

Keluar rumah membeli keperluan, Ramai orang beratur panjang sekali, Semoga karya ini membawa kebaikan, Terima kasih daun keladi.

Comments


Brought to you by:

Thanks! Message sent.

LOGO 5.png
bottom of page