Hitam Putih Kehidupan Seorang Penuntut
- Ungku Norshafikah binti Ungku Ismail
- May 11, 2020
- 8 min read
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang. Kalimah ini adalah titik pemula bagi coretan ringkas mengenai pengalamanku sebagai seorang pelajar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Nama diberi Ungku Norshafikah binti Ungku Ismail, jurusan Bioteknologi tahun ketiga dan menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan. Penglaman ini tidak akan aku lupakan sepanjangan hidupku dan akan ku abadikan dalam kenangan. Secara jujurnya keresahan dalam diri mula timbul apabila wabak COVID-19 pertama telah direkodkan di dalam Malaysia. Aku mengikuti perkembangan kes wabak ini sejak awal bulan Februari. Kebimbanganku semakin memuncak apabila menyaksikan pertambahan bilangan pesakit mencanak selang beberapa jam sahaja. Ketika itu, pihak universiti telah mengeluarkan kebenaran kepada para pelajar untuk pulang ke kediaman masing- masing.
Aku menelefon ibu, “Mak, InsyaAllah adik balik esok”. Namun, kehabisan tiket bas telah membuatkan aku terlewat untuk memulakan perjalanan pulang ke Johor, tempat kelahiranku. Pada malam 18 Mac, telah bermulanya sekatan terhadap pelajar untuk melangkah keluar daripada institusi masing-masing. Fikiranku menerawang dan perasaan sedih mula menyelubungi diri sehingga tidak dapat digambarkan dengan kata- kata. Ingatanku pada waktu itu hanyalah dibayangi wajah ahli keluarga kesayanganku yang tinggal berjauhan. Aku kuatkan diri untuk redha dengan takdir dan percaya bahawa setiap perkara yang berlaku adalah dengan izin-Nya dan pasti ada hikmah di sebaliknya.
Selang beberapa hari, aku dikejutkan dengan berita bahawa terdapat pesakit yang dijangkiti COVID-19 menaiki bas menghala dari Senai telah berkunjung ke Terminal Sentral Kuantan iaitu terminal yang harusku tujui sekiranya aku ingin pulang. Aku menarik nafas lega kerana sekatan pulang telah mengelakkan aku daripada berkemungkinan untuk terdedah kepada virus tersebut. Aku juga bersyukur kerana tidak kesunyian sepanjang berada di Mahallah kerana ditemani oleh beberapa orang rakan yang juga berada dalam situasi sama. Beberapa rakanku yang berbakat dalm bidang masakan mampu menghasilkan pengat pisang, air bandung dan cucur pisang walaupun bahan yang boleh didapati agak terhad. Mereka turut berkongsi hasil masakan mereka kepadaku. Perkara sebegini tampak ringan, namun kerinduanku terhadap masakan ibu di rumah serba sedikit terubat.
19 Mac 2020 merupakan hari pertama aku mengambil keputusan untuk berbakti kepada orang lain dengan menyertai pasukan sukarelawan. Antara tugasan yang diberikan adalah menyusun atur makanan dan barang keperluan lalu diedarkan kepada semua pelajar yang terkandas. Sepanjang bertugas, aku berkesempatan untuk berkenalan dengan rakan-rakan daripada jurusan lain dan melatih diri untuk menguruskan masa secara sistematik. Ketika tempoh getir sebegini, aku dapat menyaksikan secara jelas begitu ramai rakyat Malaysia yang pemurah dan prihatin terhadap golongan pelajar yang masih berada dalam universiti. Sumbangan daripada pihak masjid dan universiti termasuk para pensyarah dan pelajar yang sudah selamat sampai ke pangkuan keluarga, peniaga awam dan golongan ternama tidak pernah putus.
Antara sumbangan yang diterima adalah makanan harian, bekalan makanan kering, keperluan harian iaitu sabun dan bantuan berbentuk wang. Sebagai tanda menghargai pemberian mereka, aku tidak melepaskan peluang menyertai program menderma darah anjuran pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang bertempat di Mahallah Activity Centre 1 (MAC1). Memandangkan tempoh PKP menyukarkan orang awam untuk menziarahi hospital dan mendermakan darah, bank darah negara berada di tahap kritikal. Aku begitu berharap agar setidak-tidaknya aku juga mampu berbakti kepada masyarakat di luar sana. Setiap penderma akan diberikan bekalan makanan tengahari dan manisan. Keprihatinan terhadap para penuntut bukan sahaja daripada segi fizikal malah mental. Pelbagai edaran borang secara salinan lembut yang menyertakan soalan mengenai kondisi mental semasa perlu kami isi. Perkhidmatan psikiatri juga disediakan sekiranya pelajar memerlukan sebarang nasihat daripada anggota kaunselor yang bertauliah.
Ada saat ketikanya aku duduk berseorangan di dalam bilik, aku muhasabah diri sendiri. Terlintas dalam fikiran, betapa hinanya diri ini kerana tidak bersyukur dengan nikmat yang kurniaan Allah. Selama ini, kalimah “Alhamdulillah” jarang diungkapkan walaupun nikmat kebebasan untuk beriadah serta melihat keindahan alam, bertemu dengan rakan dan berjumpa ahli keluarga telah dikurniakan Allah kepada pendosa seperti aku. Aku cuma sibuk memikirkan hal duniawi dan sering mengeluh dengan kehidupan sebagai seorang pelajar yang dianggap sukar. Benarlah bahawa seseorang akan mula menghargai setelah semuanya pergi. Pandemik yang hadir secara mengejut ini juga telah membuka mata hatiku tentang kebesaran Illahi. Virus yang merupakan sekecil- kecil ciptaan mampu melumpuhkan seluruh dunia termasuk negara yang paling maju dengan teknologi dalam sekelip mata.
“Mengapa wujudnya prinsip halal dan haram dalam pelbagai aspek menurut Islam seperti makanan?” Persoalan ini kadang kala berlegar dalam minda. Namun, ternyatalah isu pandemik yang mendapat perhatian secara global ini telah membuktikan bahawa setiap hukum yang ditetapkan oleh Allah pasti hadir dengan sebab yang munasabah. Sebagai contoh, seperti yang kita sedia maklum, wabak ini berasal daripada kelawar yang merupakan antara haiwan yang haram dimakan. Menurut kajian saintifik di dalam badan kelawar terkandung pelbagai jenis bakteria dan virus. Hatiku tersentuh sehingga mengalirkan air mata dengan video selingan di media sosial yang memaparkan perumpamaan sekiranya kelawar dapat berkata-kata.
Antaranya, “Allah telah menciptakan aku (kelawar) untuk menjelma pada waktu malam agar tidak memudaratkan manusia. Akan tetapi tidak pernah aku bayangkan bahawa umat manusia masa kini tidak dapat menjaga nafsu serakah dan kegilaan memakan makanan yang melampaui batas norma manusia”. Oleh itu, jelaslah mengapa kelawar haram dimakan oleh manusia. Sepanjang tempoh PKP ini, aku mengambil peluang untuk memperbanyak amal ibadah dan sentiasa mendoakan kesejahteraan rakyat Malaysia khususnya anggota barisan hadapan yang berjuang habis- habisan bagi menangani pandemik ini. Barisan kepimpinan negara yang baru juga begitu tenang dan professional dalam mengekang penyebaran wabak ini sehingga mendapat pengiktirafan dunia. Jika dinilai daripada sudut positif, wabak COVID-19 telah membawa penyatuan kepada seluruh penduduk Malaysia untuk membantu antara satu sama lain tidak kira bangsa, negara dan perbezaan ideologi politik.
Bukan itu sahaja, menurut pelbagai sumber yang boleh dipercayai, kadar pencemaran di seluruh dunia semakin pulih malah lubang ozon yang berpunca daripada kegiatan manusia telah dilaporkan semakin mengecil. Sehingga kini tempoh PKP ini sudah memasuki fasa pemulihan dan dipercayai akan berlanjutan sehingga bulan Jun. Tidak dapat dinafikan bahawa perasaan rindu terhadap keluarga sentiasa wujud setiap detik lebih-lebih lagi ketika umat Islam sibuk mengerjakan ibadah puasa bersama keluarga tersayang di sisi. Namun, aku sedar bahawa rakyat Malaysia haruslah bekerjasama memutuskan rantaian wabak ini seiring dengan slogan “Kita Pasti Menang”. Jelas bahawa tidak wajar sekiranya aku bersikap mementingkan diri sendiri dengan ingkar akan arahan pihak berkuasa. Bagi meredakan kerinduanku terhadap keluarga, aku akan menelefon mereka beberapa kali setiap minggu bagi bertanyakan khabar.
Para pelajar di sini tidak dibenarkan keluar daripada mahallah walaupun hanya untuk beriadah kerana sehingga saat warkah ini ditulis, Kuantan dikategorikan dalam zon merah. Namun aku tidak menjadikan kawalan ini sebagai penghalang untuk aku kekal aktif. Pada waktu petang, aku akan melakukan senaman yang melibatkan pergerakan ringkas seperti turun naik tangga dan berjoging di sepanjang koridor. Pada waktu malamnya, aku dan rakan seperjuangan menonton filem dan drama melalui komputer riba untuk menghiburkan hati memandangkan ketiadaan televisyen di dalam bilik masing-masing. Aku juga mengasah ketajaman minda dengan bermain dalam aplikasi catur.
Tambahan pula, pelbagai pertandingan secara dalam talian yang dianjurkan oleh pihak universiti bagi mengisi waktu lapang para pelajar dengan aktiviti berkualiti. Aku menyertai pertandingan menghasilkan video senaman yang berlangsung selama tiga minggu untuk mengasah bakat terpendam dan membakar semangat untuk meningkatkan stamina. Pertandingan penulisan ini pula aku sertai dengan satu tujuan utama iaitu berkongsi serba sedikit tentang pengalamanku sebagai salah seorang pelajar yang terkandas di universiti. Isu sesetengah pihak yang mengatakan para penuntut bersikap ‘manja’ sebenarnya agak mengguris hatiku kerana sesiapa yang tidak menghadapi keadaan sebegini tidak memahami sepenuhnya perasaan seseorang yang berjauhan dengan ibu bapa. Aku juga ada mengalami ketidakseimbangan emosi pada waktu tertent. Hanya kebergantungan kepada Allah mampu mengembalikan ketenangan dalm jiwa.
Ramadhan tahun ini sedikit berlainan kerana kebiasaanya, solat terawih akan dikerjakan secara berjemaah di masjid atau surau serta sesi iftar dilaksanakan secara beramai-ramai. Bukan itu sahaja, bazaar Ramadhan merupakan tempat yang akan aku kunjungi bersama rakan sebilik setiap tahun. Namun, aku tetap gembira kerana diberikan peluang untuk berbuka puasa dengan makanan yang diagihkan secara percuma bersama rakan-rakan walaupun hanya di dalam bilik. Setiap kali Ramadhan, isu pembaziran makanan sering menjadi topik hangat yang terpapar dalam keratan akhbar. Walaubagaimanapun, wabak COVID-19 yang berlarutan sehingga 1 Ramadhan 1441 Hijrah bersamaan 24 April 2020 ini sedikit sebanyak telah menyelesaikan masalah tersebut kesan daripada larangan pembukaan Bazaar Ramadhan.
Pada 28 April 2020, graf pertumbuhan kes COVID-19 sudah mula mendatar dan kadar penyembuhan mencatatkan lebih daripada 50 peratus. Seiring dengan perkabaran gembira itu, berita mengenai jadual penghantaran pulang pelajar ke kediaman mengikut negeri mula tular. Aku dijadualkan bergerak pulang ke Johor pada 6 Mei 2020 sekiranya mukim Simpang Kanan, Batu Pahat berada dalam zon Hijau. Bermula 30 April 2020, aku ditinggalkan berseorangan di dalam bilik kerana rakan sebilikku kesemuanya dibawa pulang ke Kelantan dengan menaiki bas yang telah disediakan oleh pihak universiti. Sudah tentu aku berasa sunyi tetapi pada masa yang sama aku turut rasa gembira kerana setelah sekian lama pelajar dibenarkan pulang secara beransur-ansur. Pelbagai usaha dijalankan untuk memastikan keselamatan para pelajar bermula daripada sebelum memulakan perjalanan sehingga ke destinasi yang terakhir iaitu Ibupejabat Polis Daerah (IPD)masing-masing. Antaranya, jarak sosial sejauh satu meter tetap dilaksanakan walaupun ketika berada di dalam bas. Pihak universiti dinasihatkan agar mematuhi setiap piawaian yang telah diselaraskan oleh Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (KMN). Sebelum dibenarkan pulang, setiap pelajar haruslah menjalani saringan kesihatan dan mengisi borang pengakuan bagi memastikan kelancaran perjalanan.
Aku terbangun daripada tidur setelah bunyi ekzos bas yang memecah kesunyian kedengaran. Aku bangkit dan menjengahkan kepalaku melalui tingkap dan terlihat tiga buah bas universiti berhampiran kafe Mahallah Fatimah Az- Zahra. Bermula 5:30 petang, para penuntut yang ingin pulang ke daerah Pantai Timur mula memasukkan bagasi masing- masing ke dalam bas tersebut. Setelah selesai, pihak bomba akan membuat semburan cecair disinfeksi ke setiap sudut bas. Pada 8:30 malam, pihak berkuasa memberikan taklimat pergerakan kepada lebih kurang 70 orang penuntut termasuk dua orang rakan sebilikku. Tepat jam 10 malam, semua bas memulakan perjalanan dan diiringi dengan beberapa jentera polis. Aku melambai ke arah rakan-rakanku dengan hati yang berat. Namun, aku berasa gembira kerana akhirnya sebahagian pelajar dibenarkan pulang. Saat dan ketika itu, aku mula berasa sunyi kerana ditinggalkan berseorangan dalam bilik tersebut. Aku menitiskan air mata ketika mengimbas kembali memori yang kami cipta sepanjang tempoh sebulan lebih tersebut.
Keesokan harinya, aku berusaha melupakan kesedihan dengan melakukan kerja harian seperti membersihkan bilik, mencuci pakaian serta meneruskan coretan ini. Aku juga menyemak bilangan semasa pesakit COVID-19 di mukim tempat tinggalku. Angka enam ini sudah lama kekal tercatat dalam rekod Jabatan Kesihatan Negeri Johor iaitu sejak dua minggu lepas. Aku begitu berharap agar kes aktif ini berkurangan sehingga ke tahap minimum. Sesebuah mukim dikategorikan bawah zon hijau sekiranya tiada kes aktif direkodkan. Zon Selatan merupakan zon ketiga yang terakhir dibawa pulang oleh pihak universiti. Memandangkan tempoh PKP sudah masuk ke fasa empat, pelbagai sektor pekerjaan dibuka semula dan undang- undang mula dilonggarkan. Namun, rakyat Malaysia masih perlu mematuhi tatacara pengendalian piawai yang telah dirangka oleh pihak berkuasa.
Pada 6 Mei 2020, para pelajar yang tinggal di kawasan zon Selatan dibenarkan pulang. Sebanyak 2 buah bas dan sebuah van disediakan untuk membawa pulang kira-kira 45 orang pelajar. Angka 20 adalah jumlah maksima penumpang yang boleh dibawa di dalam sebuah bas kerana jarak sosial masih dikekalkan. Aku menarik nafas lega kerana berkat doa dan kesabaran, akhirnya aku akan bertemu dengan keluarga tercinta. Pada jam 11 malam, bas milik universiti mula bertolak. Destinasi yang akan dituju meliputi 5 kawasan utama iaitu Kota Tinggi, Seri Alam, Larkin, Batu Pahat dan Muar. Rumahku bertempat di daerah Batu Pahat dan perjalanan ke sana mengambil masa kira-kira 8 jam. Aku sempat bersahur dengan bekalan makanan yang disediakan oleh pihak universiti di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan menunaikan solat Subuh di sebuah pondok.
Setibanya aku tiba di Pejabat Tanah Batu Pahat, aku diarahkan menunggu ibu bapa untuk dibawa pulang ke rumah di sebuah tempat khas. Setibanya aku di rumah, aku terus membersihkan diri untuk mengelak rantaian penyebaran wabak COVID-19. Aku begitu bersyukur kerana dipertemukan semula dengan kesemua ahli keluarga asasku termasuk Angah, kakak keduaku yang turut terkandas di Universiti Malaya sejak PKP pertama berlangsung. Kami berdua menceritakan pengalaman sepanjang berada di universiti. Aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus sepanjang proses penghantaran pelajar ke kediaman masing-masing. Aku sangat terkesan mendengar kata-kata pihak polis yang bertugas ketika pelajar ingin berangkat pulang.
Beliau berkata, “Kami sebagai barisan hadapan tidak mengharapkan apa-apa daripada masyarakat. Kami hanya ingin anda menjaga diri masing-masing dan menurut perintah PKP. Sudah sebulan lebih kami bertugas tanpa cuti dan hanya tidur selama 3-4 jam sehari. Selamat jalan dan semoga selamat sampai ke destinasi.” Aku sangat berharap agar coretanku ini dapat membuka mata hati rakyat Malaysia tentang pengorbanan ramai pihak yang berusaha untuk mengekang penyebaran wabak ini. Oleh itu, kita haruslah mengelakkan diri daripada mementingkan diri dengan mengingkari arahan pihak atasan. Sememangnya banyak pengajaran yang dapat aku peroleh sepanjang tempoh PKP ini serta kenangan pahit dan manis yang tidak mungkin akan aku lupakan. Aku sentiasa berdoa agar keamanan dan kemakmuran Malaysia kekal serta sentiasa berada dalam rahmat Allah.
Opmerkingen