top of page

Hikmah Di Sebalik Musibah

  • Nurul Qistina binti Mohd Kamaruzihan
  • May 11, 2020
  • 8 min read

Dia bergegas mengemas barang-barangnya untuk pulang ke rumah. Arahan daripada pihak Kulliyyah sangat jelas; iaitu semua pelajar dikehendaki untuk pulang ke rumah sebelum bermula tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Situasi ketika ini di mahallah agak kecoh. Pelajar-pelajar yang tinggal jauh dari Pahang gusar kerana kebanyakan tiket bas sudah habis. Arahan secara mengejut ini mendatangkan kesusahan kepada banyak pihak namun apakan daya, dia yakin ini merupakan tindakan terbaik pihak atasan dalam usaha membendung wabak penyakit berjangkit Covid-19 yang sedang menular ketika ini.

Mujur bagi Alina yang tinggal di Selangor, tiket bas ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) masih ada. Semalam ketika arahan dari pihak kulliyyah untuk pulang ke rumah dikeluarkan, dia cepat-cepat membeli tiket bas secara atas talian. Basnya dijadualkan bakal memulakan perjalanan pada jam 2 petang. Kira-kira, mungkin jam 6 petang dia akan sampai di Selangor.

Sepanjang perjalanan, Alina tidur kerana kepenatan mengemas bilik yang akan ditinggalkan selama dua minggu. Sedar-sedar sahaja dia dapat melihat ‘menara jagung berkembar’ yang menandakan dia sudah tiba di Kuala Lumpur. Sementara menanti baki perjalanan untuk tiba di TBS, dia membuka telefon pintarnya untuk mengetahui perkembangan isu semasa. Keadaan Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur agak membimbangkan dengan pertambahan kes yang meningkat dengan mendadak. Alina gusar. Lama juga dia menimbang tara keputusan untuk pulang ini kerana mungkin pilihan yang dilakukannya ini berisiko tinggi. Sesiapa sahaja berpotensi untuk membawa virus tersebut tanpa sedar.

Alina menaiki Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk ke KL Sentral. Di sana, dia akan menaiki MRT kemudian berhenti di stesen Sungai Buloh dan akan dijemput oleh ibunya. Suasana di terminal bas itu begitu padat dengan orang yang ingin pulang ke kampung yang rata-ratanya pelajar IPT. Alina melencong ke tandas sebentar untuk memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah berjaga-jaga. Dia bergegas ke stesen KTM, bimbang akan terlepas kereta api yang seterusnya. Sambil menanti, dia membaca buku cerita yang sentiasa dibawa ke mana-mana. Tiba-tiba hidungnya terasa gatal dan tanpa amaran, dia terbersin. Beberapa orang yang tadinya berdiri berdekatan dengannya mula menjauhkan diri mereka, seolah-olah dia membawa virus. Alina agak terkejut dengan reaksi orang sekeliling yang memandangnya dengan pandangan yang seolah-olah dia telah melakukan satu kesalahan besar, sedangkan dia hanya bersin. Di sebalik topeng muka itu, Alina tersenyum sinis. Begitu skeptikal pemikiran masyarakat kita. Namun dari sudut positif, dia lega kerana orang ramai sudah mula sedar akan bahayanya wabak ini dan pentingnya untuk menjaga kesihatan diri sendiri.

***

Alina menyapu halaman rumahnya yang dipenuhi dedaun kering dari pokok mangga yang hampir seusia dengannya. Dia teringat berita pagi yang ditontonnya sebentar tadi. Ramai petugas kesihatan telah dipanggil untuk bertugas di sektor kesihatan demi menampung kekurangan staf disebabkan oleh kebanjiran pesakit Covid-19. Arahan PKP yang dikeluarkan oleh kerajaan memberi kesan kepada pelbagai pihak. Ayah yang bekerja sebagai pegawai dalam sektor swasta terpaksa kerja dari rumah buat sementara waktu. Ibu yang merupakan guru sekolah menengah juga tidak ke sekolah kerana sekolah tutup. Dirinya juga tidak tahu selama mana dia akan bercuti disebabkan penutupan institut pengajian tinggi. Menyesal pula dia tidak membawa pulang nota-nota dan buku rujukan. Sedang fikirannya melayang, dia terdengar bunyi tangisan bayi jiran sebelah.

Jiran di rumah sebelah ini merupakan seorang jururawat yang baru sahaja melahirkan anak sulungnya tahun lalu. Suaminya merupakan seorang doktor yang turut bekerja di hospital yang sama. Dengar cerita, mereka berdua dipanggil untuk bertugas di hospital. Alina meninggalkan penyapu lidi dan melangkah mendekati rumah sebelah. Pintu rumahnya terbuka. Alina melihat seorang bayi yang memegang erat jeriji besi yang berkunci. Nasib berkunci, kalau tidak mungkin bayi itu sudah merangkak keluar. Baru sahaja dia mahu bergerak lebih hampir, seorang perempuan yang kelihatan seperti seusia dengannya mengendong bayi tersebut lalu menutup pintu rumah. Alina dapat mendengar dengan jelas bayi itu meraung lebih kuat.

‘Mungkin dia rindu mak dia,’ fikirnya. Dia masuk semula ke dalam rumah dan menemukan ibu di dapur.

“Ibu, ibu. Tadi orang nampak anak jiran sebelah tu menangis, bu.” Alina memulakan ceritanya.

“Dah tu kamu nak ibu buat apa?” Ibunya yang sedang mengupas bawang melayan acuh tidak acuh.

“Tak adalah bu, kan Kak Mira dengan laki dia kerja dekat hospital. Anaknya itu kan masih kecil. Siapa yang jaga ya?”

“Ada lah tu saudara mara dia ke yang jaga,” jawab ibu.

“Tapi bukan ke dia sudah tidak ada lagi saudara mara? Tahun lepas masa kita beraya rumah Kak Mira tu, mana ada mereka balik kampung sebab tak ada saudara dah. Yang datang beraya pun kawan-kawan je.” Alina mencapai sebilah pisau dengan niat mahu membantu ibunya mengupas bawang yang banyak. Kata ibu, hari ini dia mahu memasak rendang ayam walaupun raya lagi sebulan lebih.

“Yang kamu sibuk hal orang tu kenapa? Biar lah hal keluarga dia, pandai-pandailah jaga anak sendiri.” Alina faham, ibu tidak mahu menjaga tepi kain keluarga orang. Ibu juga jarang menegur jiran-jiran, memandangkan masing-masing buat hal sendiri.

“Tak, bu. Tadi orang nampak ada seorang perempuan ni yang jaga anak Kak Mira tu. Tapi tak kenal siapa.”

“Mungkin dia upah pengasuh agaknya. Sudah, kamu pergi ambil serai sepuluh batang dengan lengkuas sikit dekat belakang. Ambil yang muda-muda, ya!”

“Okay...,” Alina menurut perintah. Dalam fikirannya dia masih memikirkan bayi Kak Mira itu. Dia cuma risau sahaja kerana dia pernah terbaca kes pengasuh dera bayi dan seumpamanya.

***

Sejak arahan PKP dikeluarkan, semua ahli keluarganya berada di rumah. Adik-adiknya yang jarang balik kerana duduk di asrama, kini menghiasi rumah ini dengan keletah masing-masing. Rumah teres dua tingkat yang tidak pernah solat berjemaah, kini mereka sekeluarga sering solat Maghrib berjemaah sementelah ayah tidak lagi boleh ke surau. Ayah dan ibu juga akan bertadarus bersama-sama selepas solat Subuh. Mereka juga tidak lagi makan berasingan mengikut kebiasaan. Semua akan berkumpul di meja makan ketika waktu makan. Situasi asing namun mendamaikan ini merupakan salah satu hikmah wabak Covid-19 yang sedikit sebanyak merubah keluarga Alina.

Seusai makan tengah hari, seperti biasa, Alina sebagai satu-satunya anak perempuan di dalam rumah itu akan mengemas meja makan. Kedengaran bunyi loceng. Berlari-lari adik-adik lelakinya ingin membuka pintu.

“Nanti! Tengok dulu siapa yang datang sebelum buka pintu!” jerit ibu. Itu yang sering dipesannya kepada mereka adik-beradik sebagai langkah berjaga-jaga.

Alina meneruskan kerjanya. Dia malas ingin ambil tahu siapa yang datang ke rumah musim PKP ini. Mungkin abang Pos Laju ingin menyerahkan bungkusan kepada Amirul yang selalu membeli barang atas talian. Dari dapur, Alina dapat mendengar bunyi ibunya bercakap dengan seseorang. Kedengaran serius sekali perbualan mereka, siapa yang datang agaknya? Alina cuba memasang telinga.

“Alinaaa!” Hampir terpelanting kain buruk yang dipegangnya dek jeritan ibu.

“Ya, bu!”

“Buatkan air, ada tetamu!”

Alina membancuh sejag air oren sejuk lalu mencapai tudung sarung dan menatang dulang air ke depan. Kak Mira dan suaminya yang datang ke rumah rupanya.

“Itulah Mira, akak bukan tak mahu tapi akak memang dah lama tak jaga baby ni. Tengok anak-anak akak ni, semua dah besar panjang.” Alina memasang telinga. Sengaja dia menuang air ke dalam gelas lambat-lambat untuk mendengar perbualan mereka.

“Saya dah tak ada pilihan lain ni kak. Untuk hari ini je, kak. Esok lusa saya cuba cari pengasuh baru buat Maysa. Boleh lah kak,” rayu Kak Mira. Alina cuba untuk memahami situasi yang sedang berlaku.

“Kami pun tak sangka pengasuh dia lari macam tu je. Bahaya sekarang ni, kak. Akak sekeluarga je yang boleh kami harapkan. Makan pakai Maysa semua dah siap, ada dalam beg ni. Nanti lepas Maghrib, Insha-Allah saya habis kerja, saya ambil Maysa. Boleh lah ye kak, abang?” rayu suaminya pula. Ibu memandang ayah. Mereka kelihatan terdesak. Sekejap-sekejap melihat skrin telefon. Alina melarikan diri ke ruang keluarga namun telinganya masih terpasang.

“Okay, hari ni je tau. Habis kerja nanti terus ambil anak kamu ni. Akak bukan apa, rumah akak ni pun serba-serbi kekurangan-”

“Pasal duit akak jangan risau. Nanti kami masukkan ke dalam akaun akak.” Suami Kak Mira memotong bicara.

“Kami pun dah lambat ni. Nak kena pergi sekarang.” Kak Mira menyerahkan anaknya, Maysa ke pangkuan ibu. “Maysa dah menyusu badan tadi. Dalam sejam dua akak boleh bagi dia makan. Makanan dia ada dalam beg ni. Susu pun ada dalam ni. Oh, ya, Maysa dah boleh makan nasi lembik dan makanan yang lembut. Terima kasih banyak-banyak, akak sekeluarga. Kami gerak dulu.”

Seusai mereka berdua beredar, Alina segera mendapatkan ibunya. “Ibu, kenapa bu?”

“Kita kena jaga Maysa hari ini sebab mak ayah dia kena kerja. Kan Maysa kan?” Ibu mengagah Maysa yang kelihatan ceria. Mujur dia tidak menangis, malah galak bertatih di sekeliling ruang tamu. Alina memandang Maysa dengan sayu. Kasihan anak kecil ini.

***

Alina melayan Maysa main sambil menanti kepulangan ayah Maysa dari hospital. Janjinya lepas Maghrib habis kerja, tetapi sekarang sudah jam 9 malam. Mungkin ada kecemasan di hospital agaknya.

“Aduhai, Lina.” Ibu datang duduk di sebelahnya sambil matanya membaca sesuatu di skrin telefon pintarnya.

“Kenapa, bu?”

“Ni, tadi, Mak Ngah kamu telefon. Kamu tahu kes orang tipu polis untuk lepas sekatan jalan raya yang tular tu?”

Alina mengangguk. Satu Malaysia tahu bagaimana keluarga empat beranak itu menipu pihak polis dengan memberi alasan mahu ke hospital dan tiada yang boleh jaga anak mereka. Mereka malah berbangga dengan tindakan mereka dan memuat naik gambar di media sosial tanpa sedikit pun rasa bersalah terhadap perbuatan yang mereka lakukan.

“Mak Ngah ni nak ke Pusat Darah Negara (PDN), ambil ubat untuk anaknya, Faris yang sakit hemofilia[1] tu. Petang tadi pun kaki Faris bengkak tersepak kaki kerusi, nak kena masuk ubat. Tapi masalahnya, Mak Ngah tak dapat lepas sekatan jalan raya sebab kes yang tular itu lah. Polis tak percaya dah walaupun ada surat dari hospital. Terpaksalah settle di IPD. Nasib baik akhirnya lepas juga ke PDN. Inilah yang dinamakan kebodohan yang tidak bertempat, akhirnya menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Ingat Lina ibu pesan ni, buat jahat jangan sekali. Kita ni buat baik beribu kali pun belum tentu orang ingat, tapi buat jahat cukuplah sekali je, sampai ke liang lahad orang akan kenang.” Begitulah panjang lebar bebelan ibu penuh nasihat. Musim wabak yang melanda negara ini memperlihatkan pelbagai ragam dan ulah masyarakat, lagi-lagi pada zaman dunia tanpa batasan ini, sekali terakam ke media sosial, satu dunia tahu. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya.

“Eh, alamak.”

“Kenapa pula ni ibu?”

“Mamanya Maysa ni... Tak boleh balik sebab ada kes positif Covid-19 dekat wad dia bertugas. Laki dia pula kena oncall sebab tak cukup doktor dekat hospital. Nampaknya kita kena jaga Maysa buat sementara waktu. Nanti kamu ambil kunci rumah Kak Mira, pergi rumah dia ambil pakaian Maysa, susu dan lampin sekali.” Berita itu mengejutkan Alina kerana ia merupakan perkara yang paling dia minta Allah jauhkan dari mereka. Harapnya kedua-dua ibu dan ayah Maysa selamat daripada jangkitan Covid-19.

Alina mencium ubun-ubun Maysa. Anak kecil ini langsung tidak tahu keadaan ayah dan ibunya yang berperang dengan ‘musuh yang tidak kelihatan’ dan berisiko tinggi terhadap jangkitan virus berbahaya tersebut.

***

Malam itu malam pertama Maysa tidur di rumah yang asing baginya, tanpa ibu dan ayah di sisinya. Dari tadi dia berlari-lari dari depan ke dapur, penat Alina mahu melayannya. Maysa tidak kelihatan penat langsung, apatah lagi ada tanda-tanda mahu tidur. Jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Matanya sudah berat namun dia kena juga tidurkan Maysa yang aktif ini.

“Maysa, jomlah tidur. Kakak dah ngantuk ni. Awak tak mengantuk ke?” Apalah yang budak setahun itu faham, bercakap pun masih belum fasih, berjalan pun masih bertatih.

Alina nekad, dia perlu tidur dan Maysa juga sama. Dia mengejar Maysa dan mengendongnya masuk ke dalam bilik. Rengekan Maysa minta dilepaskan tidak dipeduli. Dia perlu meletakkan Maysa ke dalam buaian supaya dia segera tidur. Selepas bergelut dan merengek buat seketika, akhirnya Maysa diam di dalam buaian sambil menghisap puting. Dia diselimutkan dengan kain batik mamanya kerana kata ibu, Maysa mungkin rindukan mamanya.

“Ma...ma” patah kata terakhir yang ditutur oleh Maysa sebelum tertidur sepenuhnya. Dia melepaskan perlahan-lahan jari-jemari kecil Maysa yang menggenggam erat jari telunjuknya. Alina melihat wajah polos Maysa. Nasib baik Maysa masih kecil. Tidak dapat dia bayangkan jika ibu dan ayah merupakan petugas barisan hadapan yang berhadapan secara terus dengan wabak ini seperti ibu dan ayah Maysa. Tanpa sedar, matanya bergenang. Dia bersyukur dirinya masih dapat duduk di rumah bersama seluruh ahli keluarganya tanpa ada apa-apa halangan.

“Dah tidur dah budak tu?” bisik ibu perlahan lalu menjenguk Maysa yang nyenyak tidur di dalam buaian.

“Susah juga lah nak tidurkan dia, ibu. Menangis rindukan mamanya,” bisik Alina perlahan, tidak mahu mengejutkan Maysa dari tidur.

“Dah lah tu, pergi masuk tidur. Ibu pun dah ngantuk ni.”

“Ibu,” panggil Alina perlahan. Ibunya yang mahu melangkah ke bilik berpaling.

“Alina saaayang ibu.” Perlahan suaranya disertakan dengan senyuman yang paling manis.

“Apa bendalah kamu ni. Dah, dah, pergi tidur.” Alina tahu walaupun ibunya jarang menunjukkan kasih sayang secara terbuka dan kelihatan garang pada satu-satu masa, jauh di sudut hatinya, ibu sayang semua anaknya sama rata. Kasih sayang ibu tidak perlu diungkapkan dengan kata-kata, malah kelihatan lebih jelas semasa musim PKP ketika ibu memasak semua makanan kegemaran anak-anak walaupun mereka tidak meminta.

Dalam diam, dia memanjatkan doa agar musibah ini diangkat oleh Allah. Dia yakin lambat laun penawar bagi virus ini akan ditemui, seperti yang dinyatakan dalam hadis-hadis nabi dan salah-satunya ialah;

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً

Maksudnya: “Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.”

Jika diperhalusi, wabak yang menggemparkan negara dan mendatangkan kesan buruk kepada pelbagai pihak, mempunyai pengajaran yang tersirat buat mereka yang mencarinya. Terdapat hikmah di sebalik musibah.

[1] Hemofilia merupakan sejenis penyakit warisan yang sedia ada sejak seseorang itu dilahirkan dan ia berpunca daripada kekurangan faktor pembeku darah.

[2] Riwayat al-Bukhari (5678)

Comments


Brought to you by:

Thanks! Message sent.

LOGO 5.png
bottom of page