Experiences or lessons during quarantine days
- Siti Nurbayani Bt Abu Bakar
- May 11, 2020
- 5 min read
Dunia menjadi heboh apabila digemparkan dengan satu wabak penyakit yang dikenali sebagai virus COVID-19. Ringkasnya, wabak ini dikatakan berasal dari Wuhan,Cina yang datangnya dari sebuah pasar menjual haiwan eksotik. Disebabkan hal ini, Negara Cina telah mencatatkan kematian secara mendadak apabila virus ini mula merebak. Setelah itu, timbul pula kes baru daripada beberapa negara luar yang juga mencatatkan kes yang sama dan tidak terlepas juga tanah air kita iaitu Malaysia. Melihat kepada kes yang semakin serius dan bertambah saban hari, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu diambil oleh kerajaan Malaysia bagi membendung wabak yang berlaku. Perintah kawalan ini dikuatkuasakan serta-merta di seluruh negara yang memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia tidak mengira sektor pekerjaan, swasta mahupun kerajaan. Antara yang turut mendapat impak besar juga ialah sektor pendidikan yang mana semua institusi ditutup termasuk semua sekolah dan universiti di seluruh negara. Sebagai seorang mahasiswa, perkongsian ini akan lebih menjurus kepada perkongsian tentang keadaan mahasiswa yang berada di kampus. Secara umumnya,,tidak semua mahasiswa berkesempatan untuk pulang apabila PKP diumumkan oleh pihak kerajaan dan terdapat sebilangan mahasiswa yang terpaksa berada di kampus bagi mematuhi arahan daripada pihak berkuasa. Di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan sendiri lebih kurang 350 orang mahasiswa yang berada di kampus dalam tempoh ini. PKP di kampus ? Memang tidak pernah terlintas bahawa perkara ini akan berlaku. Soalan lazim yang biasa ditanya adalah “ buat apa je di kampus ? “.
Perkongsian pertama ialah berkenaan dengan pengalaman apabila terlibat sebagai sukarelawan dalam penyediaan makanan kepada para pelajar di kampus. Tugas utama sebagai sukarelawan ialah menyusun makanan dan memotong buah-buahan yang ada untuk diagihkan kepada para pelajar. Keseluruhan sukarelawan terlibat ialah seramai 34 orang dan dibahagikan mengikut jadual dan sesi berlainan. Terdapat dua sesi dalam sehari yang melibatkan enam orang dalam satu masa. Kebiasaannya, para sukarelawan akan turun bertugas mengikut waktu dan hari yang telah ditetapkan seperti dalam jadual. Kami akan turun setengah jam sebelum waktu pengagihan bermula untuk menyediakan apa yang perlu sebelum waktu pengagihan bermula. Bungkusan makanan yang sampai disusun oleh sukarelawan mengikut bilangan pelajar fakulti masing-masing. Jika ada makanan yang berlebihan, sukarelawan yang bertugas akan mengagihkan makanan tersebut kepada pengawal keselamatan dan diletakkan di blok asrama lelaki. Sepanjang menjadi sukarelawan, dapat menambah kenalan baru ialah bonus utama apabila terlibat dengan sesebuah organisasi baharu. Walaupun pada awalnya berasa agak kekok kerana baru pertama kali kenal mereka, namun sifat mereka yang sangat ramah dan senang untuk ditegur menyebabkan kami senang untuk bergaul dan bekerjasama antara satu sama lain. Pelbagai cerita dan tajuk yang dikongsi sepanjang waktu bertugas dan setiap daripada mereka ada gelagat yang tersendiri yang mencuit hati. Mendengar leteran daripada mereka hampir setiap hari ialah perkara biasa buat kami kerana pasti ada sahaja wakil fakulti yang datang lambat untuk ambil makanan. Semestinya ini adalah antara perkara yang dirindui sewaktu menguruskan makanan. Walaubagaimanapun, penjarakan sosial juga dijaga bagi memastikan penularan wabak dapat dikurangkan.
Seterusnya, menjadi salah satu penyumbang tenaga dalam pembuatan “head cover” buat para barisan hadapan juga antara salah satu pengalaman yang cukup bermakna. Sambutan yang begitu memberangsangkan pada awalnya apabila pengambilan sukarelawan mencapai sehingga hampir 50 orang. Namun, tenaga kerja yang diperlukan hanyalah kurang daripada sepuluh orang sahaja dek kerana kekurangan fabrik dan hanya tinggal “head cover” sahaja yang perlu disiapkan. Sebagai seorang yang mengendalikan projek ini, timbul perasaan serba salah kepada mereka yang ingin turut serta menyumbang tenaga dalam projek tersebut. Namun, atas keadaan yang tidak dapat dielakkan menyebabkan hanya beberapa orang sukarelawan sahaja yang terlibat dalam menjayakannya. Lalu, bermulalah projek membuat “head cover” bersama sukarelawan yang lain. Pada awalnya, hanyalah terlibat dengan pemotongan fabrik sahaja dan sukarelawan yang lain menguruskan bahagian jahitan dengan menggunakan mesin. Merasakan bahawa inilah peluang keemasan yang ada untuk mencuba sesuatu yang baru, dengan bantuan sukarelawan lain dapat juga belajar menjahit menggunakan mesin. Sedikit kesal apabila jahitan pertama kurang memberi hasil yang kurang memuaskan, namun berkat usaha dan semangat berkobar-kobar untuk mengahasilkan jahitan seperti yang lain, perasaan gembira yang tidak boleh digambarkan apabila dapat menghasilkan jahitan yang kemas dan rapi. Benarlah pepatah ada mengatakan bahawa usaha tangga kejayaan. Dengan stok kain yang dibekalkan, kami hanya mengambil masa dalam sekitar dua hari untuk menyiapkan semuanya sebelum dihantar ke hospital berkenaan. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pengurusan tertinggi kampus kerana membenarkan kami terlibat dengan aktiviti ini. Projek sebegini sangat bermanfaat untuk kami mengisi ruang waktu yang ada sepanjang PKP di kampus.
Dari perspektif yang lain, perkara yang menjadi pengajaran daripada PKP ialah dapat dilihat bagaimana Islam menjadi solusi dalam menangani wabak penyakit COVID-19 ini. Meneladani sirah nabi terdahulu telah membawa kita untuk memahami penyelesaian yang telah digariskan oleh agama Islam itu sendiri apabila peristiwa ini juga pernah berlaku pada zaman sahabat Nabi terdahulu. Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, maksudnya “ apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya” . Merujuk kepada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hadis ini menerangkan langkah pencegahan yang dicadangkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. dalam mendepani penularan sesuatu wabak yang berlaku. Tindakan kerajaan Malaysia dalam mengambil pendekatan PKP ini adalah satu langkah yang bertepatan dengan prinsip Islam itu sendiri yang menjadikan Al-Quran dan as-Sunnah itu sebagai penyelesaian. Buktinya, dapat dilihat pada statistik dan penilaian yang dikendalikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa terdapat penambahbaikan terhadap kes yang berlaku sejak PKP dilaksanakan. Dalam masa yang sama, tidak dapat dinafikan bahawa PKP ini dapat dijadikan sebagai satu medan muhasabah setelah satu waktu yang lama kita dibuai oleh nikmat dunia tanpa memandang sedikitpun ganjaran akhirat yang ditawarkan. Sebarang aktiviti yang melibatkan perkumpulan secara beramai-ramai dibatalkan termasuk semua sektor pekerjaan dihentikan dan juga solat berjemaah di masjid seluruh negara turut dilarang. Tambahan pula, tempoh PKP ini berlanjutan dalam bulan Ramadhan, menjadi teladan kepada kita apabila jelas dapat dilihat nikmat ditarik olehNYA satu-persatu. Seluruh masjid ditutup dan ibadah utama bulan Ramadhan iaitu solat tarawih juga terpaksa dilakukan di rumah masing-masing bersama keluarga. Sudah tidak ada alasan yang selayaknya yang harus diberi andai dengan ruang yang diberikan ini tidak dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melakukan amal. Semoga dengan apa yang berlaku hari ini menjadi sebab kepada kita untuk kembali sujud kepadaNYA.
Sesungguhnya, fenomena yang berlaku hari ini memberi tamparan yang cukup besar buat kita semua. 2020 adalah satu tahun yang tidak akan dilupakan dan semestinya telah melakar sejarah baru bukan sahaja buat negara, malahan dunia juga. Di saat keadaan mendesak dalam diri kami mahasiswa yang berada di kampus untuk pulang ke pangkuan keluarga, dalam masa yang sama pula diatur untuk kami peluang untuk meraih pengalaman baharu sewaktu PKP di kampus. Sejujurnya, peluang berada di kampus sewaktu PKP ialah salah satu memori yang bakal dirindui suatu hari nanti dan pastinya antara pengalaman menarik sepanjang bergelar mahasiswa. Begitulah cantiknya aturan takdir yang disusun olehNYA. Andai diselami dunia kanak-kanak sebelum ini, semua membayangkan bahawa tahun 2020 ialah satu tahun negara Malaysia telah maju dan berkembang pesat dari segi ekonomi,teknologi dan sebagainya. Namun begitu, tidak ada yang pernah menyangka bahawa akan berlaku wabak penyakit yang begitu dahsyat sekali. Itulah kuasa Sang Pencipta yang boleh mengubah sesuatu dalam sekelip mata sahaja dan dapat menyedari bahawa terbatasnya kuasa manusia dalam apa jua perkara sekalipun. Banyak hikmah yang dapat diteladani daripada apa yang berlaku jika dipandang dari sudut yang betul. Andai dapat dikongsikan satu perkataan yang boleh menyimpulkan pengalaman PKP sewaktu berada di kampus ialah syukur. Peluang hanya datang sekali dan jika tidak dimanfaatkan sebaik mungkin, tidak dapat dijanjikan bahawa akan ada lagi peluang keemasan untuk kali keduanya. Jauh dari lubuk hati, ungkapan “pengalaman adalah guru terbaik” sangat memberi kesan sehingga hari ini. Bagi menyambung jawapan kepada persoalan di atas, “sungguh, terlalu banyak aktiviti untuk dikongsikan”. Terima kasih atas ruang dan peluang yang diberikan. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat tatapan semua.
Comentários