Experience during quarantine days
- NUR NADIAH HUDA KAMALUDIN
- May 11, 2020
- 5 min read
Sudah hampir 2 bulan selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan yang diisytiharkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia ke-8. Pengumuman yang telah mengubah corak kehidupan rakyat Malaysia keseluruhannya. Hanya beberapa sektor penting sahaja yang dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa manakala yang lain terpaksa dilakukan atas talian atau ditangguh buat sementara waktu. Aku juga tidak terlepas menjadi salah seorang yang terkena tempias Perintah Kawalan Pergerakan, PKP memandangkan pihak pengurusan universiti seboleh-bolehnya mengarahkan semua pelajar tempatan pulang ke kampung halaman masing-masing.
Masih segar di ingatan, bagaimana tunggang-langgangnya keadaan bilik aku sewaktu ia ditinggalkan kerana masa itu hati ini kuat mengatakan “ah tak lama mana pun setakat dua minggu sahaja. Apalah sangat tinggalkan sebegini rupa.” Baju yang masih lembap tersidai mungkin sudah kering dek terlalu lama disiram cahaya matahrari, menunggu untuk dilipat dan meja belajar mungkin telah diselaputi lapisan debu dan habuk tebal. Hari-hari di rumah sewaktu awal PKP dinikmati dengan sepenuhnya. Mana tidaknya selama ini zikir “nak balik rumah” asyik meniti di bibir tanpa henti lebih-lebih lagi apabila tertekan menyiapkan draf cadangan Projek Tahun Akhir, FYP. Lebih istimewa, kali ini semua ahli keluarga pulang ke rumah berbeza sungguh dengan cuti semester dan cuti sekolah kerana Abah tetap bekerja seperti biasa. Cuti kali ini kalau tidak kerana Angah di Mesir, sepatutnya kesemua sepuluh anak beranak Haji Kamaludin dapat bersama. Namun demikian, tetap rumah meriah setiap hari ibarat ayam bertelur riuh sekampung. Hal tidaklah besar mana tetapi suara kuat bergema di setiap penjuru.
Berikutan penutupan semua surau dan masjid, Abah dengan kuasa vettonya mewajibkan kami solat fardhu berjemaah di rumah, lebih spesifiknya di ruangan bilik utama. Bukan hanya solat fardhu, adakalanya juga solat hajat ditunaikan bersama usai solat Zuhur, menyahut seruan menteri agama Malaysia. Aktiviti rohani juga terus diterapkan dengan bacaan surah Al-Mulk selepas solat isyak beramai-ramai. Sungguh aku tak pernah menjangka kemanisan ini dapat dirasai di rumah sendiri kerana selama ini surah Al-Mulk lazimnya dibaca beramai-ramai hanya di program Islami sahaja di universiti.
Pada fasa pertama PKP, fokusku masih lagi tertumpu pada urusan akademik yang masih tak terlangsaikan – projek tahun akhir, tugasan atas talian dan laporan makmal berkumpulan. Semangat masih berkobar-kobar katanya. Adik-adikku yang lain juga sama. Yang di peringkat tertier masing-masing tekun dalam menyiapkan tugasan manakala yang masih di bangku persekolahan pula siang malam menyelesaikan kerja sekolah yang menggunung itu. Buku, pemadam, pensel dan kalkulator berselerak di atas meja dan lantai merupakan pemandangan sudah yang tidak asing lagi. Maklumlah ketiga-tiga yang masih bersekolah sepatutnya akan menghadapi peperiksaan penting, UPSR, PT3 dan SPM pada tahun ini. Jadi, aku selaku kakak sulung mithali pun tidak semena-mena turut serabut sekali, menjadi sumber rujukan pertama terutama sekali bagi subjek Sains dan Matematik.
Kusangkakan hanya sebentar PKP ini, rupa-rupanya dilanjutkan sampailah ke hari ini. Semangat berkobar-kobar ku juga tak ketinggalan dalam menunjukkan perubahan. Jikalau boleh diplotkan pada graf mungkin persamaan yang terjadi ialah semangat berkobar-kobar berkadar songsang dengan pelanjutan tempoh PKP. Dengan bahasa yang lebih mudah, semakin bertambah tempoh PKP, semakin berkurang semangat ingin belajar. Projek entah ke mana, laporan entah ke mana aku pun entah ke mana. Bukan itu sahaja, adik-adik yang sebelum ini tekun menyiapkan kerja rumah tanpa jemu dan putus asa terus menutup buku tatkala sampainya khabar berita pengumuman mengenai pembatalan UPSR dan PT3 tahun 2020. Tinggallah Si “SPM Fighter” berjuang seorang diri dengan lambakan kerja sekolahnya.
Tempoh PKP ini juga telah menjadi titik permulaan aku dan keluarga dalam menceburi hobi dan kemahiran-kemahiran baru. Emak yang selama ini sering sibuk jadualnya sebagai seorang guru, berteleku di meja menghadap komputer riba kini sudah berjinak-jinak dalam masakan dan menjadikan dapur sebagai bilik kedua. Setiap hari ada sahaja menu-menu baru hasil air tangannya yang langsung tidak terlintas di fikiran termasuklah bingka ubi, talam labu, karipap beraneka jenis inti, donat, pau dan macam-macam lagi. “Mak dah bosan lah Along kat rumah ni, nak buat online class anak muridnya lapan ketul sahaja yang ada. Tak syok nak mengajar” keluh Mak pada aku. Aku pun hanya mengangguk perlahan sejurus mendegar keluh-kesah Guru Ketua Panitia Sains itu. Menurut penelitian secara peribadi, hati aku kuat menyatakan kemungkinan besar pekerjaan Mak selepas bersara nanti ialah pengganti kepada Makcik Kiah, Si Penjual Kuih-Muih.
Disebabkan semangat dan inkuiri belajar sudah luntur, akhirnya aku gantikannya dengan hobi yang baru iaitu menghasilkan video bersama adik-beradik yang lain. Aku pun tidak pasti entah roh semangat mana yang memasuki diri apabila dengan tiba-tiba aku meminati kerja-kerja penyuntingan video sehingga sanggup belajar satu-persatu dari video tutorial. Perisian yang digunakan ialah “Adobe Premiere CC” dan semestinya terlalu banyak tab-tab yang perlu aku teroka dan fahami sebelum benar-benar menguasai perisian tersebut. Selepas seminggu memuat naik video-video di Youtube, akhirnya pelanggan (subscribers) akaun kami sudah mencecah lebih 70 orang. Banyak juga komen membina yang diterima daripada penonton menerusi video perkongsian resipi “rotiboy”. Meski kuantitinya tidaklah segah mana akan tetapi ini merupakan pencapaian yang besar bagiku. Terinspirasi dengan pencapaian yang tidak seberapa ini, kami telah menaiktaraf kelengkapan video dengan membeli “stabilizer” dan “external speaker” bagi mempersembahkan audio dan video yang lebih berkualiti dan menarik. Untuk projek video seterusnya, kami sedang bertungkus-lumus dalam pembikinan video cerita pendek bergenre komedi sempena Syawal yang akan menjelma.
Perintah Kawalan Pergerakan ini telah memberi seribu satu makna dan hikmah. Jika sebelum ini hanya mampu berpuasa sekadar dua tiga hari bersama keluarga, tahun ini aku berpeluang bukan sahaja untuk berpuasa malah bersahur, berbuka dan ber”moreh” sebulan di rumah bersama keluarga. Ramadhan kali ini disambut sederhana dengan juadah yang ringkas air tangan Mak memandangkan bakat memasaknya makin terserlah sejak PKP. Aku juga mempunyai tugas tetap iaitu sebagai pembuat air tetap untuk berbuka puasa. Pelbagai jenis air termasuklah jus mangga, teh ais cincau, “Cha Bang Ang”, dan air jagung berjaya dibancuh hasil dari usaha menonoton resepi-resepi di Youtube. Tiada bazar sekalipun Ramadan kami tetap bermakna.
Solat sunat tarawih pula dilakukan berjemaah seperti solat fardhu. Giliran imam dan bilal telah ditetapkan maka variasi suara, kemerduan dan cara bacaan telah diperdengarkan sepanjang 15 hari ini. Ujar Abah, menjadi imam boleh menambah keyakinan seorang lelaki di samping mengukuhkan hafalan Quran. Sela masa antara solat sunat tarawih dan solat sunat witir diisi dengan sesi tazkirah pendek dan kali ini ahli keluarga perempuan juga termasuk dalam giliran untuk menyampaikan tazkirah. Meskipun begitu lena menikmati segala kemanisan ini di rumah, jauh di lubuk hati ini aku merindukan suasana Ramadan di UIA apatah lagi saat berbuka dan solat tarawih di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah. Tentunya antara momen-momen yang tiada galang-gantinya dalam hidup.
Menelusuri fasa ke-4 PKP, banyak kelonggaran telah diberikan. Abah pun sudah boleh pergi bekerja seperti biasa melepasi beberapa sekatan jalan raya. Beberapa orang antara adik-beradikku pun telah menjalani kelas secara atas talian seperti biasa. Justeru, tiada lain lagi yang kupinta melainkan agar kelonggaran yang digariskan oleh kerajaan ini dapat dipatuhi oleh semua golongan masyarakat di negara ini baik mereka yang berada di barisan hadapan mahupun barisan belakang, rakyat marhaen seperti aku. Aku amat yakin bahawa suatu masa nanti, virus corona ini dapat kita kalahkan andai semua menjalankan tugas masing-masing dengan baik. Jelas sekali, PKP ini telah menjadi ruang muhasabah yang terbaik untuk diri aku dengan menyedari erti sebenar kebebasan bukanlah pada keupayaan keluar ke sana ke sini tetapi dengan membebaskan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membuatkan kita menjauh dari-Nya. JPKP juga telah mengajar diri untuk menikmati segala kesederhanaan dan menghargai sekecil-kecil nikmat.
Comments