#DiariRamadanKita
- Supiah
- May 11, 2020
- 7 min read
"Adik, kemas baju siap-siap nanti lepas balik kerja kakak singgah mahallah ambil adik ya." Sofiah terus mengemas barang-barang dalam biliknya untuk dibawa pulang ke rumah. Seluruh universiti di Malaysia diarahkan untuk tutup sementara kerana wabak Covid-19 yang melanda sejak beberapa bulan lalu. Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin malam tadi telah mengumumkan polisi yang rakyat wajib patuhi untuk menangani wabak ini iaitu Perintah Kawalan Pergerakan yang akan berlangsung selama dua minggu. Pihak universiti pula mengarahkan agar pelajar-pelajar untuk pulang ke rumah sehingga universiti dibuka semula.
Setelah PKP berkuatkuasa, Nurul dan Sofiah merancang untuk pulang ke kampung pada hari itu juga namun apabila difikirkan semula saranan perdana menteri iaitu duduk di rumah, Sofiah membuat keputusan untuk menumpang di rumah sewa kakaknya yang berada tidak jauh daripada universiti. Nurul menyewa bersama enam orang lagi kenalannya di rumah itu. Dia merupakan penghuni paling baru selepas diarahkan untuk berpindah tempat kerja ke Kuantan setahun lalu manakala keenam-enam orang yang lain telah menyewa lebih tiga tahun.
“Siapa yang awak bawa masuk ni Nurul? Ni ke adik yang awak minta izin untuk tumpangkan semasa PKP ni?” Suara mesra itu menyambut Sofiah ketika dia melangkahkan kaki memasuki rumah sewa itu. Semalam Nurul telah meminta izin daripada semua ahli rumah untuk menumpangkan Sofiah. “Betul, kenalkan ini adik saya, Sofiah. Saya bawa dia masuk hari ini sebab pelajar di kampus sudah diarahkan untuk pulang,” balas Nurul
Sofiah sempat berkenal-kenalan dengan semua ahli rumah dan terus ke bilik kakaknya untuk mengemas baju. Rumah sewa dua tingkat ini mempunyai empat bilik tidur dan tiga bilik mandi. Mereka telah bersetuju untuk berkongsi bilik baju dan tiga bilik yang lain dijadikan bilik tidur yang menempatkan dua orang satu bilik manakala bilik tidur utama dikongsi oleh tiga orang. Nurul menghuni bilik yang dikongsi bersama Pikah, iaitu penyewa paling senior merangkap ketua rumah sewa.
“Kakak, saya perasan housemate kakak semua baik-baik. Ramah betul mereka menyantuni tetamu,” ujar Sofiah. “Alhamdulillah, dahulu masa akak baru pindah sini, Allah permudahkan urusan akak mencari rumah sewa bukan sahaja dekat dengan tempat kerja malah bayaran sewa juga berpatutan.”
Alhamdulillah ala kulli haal
Sudah tiga hari Sofiah menumpang di rumah kakaknya. Kes jangkitan Covid-19 saban hari semakin meningkat angkanya. Banyak usaha yang dilakukan oleh semua pihak untuk menangani wabak ini. Di peringkat universiti pula, kebajikan pelajar sangat dijaga oleh pihak universiti seperti para pelajar diminta untuk mengisi maklumat keberadaan pelajar secara dalam talian kerana ada pelajar yang balik ke rumah, sebahagian daripada mereka masih menetap di mahallah dan ada juga seperti Sofiah iaitu menumpang di rumah saudara-mara.
Sofiah terasa kekok untuk membiasakan diri di rumah sewa itu kerana rutin hariannya berubah. Di mahallah, semuanya dibuat bersama-sama dengan rakan-rakan sebiliknya. Solat berjemaah, bertadarus, makan bersama-sama dan sebagainya. Sofiah tidak pernah sunyi kerana ada sahaja perkara yang dilakukan bersama rakan sebiliknya. Tetapi di rumah sewa ini, mereka lebih gemar untuk hidup sendiri-sendiri. Semua perkara dilakukan secara individu; memasak, makan, solat dan juga mengemas rumah.
Bagi Sofiah, bukanlah dia mahu memandang negatif terhadap rumah ini tetapi kalaulah salah seorang penghuni rumah bangun lewat sampai tengah hari, terlepas solat subuh tetapi ahli yang lain tidak kejut bangun untuk solat, hal ini tak sepatutnya berlaku sebagai jemaah muslim. Sofiah tidak betah melihat akan situasi ini hari demi hari. Dia merasakan rumah ini seperti tiada ‘jiwa’. Sofiah berkongsi perasaannya bersama Nurul semasa mereka berdua di dalam bilik. “Betul tu adik. Akak pun merasai hal yang sama. Akak rasa semua orang dalam rumah ni seperti robot yang rutinnya; bangun tidur- pergi kerja- balik kerja terus duduk di dalam bilik masing-masing. Keluar bilik pun sekadar untuk meneguk air sejuk coway dekat dapur. Tetapi, untuk mengubah corak hidup di rumah ini, akak tidak tahu caranya” terang Nurul.
Banyak yang Sofiah fikirkan sekarang, “Adakah nanti bila aku memasuki alam pekerjaan, aku akan melalui kehidupan yang sama? Aku tak sanggup Ya Allah, aku perlukan sokongan orang-orang di sekelilingku untuk terus menasihati aku bila aku tersasar. Yang terus memberiku semangat agar berusaha melakukan kebaikan, membimbing dan mengingatkanku untuk sentiasa bertakwa kepada-Mu,” keluh Sofiah di dalam hati. Sungguh, Sofiah tidak senang duduk dengan situasi ini, lebih-lebih lagi Ramadan semakin mendekat, kawalan pergerakan juga semakin ketat. Mana mungkin dia berjaya melalui Ramadan dengan keadaan ‘jiwa’ seperti ini. “Aku harus berbuat sesuatu”, bisik hatinya.
Sofiah mempunyai misi yang besar sepanjang PKP ini. *Semangat*
Sofiah telah menyusun strateginya untuk berusaha menghidupkan ‘jiwa’ rumah sewa itu. Tidak lain tidak bukan, cara yang paling utama ialah dengan menyulam tautan hati setiap penghuni rumah itu. Daripada strategi A sehingga strategi Z, Sofiah sudah menimbang baik dan buruknya. Namun, Sofiah tidak lupa untuk berdoa agar Allah reda akan usahanya, memudahkan urusannya, membantunya dan membuka hati-hati mereka kerana al-Wakil Allah jualah yang mengatur urusan hamba-hambanya.
Lagi pula, Perdana Menteri juga telah mengumumkan bahawa PKP akan bersambung ke fasa seterusnya. Sofiah sangat bersemangat untuk menjalankan misinya lebih-lebih lagi Ramadan juga berkemungkinan bakal disambut dengan perintah kawalan pergerakan tetap terus dijalankan. Langkah pertama dimulakan pada pagi hari, dia menawarkan diri untuk membeli barang dapur. Dia meminjam kereta Nurul dan pergi seorang diri kerana hanya seorang sahaja dibenarkan keluar untuk melakukan urusan penting bagi setiap rumah.
Sekembalinya daripada pasar, Sofiah terus memasak makanan tengah hari sambil dibantu oleh Nurul. Mereka memasak makanan kegemaran mereka iaitu nasi ayam dan membakar kek lobak. Setelah siap, mereka mengajak semua ahli rumah makan bersama-sama.
“Wah, menariknya. Sudah lama kita tak makan bersama-sama kan?”
“Terima kasih Sofiah dan Nurul sebab masakan kamu berdua dapat mengubati rasa rindu pada masakan mak di kampung.”
“Pandai Sofiah masak, boleh masakkan kami hari-harilah kalau macam ni.”
Mereka menikmati makanan dengan penuh kegembiraan.
“Kakak-kakak semua, sebenarnya ada sesuatu yang saya mahu cakap ni,” dengan penuh debar, Sofiah memulakan bicara. “Ramadan semakin dekat. Tapi persiapan Ramadan kali ni sedikit berbeza dari tahun-tahun lepas. Tak ada bazar, tak ada solat terawih berjemaah di masjid atau surau, tak boleh balik kampung untuk sambut dengan keluarga. Dan ini juga kali pertama kita melalui situasi seperti ini. Jadi, mari kita mengimarahkan Ramadan bersama-sama. Walaupun Ramadan kali ni berbeza sikit, tapi terpulang pada kita untuk menjadikan itu suatu keterbatasan atau sebaliknya sebab sepatutnya semangat kita masih sama seperti tahun-tahun sebelum ni lebih-lebih lagi musim PKP ni, kita ada banyak sangat masa terluang.”
“Kakak-kakak dapat tak apa yang saya cuba sampaikan?”
Terpancar riak gembira pada muka mereka semua.
“Kami setuju sangat dengan cadangan Sofiah. Jadi apa kita nak buat?”
“Betul, kakak dah tak sabar ni. Jom, semangat!”
“Baiklah, kalau macam tu, petang nanti selepas solat Zohor kita berbincang sama-sama nak tak aktiviti-aktiviti yang kita boleh buat untuk menyambut Ramadan?” balas Sofiah
“Apa kata, kita solat Zohor berjemaah mahu tak semua? Mungkin ni langkah pertama kita menyambut Ramadan kali ni?” Sofiah tersenyum mendengar pertanyaan Nurul. Nampaknya kakaknya sudah dapat tangkap apa yang cuba dilakukannya.
“Boleh sekali!”
Usai solat berjemaah di ruang tamu, mereka terus berkumpul.
“Syahdunya solat tadi, dah lama rasanya saya tak berjemaah”
“Saya rasa sangat damai sangat solat tadi”
“Terima kasih Sofiah sebab mengimamkan solat kami”
“Alhamdulillah ya Allah, segala pujian hanya untuk-Mu kerana membantuku. Engkau yang mampu melembutkan hati mereka” bisik hati kecil Sofiah.
Persediaan menyambut Ramadan yang dibincangkan termasuklah solat berjemaah setiap waktu, sama-sama berusaha untuk qiamulail, bacaan mathurat pagi dan petang, membuat jadual memasak dan mengemas rumah, sesi tazkirah, tadabbur al-quran dan tadarus. Pada petang itu, mereka bergotong-royong membersihkan rumah dan memasak makan malam bersama-sama. Jadual memasak dan mengemas rumah digantung di satu sudut di ruang tamu supaya semua orang peka terhadap tugas masing-masing. Ruang tamu juga dihias seperti rumah ibadah supaya menambahkan lagi keasyikan seperti solat terawih di masjid. Petang itu juga, mereka berkongsi tentang harapan Ramadan masing-masing dan menamakan perancangan menyambut Ramadan mereka dengan #DiariRamadanKita.
Hari pertama perlaksanaan #DiariRamadanKita, ada ahli yang tidak terbangun qiam malam, tersengguk semasa bacaan mathurat pagi dan tak sempat kemas rumah tapi ahli yang lain sama-sama membantu. Saban hari mereka menambah baik semangat dan amal-amal mereka agar semuanya dilakukan semata-mata kerana Allah. Hubungan mereka juga bertambah erat kerana kasih sayang sesama mereka bertambah ikhlas.
Setiap malam di antara waktu maghrib dan isyak, mereka akan bertadarus al-quran. Sofiah sering berkongsi tadabbur al-quran hariannya bersama mereka untuk membangkitkan iman. Sofiah pernah mentadabburi surah an-Naziat dan mereka semua sangat terkesan dengan ayat terakhir surah itu(79:46), iaitu Allah berfirman;
“(Sangatlah dahsyatnya huru hara itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.”
(79:46)
Ayat ini menerangkan tentang kesan peristiwa hari Kiamat itu begitu besar dan dahsyat kepada jiwa manusia hingga seluruh kehidupan di dunia dirasakan seolah-olah kehidupan sepetang atau sepagi sahaja. Seharusnya di dunia ini adalah medan untuk mengumpulkan bekalan amal untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi. Selepas mentadabburi ayat ini, mereka sangat semangat untuk beramal dan saling menasihat antara satu sama lain setiap masa.
“Esok kita akan menyambut Ramadan, tetamu yang datang bukti kasih sayang Allah kepada kita. Satu bulan supaya kita mengejar rahmat dan ketaatan, serta pengampunan Ilahi. Alhamdulillah, Allah memberikan hidayah kepada kita melalui perlaksanaan #DiariRamadanKita supaya kita dapat beramal bersama-sama sebab mungkin sebelum ni kita pernah duduk bersama-sama tapi bukan atas dasar tautan hati untuk beramal. Terima kasih Sofiah sebab kehadiran awak sangat bermakna dalam hidup kami. Semoga Allah membalas kebaikan awak dengan syurganya.” Pikah memulakan bicara sebelum mereka memulakan solat berjemaah isyak dan terawih buat kali yang pertama malam itu. Di kesempatan itu juga, mereka berpelukan dan meminta ampun sesama mereka.
********
Bagi ahli rumah sewa ini, mungkin sebelum ni mereka menganggap rumah mereka hanyalah tempat rehat setelah seharian bekerja namun sekarang mereka sedar rumah itu sepatutnya menjadi rumahku syurgaku. Mungkin juga sebelum ni mereka menganggap ahli-ahli rumah sewa sebagai kenalan kerana menyewa rumah yang sama namun sekarang mereka sedar yang kasih sayang sesama mereka mata-mata kerana Allah. Mungkin sebelum ni mereka hidup menunggu gaji masuk di hujung bulan namun sekarang mereka sedar matlamat hidup mereka sangat besar iaitu untuk mengejar mardhatillah agar Allah reda kepada mereka.
Bagi Sofiah pula, Ramadan tahun ini luar biasa tarbiyahnya dari Allah. Dalam rasa rindu nak balik rumah sebab ramai kawan yang selamat pulang ke rumah sebelum PKP, namun bagi dirinya pengalaman di rumah sewa kakaknya sangat memberi kesan dalam hidup. Banyak yang dia belajar daripada mereka semua, pengalaman hidup mereka, pengalaman kerja dan juga yang paling penting dia belajar untuk membina tautan hati berdasarkan iman. Asas kepada kehidupan seorang individu yang bahagia di dunia dan di akhirat adalah hati yang sentiasa sedar dan jiwa yang sentiasa hidup dan mereka sedikit demi sedikit ke arah itu.
Ada sebuah hadis; daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat kelak: “Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini aku naungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naungan-Ku” (HR Muslim)
Doakan mereka agar terus istiqamah :)
Comments