top of page

DI SEBALIK UJIAN, TERPANCARNYA SINAR’

  • Nur Khairunnisa Bt Nor Azlan
  • May 11, 2020
  • 4 min read

“2020 nanti kita dapat lihat kereta terbang lah!”, itulah antara dialog yang sering dilontarkan oleh rakyat terutamanya dalam kalangan budak-budak muda. Namun, tanpa kita dapat duga dek akal, tahun keramat 2020 ini telah bertukar menjadi tahun tragik bagi seluruh penghuni bumi termasuk kita rakyat Malaysia apabila ia telah dibanjiri dengan pelbagai dugaan. Sedang kita lega dengan masalah politik yang baru selesai, Malaysia digemparkan dengan satu ujian yang amat besar apabila turunnya satu makhluk Allah yang bernama Covid-19. Saiznya kecil namun impaknya jauh lebih besar. Virus Corona ini telah menjadi penyumbang utama kepada kemerosotan tahap kesihatan rakyat dan lebih teruk lagi, ia telah mengakibatkan peningkatan kadar kematian sehingga hari ini. Namun demikian, jika difikirkan dari sudut negatif sahaja, ia hanya akan mendatangkan kegelisahan kepada kita semua. Jika direnungkan kembali, tersingkap pelbagai hikmah disebalik penyakit ini.

Salah satu pengajaran yang paling nyata yang dapat aku peroleh sepanjang tempoh kuarantin ini ialah ia merupakan peluang bagi kita yang Islam untuk lebih mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Tempoh PKP yang dikeluarkan oleh kerajaan ini digunakan sebaik mungkin oleh keluargaku untuk lebih kerap mendirikan solat berjemaah dan membaca Al-Quran bersama-sama. Mengaji bersama memberi peluang kepada kami untuk saling memperbetulkan bacaan masing-masing terutamanya dari segi hukum tajwid. Selain itu, tempoh ini memberi peluang kepada kami,abah khusunya untuk belajar cara menunaikan solat terawih berjemaah di rumah, termasuklah bacaan-bacaan yang sering dibaca oleh imam di surau atau masjid. Kita akan mula sedar bahawa peluang keemasan seperti ini jarang dapat diperoleh pada hari-hari biasa sebelum ini. Pada waktu ini jugalah masa terbaik untuk kita pupuk rasa cinta terhadap Al-Quran jika sebelum ini kita sering memberi alasan bahawa tiada masa untuk membacanya.

Pengalaman lain yang aku peroleh sepanjang tempoh kuarantin ini ialah ilmu tentang masakan. Jika sebelum ini aku kurang memiliki masa untuk menuntut ilmu yang boleh dikatakan wajib dituntut oleh semua yang bergelar wanita ini, tempoh kuarantin ini telah membuka jalan bagiku untuk menuntutnya. Ibulah yang menjadi guru utama sepanjang pembelajaranku. Pelbagai ilmu telah diajar olehnya termasuklah teknik-teknik masakan yang sukar untuk kita dapati melalui medium lain. Selain ibu, video-video masakan seorang lelaki yang bernama Khairul Aming juga sering menjadi rujukanku dalam menyediakan pelbagai hidangan di rumah. Aku dapat mencuba bermacam jenis makanan, kuih-muih dan pencuci mulut khasnya. Memang tidak dapat dinafikan yang ada kalanya aku menemui kegagalan dalam mencuba, namun itulah lumrah dalam proses pembelajaran.

Seterusnya, pada aku, tempoh kuarantin ini sebenarnya telah menjadi satu titik dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan. Ibu bapa sering sibuk dengan urusan kerja, anak-anak pula, masa mereka banyak dihabiskan di sekolah. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan ahli-ahli keluarga kurang masa berkumpul, termasuklah keluargaku sendiri memandangkan aku belajar dia UIA Kuantan dan adikku sekolah berasrama. Kuarantin di rumah ini memberi peluang kepada kami sekeluarga untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama di ‘Rumahku, Syurgaku’. Pelbagai aktiviti kami lakukan bersama seperti menonton filem, berzumba, makan bersama dan juga kami dapat berkongsi bermacam-macam cerita di antara satu sama lain. Meluangkan masa bersama kelurga merupakan satu anugerah yang amat berharga namun ramai antara kita yang alpa akan nikmat ini. Ada pepatah, ‘hilang di mata, di hati jangan’, jadi apabila telah berada di depan mata ini, hendaklah kita rapatkan lagi hubungan itu.

Di samping itu, Covid-19 ini mendidik kita untuk lebih cakna terhadap tahap kebersihan diri dan sekeliling. Tanpa sedar, aku selalu mengambil ringan isu kebersihan diri ini kerana aku menganggap ianya hanya isu remeh. Setelah apa yang berlaku sekarang barulah aku sedar bahawa menjaga kebersihan itu bukanlah satu perkara yang boleh dibawa main. Tabiat yang paling ditekankan sekarang ialah kerap mencuci tangan dengan air dan sabun. Sebelum ini aku tidak mengambil tahu akan kaedah membasuh tangan yang betul kerana aku menilai kebersihan itu hanya dari sudut pandangan mata kasarku. Namun, dengan apa yang sedang menimpa Malaysia sekarang ini, aku mula mendapat kesedaran akan kepentingan kaedah yang betul itu. Kita digalakkan untuk mandi selalu, kerap membasuh tangan terutamanya apabila kita baru pulang ke rumah dari urusan di luar dan juga hal-hal kebersihan diri yang lain. Bayangkan jika Covid-19 ini tidak wujud, akankah kita semua mengubah sikap tentang isu kebersihan ini? Renung-renungkanlah.

Covid-19 ini juga secara tidak langsung telah mendorong rakyat Malaysia untuk banyak melakukan amal kebajikan dengan cara membantu orang yang memerlukan. Jika kita perasan, banyak pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan yang berebut-rebut untuk menghulurkan sumbangan kepada golongan yang terjejas sepanjang tempoh PKP ini. Sikap saling membantu tanpa mengenal agama dan bangsa akhirnya dapat disemai. Selain itu, nilai disiplin dan hormat-menghormati juga dapat dipupuk dalam diri rakyat termasuklah diri aku sendiri. Penjarakan sosial ialah satu perkara yang wajib diamalkan oleh setiap rakyat apabila berada di tempat awam seperti pasar raya. Arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan ini sedikit sebanyak memupuk nilai disiplin dalam kalangan rakyat apabila mereka dikehendaki untuk mematuhinya. Sikap saling menghormati pula dapat dilihat apabila rakyat patuh akan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk membantu para petugas barisan hadapan yang sedang giat berjuang menentang virus Covid-19 ini. Aku yakin kita lali dengan ayat ini, ‘Kami bekerja untuk anda, anda duduk di rumah untuk kami’, ditularkan di media sosial. Jika rakyat Malaysia tiada sikap hormat-menghormati ini, masalah ini tidak akan dapat diselesaikan dengan segera.

Tambahan pula, pengajaran lain yang aku dapat lihat sepanjang tempoh kuarantin ini ialah alam semakin sihat daripada sebelum-sebelum ini. Sihat yang aku maksudkan di sini adalah dari segi tahap kualiti kebersihannya. Buletin TV3 ada menyiarkan keadaan beberapa batang sungai di Kuala Lumpur dan Selangor serta udara di sini. Aku dapat lihat perbezaan yang amat ketara antara gambar yang disiarkan sebelum dan selepas tempoh PKP dilaksanakan. Sungai yang dulunya penuh dengan sampah-sarap dan sisa minyak dari kilang kini jernih sehingga boleh menampakkan ikan-ikan di dalamnya. Tahap kualiti udara juga meningkat dengan amat baik apabila langit kelihatan biru nan cerah berbanding sebelum ini yang mendung kerana dicemari dengan asap-asap dari pelbagai sumber. Pencakar langit yang dulunya hanya samar-samar dapat dilihat kini jelas tersergam indah. Ini jelas membuktikan bahawa kerosakan yang berlaku kepada dunia selama ini adalah berpunca dari tangan manusia sendiri.

Dalam kita berduka dengan apa yang sedang berlaku sekarang, ingatlah bahawa terdapat sinar yang tersirat di sebaliknya. Usahlah kita lihat hanya pada perkara tersuratnya sahaja kerana telah dikatakan oleh Allah di dalam Al-Quran, Surah Al-Insyirah maksudnya, ‘bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan’.

Commentaires


Brought to you by:

Thanks! Message sent.

LOGO 5.png
bottom of page