top of page

CUMA SEORANG RUNNER

  • Hasyimah Masran
  • May 11, 2020
  • 4 min read

“Ah hujan lagi,” ujarku.

Dingin. Air hujan turun perlahan. Satu persatu titik air jatuh ke muka bumi. Sekali-sekala angin dingin menampar lembut tubuhku. Perasaan resah dan bimbang mula menyelubungi diri ini. Cuaca hari ini sudah tentu akan menyusahkan tugasku. Jalan raya yang sunyi dan kosong itu aku tenung dari tingkap rumah.

Jam di dinding sudah menunjukkan jam 2 petang. Aku mula mendapat pesanan makanan secara atas talian satu persatu. Runner? Ya, itulah pekerjaan aku. Mengambil pesanan makanan dan menghantarnya kepada pelanggan tanpa mengira teriknya mentari mahupun dinginnya hujan. Walaupun upahnya tidaklah banyak mana, tapi mampu menampung kehidupan bujanku. Sudah dua tahun aku menjadi seorang runner di Melaka Bandaraya Bersejarah. Dahulu pekerjaanku dipandang remeh tetapi sejak wabak Covid-19 mula melanda Malaysia dan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, pekerjaanku kini merupakan salah satu tugas yang penting. Hanya sektor-sektor tertentu sahaja yang dibenarkan bekerja dan yang selebihnya tidak dibenarkan untuk keluar dari rumah kecuali atas hal-hal mustahak.

Sudah sebulan PKP dijalankan dan kini sudah hari kelima Ramadan. Masih ada yang berdegil melanggar arahan dari pihak berkuasa. Kerajaan terpaksa mengerahkan barisan polis dan askar untuk memastikan rakyat faham dan akur dengan perintah ini. Ada yang ditangkap dan ada yang didenda sejumlah wang. Terlintas di fikiranku, apa yang mereka fikirkan? Adakah mereka terlampau bosan berada di rumah atau mereka hanya mahu mengambil angin luar? Ah tidakkah mereka sedar perbuatan mereka bukan sahaja menyusahkan diri sendiri malah menyusahkan banyak pihak.

Kunci motor ku ambil. Helmet ku pakai. Baju hujan aku sarungkan ke tubuhku. Tidak dilupakan sarung tangan, topeng muka dan hand sanitizer juga aku pakai sebagai langkah pencegahan jangkitan Covid-19. Walaupun aku hanyalah seorang runner dan bukannya petugas kesihatan, aku perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

“Bismillahirrahmanirrahim,” lafazku sambil menghidupkan enjin motor. Masa untuk aku menjalankan tugas.

……….

“Terima kasih bang!”

“Sama-sama. Selamat bertugas dan selamat berbuka!” Mataku sayu memandang mereka. Tempahan makanan yang terakhir itu merupakan dari anggota polis yang menjaga sekatan jalan raya. Terlampau sibuk bekerja sehinggakan terpaksa berbuka di atas jalan. Sudah menjadi tugas mereka untuk mengawal lalu lintas dan memastikan tiada siapa yang melanggar arahan pihak kementerian.

Telefon pintarku di bag, aku keluarkan. Jam di paparan telefon menunjukkan jam 6.30 petang. Aku bergegas pulang untuk berbuka puasa di rumah. Nasib baik aku sempat membeli juadah untuk berbuka.

……….

Sunyi. Apam balik dan air bandung di atas meja itu aku tenung. Sepatutnya aku berada di rumah orang tuaku untuk menyambut Ramadan bersama. Tetapi kerana PKP, aku masih disini, di rumah sewaku. Lamunanku terhenti apabila terdengar azan maghrib berkumandang. Segera aku membaca doa buka puasa. Juadah berbuka mulaku jamah sedikit demi sedikit.

……….

Usai solat tarawih, telefon aku berdering. Ah ibu rupanya. Lantas panggilan dari ibu aku jawab.

“Assalamualaikum, along! Sihat?” soal ibu. Along? Itulah gelaranku di rumah kerana aku merupakan anak sulong dan abang kepada tiga orang adikku.

“Waalaikumussalam, ibu! Alhamdulillah sihat. Ibu?” balasku.

“Alhamdulillah sihat. Ibu call ni sebab nak tanya along balik Muar tak raya nanti? Adik- adik along tu dah rindu sangat dengan along. Asyik tanya je bila along nak balik.” Tergamam aku saat soalan ibu singgah di telingaku. Wajah adik lelakiku yang berumur 13 tahun dan dua orang adik perempuanku yang berumur 17 tahun dan 9 tahun kini bermain di fikiranku.

“Tak pasti lagi laa ibu. Bergantung dengan bilanya PKP berakhir. Insyaallah, along usahakan. Kirim salam along buat diorang dan ayah sekali ye.” Dadaku berombak laju. Perlahan-lahan air mataku mula gugur. Tak terungkap rasa rindu di hati.

“Oh yeke. Insyaallah ibu sampaikan salam along. Ibu nak tidur dah ni. Assalamualaikum.” Suara ibu kecewa.

“Waalaikumussalam,” balasku lemah. Panggilan telefon dari ibu aku matikan. Pantas aku menyeka air mataku yang masih bersisa di pipi.

Tubuhku perlahan aku humban ke atas tilam. Aku terlentang di atas katil sambil merenung siling putih yang kini kekuningan sedikit mungkin kerana sudah bertahun lamanya sejak rumah sewa ini dibina. Cahaya putih lampu yang dipasang di siling bilikku sedikit pun tidak menyilaukan mataku. Fikiranku lebih tertumpu terhadap perbualanku bersama ibu sebentar tadi. Bukan niatku menghampakan harapan mereka untuk pulang ke rumah menyambut Aidilfitri bersama, cuma aku tidak mahu menabur janji yang tidak pasti. Maafkan along, ibu! Perlahan mataku tertutup. Pandanganku gelap.

……….

Petang Sabtu yang cerah ini aku cadang untuk rehat sepenuhnya kerana hari Sabtu dan Ahad aku tidak bekerja. Telefon pintar di atas meja ruang tamu segera aku ambil. Sedang aku melayari laman media sosial, aku tertarik dengan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang kuarantin di rumah yang dikongsikan oleh netizen di media sosial. Ada yang cuba untuk memasak resepi baharu, ada yang sibuk membuat video kreatif menggunakan aplikasi TikTok dan ada juga yang menggunakan tempoh kuarantin dengan melakukan senaman ringkas. Pelbagai aktiviti yang mereka lakukan untuk menghilangkan kebosanan.

Tiba-tiba aku terfikir nasib petugas-petugas barisan hadapan seperti petugas kesihatan di hospital mahupun klinik-klinik kecil yang lebih terdedah kepada jangkitan virus Covid-19, polis yang menjaga sekatan jalan raya ketika panas terik mahupun hujan lebat dan pekerja-perkerja di perkhidmatan kurier yang menerima berpuluh-puluh ribu bungkusan untuk dihantar kepada penerimanya di seluruh Malaysia. Tugas mereka memerlukan tahap komitmen dan sabar yang tinggi di musim kuarantin ini. Ada di antara mereka tidak dapat pulang ke rumah untuk bersama keluarga tercinta kerana risau akan kesihatan ahli keluarga mereka. Ada juga yang bekerja di bandar dan tidak dapat balik ke kampung untuk menjenguk orang tuanya. Hanya mampu melakukan panggilan video sahaja untuk mengubat rindu di hati.

Mereka merupakan wira negara. Jika dahulu pekerjaan mereka dipandang enteng, kini pekerjaan merekalah yang mampu menyelamatkan berjuta-juta nyawa rakyat Malaysia. Aku yakin rakyat Malaysia juga sudah mula sedar akan pengorbanan mereka. Semoga mereka mampu memberikan kerjasama untuk terus kekal duduk di rumah dan mengikuti setiap arahan dari pihak kementerian sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan kerana setiap seorang dari mereka mempunyai tanggungjawab untuk membendung virus Covid-19 dari terus merebak.

Bunyi hon dari kereta yang lalu di jalan raya depan rumahku menghentikan lamunanku. Aku toleh ke arah jam di dinding.

“Eh dah pukul 6.00 petang laa. Makanan berbuka puasa belum buat lagi.”

Terlampau tenggelam dalam fikiranku sendiri sehingga tidak sedar waktu berbuka hampir tiba. Aku terfikir tentang diriku. Aku cuma seorang runner. Aku bukan siapa-siapa untuk diletakkan sebaris dengan petugas-petugas barisan hadapan yang lain. Jika mereka diluar sana mengiktiraf aku sebagai petugas barisan hadapan, terima kasih aku ucapkan. Perlahan aku bangun meninggalkan ruang tamu dan menuju ke dapur.

Comentarios


Brought to you by:

Thanks! Message sent.

LOGO 5.png
bottom of page