COVID-19 SHORT STORY
- Zareen Nawwarrah binti Mohsin
- May 11, 2020
- 6 min read
‘Wah! Sedapnya lauk-pauk mama masak hari ini. Semua ini lauk kegemaran Naura. See Naila. Mama memang lebih menyayangi aku dari kau sejak azali lagi.’ Dengan angkuhnya, aku mengeluarkan butir-butir kata tersebut kepada kakakku apabila aku melihat semua juadah yang terhidang sangat menggiurkan. Tiba-tiba, aku berasa tanah yang menjadi tempat kakiku berpijak, seakan bergegar. Semakin lama, gegaran itu semakin terasa ibarat pada asalnya, gegaran itu pada 3 pada skala magnitud menjadi 5 pada skala magnitud. ‘Ya Allah, apa yang sedang berlaku. Ya Allah, aku belum bersedia untuk mati. Dosaku bertimbun ibarat dedaun yang berguguran memenuhi perkarangan rumah. Aku belum berkesempatan untuk memohon maaf dari kakakku.’ Hatiku meronta dengan penuh kegusaran. Pada detik yang sama, aku menyaksikan kekuda rumahku yang digunakan untuk menyangga atap sudah terpisah antara satu sama lain dan atap pun terjeblok seolah-olah terjatuh dari langit.
‘Tolong! Tolong! Ah!’ Sekonyong-konyong, aku terdengar namaku disahut. Aku cuba untuk menjawab namun, suaraku seakan-akan tersekat dikerongkong. ‘Naura. Naura. Bangun Naura’. ‘Tolong! Tolong! Ah!’. Aku menjerit dengan sekuat hatiku. ‘Aduh! Kenapa sakit sangat kepalaku’. Aku pun terjaga dari mimpiku yang tidak berapa lena. Rupa-rupanya sakit yang aku rasakan sebentar tadi adalah gara-gara aku terjatuh dari katil. “Ya Allah. Naura okay ke? Ada rasa sakit dekat mana-mana?”, suara Anis mengejutkan aku ke dalam dunia realiti. Aku pun menggagahkan diri untuk bangun dan menyentuh kepalaku. Aku merasakan benjolan di kepalaku. Aku terus berdesup mencari cermin dan ternyata, ‘Oh tidak! Kenapa besar sangat benjol dekat kepala nih’. Aku menjerit apabila melihat wajahku dicermin seakan seekor ikan flowerhorn. Anis tertawa kecil apabila melihat gelagatku seakan seekor anak ayam yang kehilangan ibunya. “Anis, janganlah gelakkan saya. Macam mana saya nak keluar nanti? Kalau Anis pun ketawakan saya, apatah lagi orang lain”. Rengekan aku tidak dilayan malah, Anis semakin galak mentertawakan aku sehingga kedengaran di luar kamar kami. “Sorry. Saya tak sengaja tapi cara awak jatuh tadi, macam nangka busuk. Lepas itu, benjolan di kepala awak itu macam ikan apa tuh. Ha, ikan flowerhorn. Hahaha”. Bantal busuk aku lemparkan kepada Anis sebagai tanda protes lalu menuju ke bilik air untuk mengangkat wuduk.
Hai, nama saya Naura Ilhami, pelajar tahun akhir bidang Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Islam Antarabangsa. Saya berasal dari Kota Kinabalu, Sabah. Hari ini genaplah seminggu saya terperangkap di kampus setelah Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Wah, hari ini adalah hari yang indah untuk menulis diariku! Aku berasa sangat berkobar-kobar untuk merakamkan pengalamanku sepanjang PKP didalam diari agar satu hari nanti, aku boleh mengimbau kembali kenangan pahit dan manis disaat PKP ini. Tirai langsir bilik diselak dan tingkap pun dibuka untuk memulakan hariku. “Hello dunia!”, jeritanku seakan-akan menggegarkan seluruh aras bilikku. ‘Pom! Pom’, bunyi dentuman kilat hampir sahaja membuatkan jantungku berhenti berdegup. ‘Oh mak kau! Ya Allah, hujanlah pula.’ Okay, aku tarik semula kata-kataku. Hari ini adalah hari yang suram kerana langit kelihatan sedang bersedih. Okay, sambunglah tidur semula. Malas pula aku mahu menulis diari disaat hujan rintik-rintik. Perutku yang berkeroncong mematahkan semangatku untuk menyambung beradu. “Cukuplah beradu, wahai Tuan Puteri. Mari turun ambil santapan. Kalau lambat, Tuan Puteri juga yang akan kelaparan”, suara Anis yang lembut tetapi ada nada kekerasan didalamnya membuatku bangkit dari pembaringan.
Dengan langkah yang agak kemalasan disebabkan oleh hujan yang manja-manja, kami pun melangkah pergi ke kafe untuk mengambil sarapan pagi kami. ‘Sarapan pagi apa ya hari ini?’, bermonolog aku didalam hati. Alhamdulillah, hari ini kami diberi egg sandwich dan sosej. ‘Sedapnya nampak.’ Disaat mataku tertumpu ke arah makanan tersebut, tiba-tiba perutku berkeroncong ibarat lagu berentak irama Malaysia. Bunyi perutku yang aku sangkakan perlahan rupa-rupanya didengari oleh pelajar-pelajar yang lain. Mereka memandang ke arahku dan tersenyum. ‘Ya Allah, malunya’, aku hanya mampu menyorok wajahku dibalik jilbabku. Setelah mengambil sarapan pagi, kami pun kembali ke bilik dan menikmati sarapan dengan berselera. Oh hampir sahaja aku terlupa, semasa tibanya giliran aku, pelajar yang mengagihkan makanan itu menujukan soalan kepadaku. “Sister, kenapa dengan kepala itu? Nampak macam besar sahaja benjolan itu.”. Anis yang sedang beratur dibelakangku hanya mampu tertawa mendengar soalan itu.
Sepanjang PKP, makan dan minum kami diuruskan oleh pihak Mahallah Respresentative Council. Banyak cerita yang berlaku sepanjang PKP ini. Disebabkan kebanyakan pelajar yang terperangkap ini adalah pelajar foreigner dan pelajar yang tinggal di Sabah dan Sarawak, jadi, banyak senario yang telah kami saksikan. Pernah sekali, lauk yang disediakan ialah Asam Pedas Ikan. Kebanyakan pelajar foreigner tidak mahu menjamah lauk tersebut lantas, banyak makanan yang telah dibazirkan. Pernah juga kami diberi yoghurt seorang satu pek kecil tetapi terdapat seorang pelajar foreigner ini ingin mengambil lebih dari satu pek yoghurt itu tetapi permintaannya ditolak kerana takut tidak mencukupi. Keadaan menjadi tegang apabila pelajar tersebut meninggikan suara dan membuat kecoh pada waktu itu. Nasib baik pengawal keselamatan datang untuk menguraikan ketegangan tersebut.
Disaat Perdana Menteri mengumumkan PKP, semua kawanku berasa panik dan segera membeli tiket bas dan tiket kapal terbang untuk pulang ke rumah mereka. Namun demikian, aku tidak mengerti mengapa aku tidak berasa apa-apa. Aku merasakan bahawa perkara itu adalah perkara yang remeh-temeh dan tidak perlu untuk menyerabutkan kepala. Aku berfikir, alah cuma dua minggu sahaja. Kenapa perlu panik. Jadi, aku pun membuat keputusan untuk tidak pulang ke Sabah. Tambahan pula, aku melihat harga tiket kapal terbang mencecah RM300 untuk satu perjalanan sehala. Namun, apalah nasib kami, daripada dua minggu, kini telah menjadi enam minggu kami terperangkap di kampus. Nasib baik Anis yang merupakan rakan sebilikku, juga seorang sumandak dari Sabah. Dialah insan yang menjadi penemanku sepanjang PKP ini. Setahu aku, di Mahallah yang aku duduki kini, hanya 100 sahaja pelajar yang terperangkap. Keadaan di mahallah agak sunyi sehingga bunyi kipas pun dapat didengari dengan izharnya.
Walaupun tiada kelas secara fizikal dijalankan, kelas secara online diteruskan seperti biasa. Kelas secara online acap kali dijalankan pada setiap hari Isnin sehingga Jumaat pada jam 11 pagi sehingga 4 petang manakala waktu rehat pula pada jam 1 hingga 2 petang bagi memberi laluan untuk mengerjakan solat. Setiap hari adalah subjek yang berbeza. Bagi aku, kelas secara online adalah kurang efektif kerana situasinya sangat berlainan. Aku tidak boleh memberikan tumpuan seratus peratus. Dalam kelas fizikal, aku sering berkelaluan tertidur, bergurau senda dan tidak fokus sementelahan lagi kelas secara online. Tambahan pula, selalunya aku perlu mengambil makanan tengah hari pada jam 12:30 tengah hari dan ketika saat itu, kelas secara online masih lagi berlangsung. Oleh itu, aku harus mengulang semula kelas tersebut agar tidak ketinggalan. Bilamana, apabila kelas secara online bersambung pada jam 2 petang, aku kerap kali tertidur. Kononnya mahu tidur hanya untuk lima minit tetapi kita hanya merancang dan Allah yang menentukan segalanya. Itu hanyalah alasan semata-mata.
Pada waktu petang, bagi memastikan keadaan mental dan fizikal aku dalam keadaan yang baik, aku dan Anis akan berjalan-jalan di sekitar kawasan kampus. Satu hari, semasa kami sedang berjalan-jalan, kami terserempak dengan seekor anjing yang besar. Anjing tersebut sedang menggonggong seekor anak kucing lalu memakan anak kucing tersebut. Aku dan Anis menjadi kaget dan seakan tidak percaya apa yang telah kami saksikan. Setelah memakan anak kucing tersebut, anjing itu memandang tepat ke arah kami. Lirikan matanya yang tajam dan langkah kakinya yang pantas menerjah ke arah kami. Ibarat seekor lipas kudung, aku dan Anis berlari dengan laju seakan-akan kaki kami tidak sempat untuk jejak ke tanah. “Lari Anis. Cepat. Anjing itu dah semakin dekat”, aku menjerit dengan sekuat hati. Setelah tiba di mahallah, aku dan Anis berasa bersyukur kerana anjing tersebut telah berjaya kami hilangkan jejak.
Disebabkan oleh hanya beberapa orang pelajar yang terperangkap di kampus, keadaan diaras kami sangat sunyi. Oleh itu, aku lazimnya tidur awal pada waktu malam. Pernah satu malam, disaat aku dan Anis sedang membersihkan muka dan menggosok gigi, kami terdengar suatu jeritan. Aku dan Anis saling berpandangan dan mata kami berdua seperti memahami apa yang dirasakan oleh kami. Kami berkeliaran ke sana ke sini untuk mencari jawapan. Jeritan suara yang pada awalnya kedengaran seakan angin sepoi-sepoi bahasa menjadi semakin kuat dan jelas. Seperti yang kami jangkakan, jeritan suara itu adalah daripada seorang pelajar perempuan. “Ah, aku mahu pulang! Ibu! Abah! Aku sunyi!”. Aku dan Anis hanya tertawa mendengar jeritan tersebut. Mungkin aku dan Anis juga akan bertindak sedemikian suatu hari nanti.
Hari demi hari, minggu berganti minggu. Tanpa aku sedari, bulan Ramadan pun menyinggah. Walaupun sudah beberapa tahun berpuasa di kampus, namun demikian, perasaan berpuasa pada tahun ini, terasa amat ganjil. Bersahur dan berbuka dibilik sahaja. Tidak lagi mampu solat berjemaah di masjid. Puasa ini terasa berlainan mungkin juga kerana kami tidak mengetahui situasi sebenar kami ibarat gantung tidak bertali. Pada awalnya, kami dimaklumkan bahawa kami dibenarkan pulang pada awal Mei. Namun demikian, setelah hampir seminggu bulan Mei berlalu, kami masih belum dapat jawapan. Situasi menjadi semakin membejat apabila terdapat beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu untuk mengeruhkan keadaan. Setakat ini sahaja coretan yang mampu aku lukirkan untuk kali ini. Doakan agar kami dapat pulang ke pangkuan keluarga sebelum menjelang Hari Raya Aidil Fitri. Aku percaya bahawa sesudahnya hujan, akan terbitnya pelangi. Begitu juga dengan keadaan kami sekarang ini. Seperti yang telah Allah janjikan dalam Surah Al-Insyirah ayat 5 & 6, setiap kesusahan pasti terselit kesenangan.
Comentarios