CERITA COVID-19 CERITA KITA
- ANWAR MOHD NOR
- May 11, 2020
- 5 min read
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia pada 18 Mac 2020. Secara jujurnya, tahun 2020 telah mengubah landskap pemikiran dan jangkaan seluruh rakyat Malaysia. Di saat kita mula mengatakan pada diri kita yang kita kena bersedia akan mula adanya teknologi kereta terbang dan sebagainya, ternyata 2020 adalah tahun yang paling mencabar buat seluruh rakyat Malaysia. 2020 bukanlah tahun kereta terbang tapi tahun di mana jarak juga mampu menjadi tanda solidariti kita terhadap keamananan dan keselamatan negara. 2020 bukanlah tahun di mana teknologi menggantikan kita dalam Revolusi Industri yang mungkin kita sering bincangkan dan bahaskan, tetapi satu tahun di mana keluarga menjadi teman dan institusi keluarga dan jalinan kekeluargaan mula dilihat sebagai prioriti setiap rakyat Malaysia. 2020 juga merupakan tahun di mana kesihatan psikologi dan mental mula dititikberatkan. 2020 bukanlah tahun di mana elektik menjadi sumber tenaga yang paling banyak digunakan tetapi tahun di mana amalan basuh tangan merupakan antara cara nyawa terus diselamatkan. 2020 bukanlah tahun di mana jurutera-jurutera akan mula diganti dengan sistem robotik tetapi tahun di mana golongan doktor dan jururawat serta petugas kesihatan dilihat sebagai hero yang menyelamatkan kita dari musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi mampu membunuh ratusan ribu penduduk dunia dalam masa yang singkat. 2020 juga tahun di mana duduk di rumah juga dilihat sebagai satu tindakan yang paling berani dan wajar dihargai demi memutuskan rantaian jangkitan. Siapa sangka, satu tahun yang dianggap membawa kemajuan yang ditunggu sekian lama oleh kita sebenarnya membawa satu jangkitan global yang kemudiannya dilabel sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO)?
Tahun ini juga dilihat mampu menjadi bukti sebenar akan nilai sivik kita dan refleksi sebenar nilai kita dalam subjek peperiksaan subjek Sivik & Kewarganegaraan yang selalu dilihat mampu mencapai markah tinggi. Nilai integriti dan akauntabiliti kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab akan diukur dengan lebih tepat di sini melalui praktikaliti berbanding peperiksaan teori tadi. Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP juga, kita dapat lihat bagaimana pelajar di setiap institusi pengajian tinggi atau mahasiswa-mahasiswa di seluruh Malaysia mampu menjadi aset penting dalam negara dan pentingnya kewujudan mahasiswa-mahasiswa dalam membantu usaha-usaha negara. Terutamanya, mereka yang sanggup mengorbankan perasaan dan kemahuan mereka untuk terus pulang ke rumah bersama keluarga demi mematuhi arahan kerajaan agar sebarang kemungkinan untuk rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan. Pelajar-pelajar juga dilihat sabar dalam mematuhi setiap keputusan dan prosedur yang telah diarahkan oleh kerajaan agar segalanya dapat dijalankan secara sistematik di seluruh negara. Contoh lain pula adalah sumbangan penuntut-penuntut universiti kita sendiri dalam menyiapkan PPE, pelindung muka dan kotak aerosol kepada barisan hadapan. Tahun 2020 juga kita dapat lihat mahasiswa-mahasiswa bersatu dalam membantu antara satu sama lain di peringkat nasional di mana Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar seluruh Malaysia mula menjadi signifikan dalam menyarakan suara pelajar-pelajar terhadap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Fungsi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) juga dilihat signifikan dalam memainkan peranan apabila mereka turut bekerjasama dengan pentadbir-pentadbir universiti di seluruh Malaysia dalam mendalami secara dekat dan menguruskan kebajikan-kebajikan pelajar yang terkandas di kampus. Wujud juga sukarelawan-sukarelawan mahasiswa yang bertugas siang hingga ke malam dalam memastikan makanan sahabat-sahabat mereka di kampus sentiasa terjaga.
Selain dari itu, status isu kesihatan yang mungkin jarang menjadi perbincangan oleh rakyat Malaysia sebelum ni, telah berubah dalam realiti yang baharu ini. Kementerian Kesihatan Malaysia dilihat menjadi antara organisasi paling utama dalam menasihatkan rakyat Malaysia untuk terus menjaga kesihatan di media massa. Kenyataan-kenyataan rasmi serta saluran-saluran Kementerian Kesihatan Malaysia mula diikut secara rapat oleh seluruh rakyat Malaysia dari semasa ke semasa tanpa polemik atau konflik politik. Pematuhan prosedur-prosedur yang dilaungkan oleh kerajaan diikut rapi oleh rakyat agar rantaian dapat terus diputuskan. Tahun 2020 juga dilihat tahun di mana ekonomi rakyat terus menjadi perbincangan utama dan perhatian utama kerajaan. Inisiatif seperi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan juga bantuan RM 200 kepada semua penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan antara langkah yang diambil oleh kerajaan dalam memastikan kelangsungan ekonomi rakyat.
Sistem pendidikan yang telah sekian lama dipandang sepi oleh sesetengah kita juga telah berubah corak. Perubahan dan kemajuan sistem pendidikan bukan lagi pilihan dalam mana-mana perbincangan tetapi sudah menjadi satu analaisis yang mula dibincang secara kritikal di seluruh negara dan media massa. Sudah tiba masanya kita bertindak rasional dalam menerima kemajuan supaya kita tidak tergolong mereka yang menolak kemajuan dan terus ketinggalan dalam arus global yang sentiasa dinamik. Secara analoginya, di saat orang sudah berbincang bagaimana hendak ke bulan, kita masih lagi menidakkan kemajuan dan terus mengatakan tidak terhadap sebarang perubahan dari dalam hutan. Perbincangan-perbincangan mengenai sistem pendidikan atas talian atau E-Pendidikan juga dibincang secara serius untuk memastikan semua pelajar mendapat manfaat dari sistem pendidikan ini dan tiada seorang pun akan dibiarkan ketinggalan dari manfaat ini. Pelbagai idea dan usaha telah dijalankan secara bersama oleh universiti-universiti, sekolah-sekolah, guru-guru, pensyarah-pensyarah dalam usaha memastikan objektif pendidikan masih lagi tercapai dalam menghadapi normal yang baharu ini. Ini menunjukkan satu perkembangan yang positif dalam dunia pendidikan.
Namun begitu, sepanjang pelaksanaan PKP ini juga, banyak kes-kes penyebaran berita palsu yang sudah lama menjadi sebahagaian dari penerimaan budaya oleh sesetengah kita. Presiden Indonesia, Presiden Joko Widodo juga dilaporkan mengatakan bahawa ketakutan kita bukan disebabkan oleh penularan virus tetapi panik dan rasa cemas adalah berpunca daripada penyebaran berita palsu. Penularan berita palsu juga dapat dilihat dengan jelas di kenyataan-kenyataan rasmi universiti kita sendiri apabila beberapa mesej atau sebaran Whatsapp mengenai covid-19 adalah dilaporkan palsu. Namun, terdapat juga kesan positif dari isu yang berlaku ini. Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, laman web sebenarnya.my makin kerap dikunjungi oleh rakyat di seluruh Malaysia untuk memerika kesahihan berita-berita yang diterima oleh mereka. Ini menunjukkan bahawa kesedaran di peringkat rakyat sudah mula jelas dan tinggi. Hal ini penting kerana budaya yang menjadi duri dalam daging masyarakat kita ini perlu dibanteras segera. Pentingnya budaya meneliti sumber maklumat sebelum sebarang sebaran dibuat. Mentaliti sebar dahulu, periksa kemudian perlu dibuang tanpa sebarang kompromi. Ini secara tidak langsung mencerminkan peribadi kita yang kurang unsur integriti walaupun kepentingan budaya memeriksa sumber sebelum menerima apa-apa maklumat sudah banyak ditekankan dalam tugasan-tugasan akademik di universiti.
Secara konklusinya, sepanjang penguatkuasaan PKP ini, banyak pengajaran kita mampu perolehi. Pelaksanaan kepadap PKP juga merupakan tanggungjawab kita bersama sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. Pelaksanaan perintah ini juga menyedarkan kita bahawa tindakan ini bukan sahaja mengenai kepatuhan semata-mata tetapi banyak keperluan kebajikan rakyat yang sentiasa perlu menjadi perhatian serta keperluan dalam pelbagai aspek seperti sistem pendidikan yang lebih inklusif terhadap semua pihak. Kerana itu, cerita mengenai PKP ini bukan cerita mengenai mereka, atau pihak sana. Cerita ini mengenai nilai kita, keluarga kita, peribadi kita, kebersamaan kita, perjuangan kita, sistem negara kita, ekonomi kita, pendidikan kita, kebajikan kita, suara kita, hak kita. Tentang kita. Cerita kita. Dan akhirnya, akan menjadi sejarah kita.
Commentaires