top of page

Catatan

  • Mohammad Hakim bin Mohammad Hood
  • May 11, 2020
  • 4 min read

Hari ke-7

Penat berbual dengan dinding bilik, saya berbual pula dengan langsir. Tapi nyata langsir membosankan. Asyik cakap pasal keindahan matahari dan langit. Saya selak langsir ketika ia sedang ralit bercakap dan buka tingkap luas-luas. Daun-daun daripada dahan pokok yang menjulai ucapkan selamat pagi. Saya ajak mereka berborak. Tapi daun-daun lagi tak boleh blah, mereka bilang mereka seronok duduk luar bilik. Saya geram dan gunting daun-daun itu jatuh ke tanah. Padan muka mereka.

Saya baring sebentar atas lantai. Tiba-tiba saya nampak seekor labah-labah berjalan. Saya tangkap dan masukkan ke dalam mulut. Rasanya sungguh tak enak. Saya keluarkan kembali labah-labah tadi dari mulut. Sekarang labah-labah berjalan terkengkang-kengkang.

Saya capai buku bertajuk That's Love. Buku romance yang saya ambil daripada arwah Arif. Ketika saya singgah di kedainya dahulu, ada setimbun buku yang diberi orang. Arif kata, kalau nak, ambil lah. Tapi semua buku romance. Terima kasih, Arif. How are you doing up there, kawan?

Bak kata Melly Goeslaw, berjuta kata ingin ku ucap, selama kau pergi tak ada lagi teman dalam sepiku.

Hari ke-9

Kipas berputar ligat. Saya terjaga. Sambil meraba-raba pipi, kepala saya timbul sebuah soal, am I still alive?

Dua malam lepas Zarip telefon, bertanya khabar. Saya kata saya okay. Semalam Nisa text saya, juga bertanya khabar. Saya kata saya okay. Itu hari pun beberapa orang lagi bertanya perkara yang sama, Kim okay ke? Semua saya jawab saya okay.

Saya rasa saya okay. Kita yang selalu rasa tak okay, dalam keadaan tak okay ni, kita okay je kan. Okay?

Hari ke-12

Bagaimana rasanya karipap saya sudah terlupa.

Tadi malam di garis masa Twitter lalu gambar spaghetti bolognese, lalu saya dekatkan skrin telefon ke mulut lalu jilat. Dapatlah merasa sedikit.

Aliran berita socmed penuh gambar masakan dan makanan. Saya ingin karipap tapi yang ada hanya biskut Hup Seng.

Buka Instagram, gambar makanan. Buka Facebook, makanan. Twitter, makanan lagi.

Pernah ibu menegah saya daripada hantarkan gambar tom yam yang kami nikmati kepada adik-beradik yang tak ada bersama ketika itu.

Pernah ayah marah saya masa kecil dulu pasal saya berlari turun tangga dan menjerit keriangan "Yeah yeah makan sate!"

Ibu dan ayah mungkin tak pernah baca Kahlil Gibran. Tapi praktisnya berjalan. Kerana kata Gibran, makan yang sedap-sedap tapi jangan kasitau orang lain.

Hari ke-15

"Apa yang pentingnya?" tanya Maman Tunjal.

Hari-hari berlalu sejak saya habiskan novel pertama Kazuo Ishiguro yang saya baca, The Remains of The Day. Ini kali saya sudahkan An Artist Of The Floating World.

"Tak ada yang penting. Aku hanya ingin mencatat apa yang berlaku. Seperti Masuji Ono."

Diam seketika. Suasana benar-benar hening. Hanya bunyi putaran kipas kedengaran. Udara panas menuba kamar.

"Maman Tunjal. Oi, Maman."

Senyap lagi.

Entah ke mana si Maman Tunjal, tak berkunjung sudah.

Hari ke-17

Malam tadi saya cuba nasi goreng ikan masin segera cap Sharifah yang saya beli di kiosk. Hanya rendam pek bungkusan dalam air panas selama 10 minit dan siap untuk dimakan. Tapi bau ikan masinnya macam bau makanan kucing yang Safiq Rahim jadi duta tu. Saya rasa bagai telah kena scammed; bukan nasi goreng ikan masin tapi nasi goreng tuna makanan kucing. Tapi saya habiskan juga. Mungkin begini perasaan seekor kucing kelaparan.

Hari ke-18

Selepas mandi, saya buka tingkap bilik dan termenung tengok pokok depan tingkap bergoyang-goyang ditiup angin sehingga leka saya dibuatnya apatah lagi tanpa disedari saya turut bergoyang ke kiri ke kanan bagai saya pula menjadi pokok ditiup angin.

Sekarang kaki saya telah menjalar akar, rambut gondrong saya perlahan-lahan bertukar rimbunan daun, jari jemari saya meruncing bak ranting dan hidung saya jadi panjang macam hidung Pinocchio.

Seekor burung pipit hinggap di atas hidung saya lalu saya katakan kepada burung pipit, "Hey I'm a real boy." Burung pipit pandang saya dengan jelek dan berkata, "No, you are a loser." Serentak dengan itu hidung saya semakin memanjang.

Hari ke-20

Setelah hujan pun berhenti, bilik saya mula diserbu kelkatu yang terpikat dengan cahaya lampu. Saya capai pemetik api dan bakar sayap-sayap mereka. Kelkatu jatuh atas lantai.

Dalam pada saya leka memerhatikan kelkatu yang tewas menggeletik-geletik macam bawang kena tumis, jari saya terkena api. Panas. Ya, rasa panas. Saya petik api dan suakan atas tapak tangan. Sahih panas.

Saya hantuk-hantukkan kepala saya ke dinding. Sampai tempurung kepala saya pecah berkeping-keping. Kemudian saya ambil gam PVA dan cantumkan kembali tempurung kepala saya macam puzzle. Saya sambung hantuk dan cantum berulang sampai dinihari.

Selepas subuh, saya dengar lagu Min Malik, Flora Cinta: "Setelah hujan pun berhenti flora cintaku pun bersemi." , sambil menghitung bangkai kelkatu.

Hari ke-30

Petang semalam sungguh indah. Dari tingkap bilik, saya melihat sekawan lebah hinggap di bebunga yang merimbun. Mungkin beberapa minggu lagi boleh nampak hasil persenyawaan bunga-bunga itu.

Sepasang burung enggang terbang tinggi di udara. Pohon depan bilik saya meliuk lentuk dipuput angin. Ada beberapa ekor burung pipit dan tekukur bermain di dahan pokok. Tiba-tiba mereka berteriak ke arah saya, "Loser! Loser! Loser!"

Kurang ajar punya burung. Hari ni saya bikin lastik.

Hari ke-41

Pucuk pokok depan bilik yang menjulai yang saya gunting minggu lepas sudah mula berpucuk baharu. Ia proses yang berterusan. Ia barangkali bukan kebenaran tapi ia perlu. Seperti rasa sakit hati baca The Trial. Entah apa yang Franz Kafka nak sampaikan dah 100 muka surat saya baca masih buntu. Dan ia perlu. Seperti juga semalam dapat sabun mandi antibacterial sebotol percuma. Sabun bukan kebenaran tapi keperluan. Ia perlu. Yang benar bila mencerminkan kebenaran, bak kata M. Nasir.

Rambut saya makin panjang dan bila disisir ke belakang ada rupa Awie. Ini tak perlu tapi ia benar.

Ku kejar engkau di sanaaaaaa...

Hari ke-49

Sahur saya ditemani lagu-lagu pop Islami kumpulan Mestica. Sebenarnya dari dulu saya suka dengar bunyi seruling mendayu-dayu dalam lagu Layar Keinsafan dan Destinasi Cinta. Ia menokok rasa sayup dan melankolia.

Saya tak paham, kenapa lagu-lagu Islami (saya pun tak tau kategori ni betul atau tidak, ah lantak lah) digolongkan sebagai genre nasyid. Padahal nasyid ertinya lagu. Jadi genre lagu ke? Baik, kita terima saja lah ia sebagai nasyid.

Sedari kemunculan Raihan nasyid ialah influence lagu saya yang awal. Walaupun sebelumnya dah ada kumpulan Al-Jawahir dan yang seangkatan tetapi gaya mereka tidak kontemporari; gaya padang pasir yang tak melekat dalam kepala kanak-kanak seperti saya. Saya ingat ketika bangun pagi ayah tunjukkan kaset album Puji-Pujian yang dibeli.

Ada suatu maghrib saya nak balik rumah dari surau. Di tengah jalan ada sebatang pokok pelam yang besar. Sering saya bayangkan ada hantu tetek atau lembaga berbulu hitam mengintai. Saya ada pilihan untuk lari laju-laju tapi fikiran kanak-kanak saya percaya hantu pasti lebih laju tambahan pula hantu tetek ada tetek yang panjang, dengan sekejap saja boleh tangkap budak.

Maka saya ambil keputusan berdasarkan logika dan proses kognitif kanak-kanak saya untuk berjalan dengan tenang sambil menyanyikan lagu Raihan, asyhadu an la ilaha illallah wa asyhadu anna muhammadar rasulallah bila dipuji kejayaan kitaaaa...

Comments


Brought to you by:

Thanks! Message sent.

LOGO 5.png
bottom of page