top of page

Benih-Benih Syurga

  • Nurul Fatihah Binti Ab Hamid
  • May 11, 2020
  • 4 min read

Baru-baru ini hangat tular di media sosial berkenaan seorang pendakwah tersohor negara kita yang dikatakan telah menconteng arang dimuka golongan dhaif kerana tindakan beliau memuat naik foto dan video beliau sedang membantu keluarga yang tidak berkemampuan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) di Malaysia. Malah beliau juga telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan berkaitan usaha murni beliau tersebut setelah ada pihak yang tidak berpuas hati dan bertindak melaporkannya. Malah tidak kurang juga sesetengah netizen yang mengecam beliau di media sosialnya. Agaknya dunia sudah terbalik. Ada sahaja perkara yang masyarakat tidak berpuas hati walaupun berbuat kebaikan. Benarlah apa yang dikata, sebaik-baik mana pun seseorang itu pasti ada yang membenci dan sekeji-keji mana seseorang itu pasti ada juga yang menyayangi.

Kita harus memahami tujuan sebenar beliau memuat naik foto dan video ketika beliau sedang memberi sumbangan. Hal ini tidak lain dan tidak bukan hanya untuk membuktikan wang infak rakyat Malaysia yang diamanahkan kepada beliau disampaikan kepada orang yang betul tanpa sebarang bentuk penyelewngan. Semenjak negara kita diuji dengan wabak pandemik COVID-19, mereka yang kurang berkemampuan telah dijui dengan ujian yang sangat berat. Apatah lagi bagi mereka yang kais pagi makn pagi, kais petang makan petang. Dengan kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan, mereka terpaksa menebalkan muka untuk meminta bantuan demi mengalas perut mereka anak-beranak.

Tambahan pula, impak kepada PKP, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengumumkan kadar pengangguran pada Mac 2020 meningkat 17.1 peratus kepada 610,500 orang berbanding 521,300 orang pada bulan sama tahun lalu. Malahan, ada juga yang terpaksa memajak gadai emas kesayangan, harta peninggalan pusaka dan sebagainya kerana kesempitan wang untuk meneruskan kehidupan. Kerajaan juga telah mengalami kegawatan ekonomi dek kerana impak COVID-19 di seluruh dunia. Negara telah mengalami kerugian berbillion-billion ringit dalam usaha memerangi wabak ini habis-habisan.

Walapun begitu, jika dilihat hikmah disebalik PKP ini, ianya membuka peluang kepada orang ramai untuk turun membantu golongan yang memerlukan. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dalam setiap rezeki yang diperoleh terdapat juga hak orang lain. Semoga amalan sedekah ketika wabak pandemik ini dilipatgandakan ganjarannya.

Melihat kembali kepada maksud sedekah, ianya berasal dari perkataan arab sa-da-qa yang bermaksud benar. Dari segi syara pula, sadaqah didefinisikan sebagai pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Sedekah juga bertujuan untuk menyucikan diri dan harta. Haruslah difahami bahawa, sedekah adalah berbeza dengan pemberian hadiah yang bertujuan sebagai kenang-kenagan atau tanda penghargaan. Sedekah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja tanpa mengenal pangkat, darjat dan warna kulit. Definisi sedekah juga lebih meluas berbanding infak dan wakaf. Infak bermaksud membelanjakan harta kepada yang berhajat manakala wakaf pula bermaksud menghilangkan pemilikan dan pengurusan harta itu daripada pewakaf dan harta itu akan digunakan untuk kebaikan umum seperti mewakafkan kerusi di masjid.

Sedekah tidak hanya berbentuk harta atau wang ringgit, ia juga merangkumi segala bentuk perbuatan baik seperti membuang duri dan batu di jalanan, menumpangkan kenderaan, memimpin orang buta melintas jalan, berzikir, berthahmid, bertasbih, mengajak orang kearah kebaikan, mendoakan seseorang malah, senyum juga dikira sedekah. Senang kata, apa-apa perbuatan atau pemberian yang dapat mengembirakan atau meringankan beban orang lain tanpa menharapkan balasan adalah dikira sedekah. Jangan pula ada yang sekadar memberi senyuman kepada tabung infak masjid kerana itu tidak dikira sedekah.

Terdapat banyak manfaat dan fadhilat sedekah. Antaranya ialah sedekah dapat memperkasakan ekonomi umat Islam, mengurangkan golongan fakir dan miskin, seterusnya membantu kepada kestabilan ekonomi negara lebih-lebih lagi ketika ini negara sedang menghadapi ancaman wabak COVID-19 yang masih tidak kelihatan penghujugnya. Seterusnya dapat menanam rasa syukur bagi mereka yang kaya, dan membuka mata masyarakat bahawa terdapat ramai umat Islam yang harus dibantu. Sedekah juga dikira sebagai penolak bala, musibah serta kejahatan terhadap pemberi sedekah.

Selain itu, sejak kecil lagi kita telah diajar sedekah merupakan antara amalan yang paling mulia dalam islam. Banyak ganjaran yang diperoleh jika kita melaziminya di dalam kehidupan seharian. Janji-janji Allah jelas dinyatakan di dalam al-Quran dan hadis berkaitan ganjaran bagi umat Islam yang bersedekah. Percayalah, lebih banyak kita memberi, Allah akan melipatgandakan ganjaran di akhirat sebagaimana Allah s.w.t telah berfirman didalam al-Quran surah al baqarah ayat 261. Sedekah juga dapat menghapus dosa seperti yang telah disebut di dalam sebuah hadis;

“sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.”

(Riwayat Tirmidzi)

Seterusnya janji Allah swt. yang sangat hebat bahawa harta orang yang rajin bersedekah tidak akan berkurang meskipun disedekahkan semuanya malah akan bertambah-tambah lagi rezekinya. Rasulullah saw bersabda :

“harta tidak akan berkurang dengan bersedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan allah tambahkan kebaikkan baginya”

(Riwayat Muslim)

Di dalam sebuah hadis ada dinyatakan oleh baginda junjungan Nabi Muhammad saw bahawa sedekah akan memadamkan api seksaan di dalam kubur. Tambahan pula, di akhirat kelak, pemberi sedekah akan lebih mudah mengharungi titian siratal mustaqim iaitu titian untuk ke syurga Allah swt. Malah, golongan yang gemar bersedekah juga merupakan golongan yang akan menadapat naungan allah pada hari akhirat kelak. Sungguh mulia dan pemurah sang Pencipta kita. Oleh itu, janganlah berat tangan dan bakhil untuk bersedekah kerana sedekah akan menjadi pembantu dan penolong kita di hari akhir nanti.

Sebagai penutup bicara, amalan sedekah merupakan antara cara yang paling mudah untuk kita semai benih-benih di syurga sebagai saham akhirat kita agar dapat kita tuai hasilnya di akhirat kelak. Bersedekahlah dengan seikhlas hati bukan kerana terpaksa dan tidak mengungkit dan menyakiti hati penerima sedekah. Bukan kehendak mereka dilahirkan didunia sebagai peminta sedekah. Sedekah yang diberikan secara sembunyi lebih afdhal, ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya. Kita adalah pendosa. Semoga kita tergolong dalam kalangan pengemar memberi sedekah dan memperoleh janji-janji Allah swt. kelak. Amin.

Comments


Brought to you by:

Thanks! Message sent.

LOGO 5.png
bottom of page