BEBAS
- Muhammad Syaqir Aiman Bin Ahmad
- May 11, 2020
- 8 min read
M.S.A
BAB 1: Terkandas
Hampa. Perasaan itu seakan-akan datang memerli aku tatkala hajat ingin pulang ke desa halaman sekelip mata terlupus natijah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang digesa oleh peneraju nusa. Aku merenung kosong pada cetakan tiket bas yang terbaring lesu di atas meja belajarku. Gigih aku menyelesaikan segala persiapan sehari sebelum aku dijadualkan pulang untuk memastikan tiada sebarang kelengkapan dan keperluan yang tertinggal. Tetapi apakan daya takdir membatasi segalanya.
Buntu. Waktu itu mindaku seakan-akan berhenti berfungsi membuatkan aku beranggapan bahawa semua yang berlaku pada ketika itu hanyalah suatu mainan mimpi. Awal-awal dahulu, jujur aku katakan bahawa aku memandang remeh terhadap isu Covid-19 dek dibutakan dengan khabar bahawa isu tersebut hanya melanda negara lain. Namun siapa sangka entiti yang tidak berjasad itu akhirnya mampu untuk menoktahkan ribuan nyawa manusia hanya kerana kedegilan manusia dalam mematuhi rencana pemimpin-peminpin mereka.
Positif. Aku rasa itu yang paling kubutuhkan untuk kekal bertahan sepanjang berjauhan dengan keluarga tersayang. Namun bukan mudah untuk kekal positif apabila kerap dimomokkan dengan khabar-khabar rakan-rakan lain yang sempat pulang bersama keluarga masing-masing. Sedikit sebanyak perkara ini mengundang rasa iri hati buat mangsa-mangsa yang terkandas di kampus pada ketika itu.
BAB 2: Hello, ibu
Suara bernada cemas dan gusar itulah yang acapkali membisikkan kalimat-kalimat berbaur semangat dan nasihat untuk terus positif dalam menjalani tempoh PKP ini. Itulah suara daripada wanita yang paling aku cintai bergelar ibu. Sekadar mendengar bicara lembut daripada seorang ibu menerusi telefon pintarku sudah cukup untuk mendatangkan rasa selamat yang menyelimutkan kekosongan diri sepanjang tempoh ini. Seringkali panggilan diakhiri dengan esakan daripada insan yang kucintai itu yang gagal menahan sebak di kalbu. Mungkin kerana terlalu khuatir dan gusar barangkali.
Situasi itu sering kali membawa aku merentas masa mengimbau saat dahulu sewaktu aku seusai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia aku telah memasang azam untuk menyambung pelajaran di luar negara. Ketika itu di benak fikirku, aku tidak kisah jurusan apa yang akan ku terima kerana bagiku yang penting dapat merasai pengalaman sebagai seorang anak perantau di negara orang. Aku rasa mungkin ini antara hikmah aku gagal dalam satu temuduga untuk melayakkan diriku bagi menyambung pelajaran di Perancis. Barangkali ibuku pasti keberatan dan tidak kuat untuk melepaskan jasadku ini pergi berjauhan daripadanya atau mungkin tahap kepintaranku yang tidak cukup tinggi untuk melayakkanku pergi. Haha.
BAB 3 : Bacalah
Sepanjang terperangkap dalam ruangan konkrit ini, ratusan imbauan dan ingatan menghambat rakus kotak kecil akalku. Figura ahli keluarga, teman-teman, para pendidik dan insan-insan yang pernah hadir dalam perjalanan hidupku bersilih ganti berlegar-legar di ruang memori; lokasi semua kenangan disimpan rapi. Di kala aku beralah dengan mainan rasa buatan ku sendiri, susunan rapi penuh kekemasan buku-buku di rak berhasil merentap lamunanku. Aku perhatikan judul yang tertera di sisi kitab-kitab tersebut lalu ku ambil satu per satu. Saat itu aku benar-benar teruja melihat buku-buku yang berada di hadapanku.
Masih teringat betapa semangat aku mengajak rakan-rakanku pergi berkunjung ke Big Bad Wolf untuk mencari buku-buku yang sudah lama aku idamkan. Dalam aku terlena dibuai untaian kalimat-kalimat yang tersurat dalam buku tersebut aku bagaikan sudah terpukau sehingga tidak sedar akan perkara yang berlaku sekeliling. Aku seolah-olah dijampi oleh mantera-mantera yang terkandung dalam helaian-helaian nipis itu yang membuatkan aku begitu taksub untuk menghabiskan pembacaan buku-buku tersebut secepat mungkin. Pelik bukan.
Tidak ku sangka, enam buah buku telah berjaya aku habiskan sepanjang tempoh aku terperangkap di sini. Aku berasa begitu puas dan gembira dengan pencapaianku. Acapkali juga aku berkongsi dengan rakan-rakan mayaku tentang intipati-intipati menarik yang dapat kupetik menerusi pembacaan buku-buku tersebut. Aku kira waktu PKP ini merupakan waktu yang terbaik untuk aku melampias keinginan membacaku dek sebelum ini aku sedar diriku seringkali dihimpit kesibukan dengan matapelajaran dan tugasan yang lain. Kesudahannya, dalam kesibukan aku menelaah pelajaran, buku-buku yang telah ku simpan di rak dahulu telah menjadi perkampungan buat sang habuk dan debu.
BAB 4: Assignment memanggil!!!
Mengingat kembali teguran berbisa yang merabakkan jiwa sewaktu sesi klinikal yang telah kulalui dahulu benar-benar menginsafkan. Ingatan itu hadir memberi amaran buat aku agar tidak terlalu leka dan alpa dengan situasi semasa sebaliknya memanfaatkan kelapangan ini untuk memperbaik setiap kecacatan dan kelompongan sedia ada.
Sebagai seorang yang kuat berimaginasi dan gemar mencipta, aku ada merancang dan melakar beberapa permainan ciptaan sendiri untuk dimainkan bersama dengan tetamu-tetamu kecil yang akan kutemui di klinik pada setiap minggu. Namun sayang kerana hajat aku untuk mencipta permainan dan alatan tersebut terbantut dek kekangan kelengkapan yang sukar untuk aku dapatkan sepanjang tempoh PKP ini. Jujur aku katakan, kepercayaan ibu bapa saat menghantar anak-anak mereka pada setiap sesi terapi terpasak jauh dalam pemikiran. Ini ialah amanah, aku perlu lakukan sehabis baik. Itu yang kerapkali aku bisikan dalam hati bagi meniup semangat kepada diriku sendiri agar berusaha melakukan yang terbaik pada setiap sesi terapi yang berlangsung,
Pada musim PKP ini juga aku sedar akan peri pentingnya memanfaatkan masa sebaiknya. Jika dahulu aku selalu mengeluh kerana bebanan tugasan yang perlu disiapkan dalam waktu yang singkat. Tapi kini situasi jauh berbeza apabila waktu terasa tiada had dan batas untuk aku menyiapkan segalanya. Berbekalkan kemudahan dan kepantasan internet di kampus, semua perkara menjadi lebih mudah. Ini membuatkan aku senang mencari info-info dan maklumat yang aku perlukan dalam menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan.
Aku juga bersyukur meskipun aku terkandas di kampus namun masih banyak perkara yang boleh aku hargai misalnya ada kenalan karibku yang mengeluh apabila terpaksa menghadiri kelas atas talian sedangkan rangkaian internet di kawasan perumahannya lemah. Di kampus juga kebajikan dan kesihatan aku sebagai mahasiswa terjaga dan yang lebih utama aku ditemani oleh rakan sebilikku iaitu Rafeeq dan Atif. Sebaliknya, rakan-rakanku yang telah berada dirumah banyak kali juga meluahkan rasa bosan kerana tidak dapat bersembang dengan teman-teman yang lain. Walaupun aku agak jengkel dengan telatah dan karenah si Rafeeq dan Atif yang sangat menyebalkan hati namun aku tetap bersyukur ada mereka di sampingku sepanjang PKP ini.
BAB 5: Puisi ternukil
Aku masih ingat babak-babak awal sewaktu PKP ini dijalankan. Begitu banyak reaksi masyarakat yang boleh diperhatikan. Jari-jemariku juga lincah menari di atas paparan skrin telefon pintar membaca satu persatu sketsa yang dikongsikan oleh netizen di dunia maya sepanjang PKP ini. Ada yang sewenang-wenangnya menggesa para pelajar untuk duduk diam-diam di kampus masing-masing kerana beranggapan pelajar-pelajar akan membawa penyakit kepada ahli keluarga di rumah. Mana mungkin tidak terguris hati dan perasaan saat mendengar suara-suara songsang yang bersulamkan prejudis dan egoistik itu. Baik golongan kayangan mahupun golongan bawahan semua ada sahaja drama dan polemiknya. Sedang aku lelah melihat sinetron dunia yang tidak bernoktah, aku mencapai sehelai kertas dan sebatang pena. Perlahan-lahan penaku lincah meluncur di atas permukaan kertas tersebut.
Ramai orang
Saat dunia dihambat pancaroba
Drama manusia ikut bermula
Ramai orang boleh bersabar
Tapi tak ramai yang tebal sabarnya
Ramai orang boleh bersuara
Tapi tak ramai yang menggerakkan bicara mereka
Ramai orang mengaku derita
Tapi tak ramai yang bertanya “jika aku di tempat mereka samakah penderitaannya?”
Ramai orang mengaku bahagia
Tapi tak ramai yang mencari pemilik duka
Ramai orang mampu bersimpati
Tapi tak ramai yang benar-benar memahami
Ramai orang mampu memberi
Tapi tak ramai yang sudi berkongsi
Dugaan itu lumrah dunia
Tetapi ragaman manusia noktahnya bila?
BAB 6: Coretan
Sejak di bangku sekolah, matapelajaran Bahasa Melayu merupakan antara subjek kegemaranku. Untaian kata yang berima dan indah seringkali mendatangkan senyuman padaku tidak kira saat diungkapkan mahupun dinukilkan. Namun sejak melangkah ke alam universiti, aku menyedari minat dan cinta aku terhadap penulisan dan perbicaraan bahasa Melayu kian memudar. Aku lebih membiasakan diri menggunakan bahasa penjajah. Walaupun bahasa Melayu tetap aku gunakan dalam komunikasi harian, sudah pasti nilai dan mutu bahasa Melayu itu sama sekali rendah barangkali.
Musim PKP ini membuatkan aku merasakan bahawa ini adalah satu peluang untuk aku terus mencoretkan pengalaman dan ceritera buatan bagi mengisi masa senggang aku sepanjang tempoh ini. Mungkin ini akan menjadi satu memori dan kenangan yang bernilai yang boleh aku kenang sepanjang hayatku nanti. Pengalaman sebegini sukar untuk diraih berulang kali. Perlu diakui, untuk menulis kembali dan benar-benar puas dengan apa yang ditulis bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dirasai tetapi aku percaya perjalanan seribu langkah bermula dengan langkah yang pertama. Aku perlu mencuba dahulu untuk mengetahui hasil dan impaknya.
BAB 7: Ramadan menyapa
Siapa sangka dan siapa menduga bahawa aku dan teman-temanku terpaksa menyambut kedatangan bulan puasa di sini. Dahulu kami menganggap kemelut ini dapat ditewaskan sebelum Ramadan menjelma namun apakan daya Sang Esa lebih hebat percaturannya. Perkara ini menambah lagi kerisauan ibuku yang tidak lekang menelefon bertanya khabar dan persiapan untuk mengerjakan ibadah puasa itu.
Suatu pengalaman baru bagiku apabila semua mangsa-mangsa yang terkandas di kampus perlu untuk mengambil juadah untuk sahur pada jam 12 tengah malam. Kelakar bukan. Namun perkara itu tidak menjadi keberatan buat aku dan temanku yang lain kerana kami juga mempunyai beberapa stok makanan lain yang boleh dinikmati ketika bersahur dan berbuka.
Mengenang kembali gelagat dan tingkah laku aku dan temanku yang lain tidak ubah seperti kanak-kanak apabila masing-masing enggan menawarkan diri untuk menjadi imam solat terawih cukup menghiburkan. Akhirnya, undian terpaksa dilakukan untuk berlaku adil. Itu adalah pengalaman yang indah bagiku apabila dapat bersama-sama meluangkan masa ditemani rakan-rakanku dalam mengerjakan ibadah di bulan Ramadan ini. Lebih menarik lagi apabila ketika berbuka puasa, ada sahaja topik-topik jenaka dan kontroversi-kontroversi dunia yang akan memenuhi waktu berbuka kami bertiga. Situasi sebegini sedikit sebanyak berjaya melenyapkan perasaan bosan dan tertekan sepanjang PKP ini.
BAB 8: Dtinggalkan
2 April 2020; tanggal ini Atif berjaya meloloskan diri dari kampus untuk pulang ke rumahnya yang terletak di syurga keropok lekor itu. Sungguhpun temanku itu berasa gembira untuk pulang kerumahnya namun masih tumbuh kegusaran dilubuk hatinya itu. Bukannya apa apabila pulang ke rumah, maka wataknya selaku anak yang soleh dan mendengar kata perlu dimainkan sehabis baik. Menjadi imam untuk setiap solat fardu malah imam untuk 20 rakaat solat terawih. Sangat berbeza dengan rutin yang dipraktikkan di kampus. Haha.
Atif juga antara mangsa yang tidak sempat menaiki bas tatkala arahan PKP dikuatkuasakan. Jadi sememangnya perasaan lega dan gembira untuk pulang itu lebih menebal berbanding dengan bayangan senario yang akan berlaku dirumahnya kelak setelah dia pulang. Sempat lagi sebelum dia pulang, dia mendoakan agar aku kekal terkandas di kampus dan tidak dibenarkan pulang maklumlah pada ketika itu kawasan rumahku masih dikategorikan sebagai zon merah COVID-19. Menyakitkan hati betul.
3 April 2020; Rafeeq yang berasal dari negeri jelapang padi itu telah dijadualkan untuk berangkat pulang pada malam itu. Seorang demi seorang pergi meninggalkan aku sendirian di ruangan kosong yang dipenuhi sifar interaksi manusia. Selalunya, Rafeeq antara ahli bilik yang paling riuh dengan aplikasi TikToknya. Jadi kepulangan dia ke rumah benar-benar menghapuskan suasana meriah di seluruh ruangan bilik tersebut.
Malam itu, mataku seakan-akan merusuh membuatkan aku sukar untuk melelapkan mata. Perasaan sunyi mula bersarang dan menghantui jasad dan ragaku. Bukannya tidak biasa ditinggalkan keseorangan, cuma perasaan pada malam itu cukup ganjil barangkali lantaran terlalu memikirkan sama ada mampu atau tidak untuk aku kekal bertahan mendepani segala kemungkinan yang mendatang. Lama-kelamaan, setelah beberapa hari ditinggalkan, aku berjaya membiasakan diri tanpa kehadiran figura Rafeeq dan Atif di bilik. Ketika ini, aku mengerti akan keperluan untuk sentiasa menghargai sahabat-sahabat yang hadir mewarnai kehidupan seharian kita sebaiknya.
BAB 9: Penantian
Seksa dan derita. Istilah-istilah itu tepat menggambarkan situasi yang perlu kulalui sepanjang menanti ketibaan aku untuk pulang ke teratak kebahagiaanku. Waktu seakan sengaja melewatkan pergerakan bagi meruntunkan lagi kerinduan yang aku alami.
6 Mei 2020; tarikh aku dijadualkan untuk pulang ke negeri adat pepatih. Menanti hari yang ditetapkan itu tiba sangat melelahkan. Banyak kali juga aku berdoa agar semuanya dipermudah agar aku dapat pulang ke rumah tanpa sebarang aral melintang. Seperti biasa, Atif dengan sikapnya yang menyebalkan itu akan menyapaku setiap hari menerusi ruangan sembang aplikasi Whatsapp mendoakan agar aku tidak dapat pulang ke rumah. Walaupun dia kini telah berada di rumah namun perasaan dengki dalam dirinya masih bermaharajalela. Sejujurnya, aku tidak pernah berasa marah atau panas hati dengan telatahnya kerana bagiku menarik untuk memiliki kawan-kawan yang pelbagai karenah dan telatah barulah hidup ini tidak hambar. Lagi pula, aku juga apa kurang jahat dan nakal dalam menyakat teman-temanku yang lain.
BAB 10 : Pulang
Akhirnya, penantian yang begitu menjerihkan melabuhkan tirainya. Aku bagaikan tidak percaya akhirnya aku berjaya untuk merentas negeri dan sempadan berbekalkan niat dan tujuan untuk pulang ke desa halamanku. Aku banyak menghabiskan masa terjaga melihat persekitaran di luar bas sepanjang perjalanan pulang. Agak lama aku tidak merenung dan mengamati suasana dan panorama yang cantik diatip diluar kampus. Menurut perkiraanku sudah hampir 50 hari aku ditahan di kampus.
Bebas. Perasaan yang kini bernaung menghembuskan kelegaan di sanubari dan melakar bahagia di hati. Berasa bebas menjelajah sekeliling, menghargai peluang, dan memanfaatkan nikmat sememangnya itulah pengajaran paling bermakna sepanjang musim PKP bagiku. Perubahan dan perbezaan ketara sebelum dan semasa PKP ini seharusnya memberi tamparan kesedaran kepada manusia untuk sentiasa bersyukur dengan segala yang ada di mayapada ini sama ada harta, nyawa mahupun keluarga. Suatu hakikat yang sememangnya tidak boleh dipinggirkan sepanjang pengalaman ini adalah betapa nikmatnya kebebasan itu tidak bisa diremehkan oleh kita, sang pelupa.
Comments